Friday, February 28, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 4 REJAB 1441 / 28 FEBRUARI 2020


KEMANISAN IMAN BERLANDASKAN HIDUP POSITIF

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, semoga diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik seterusnya membuktikan keimanan yang sebenar-benar kepada-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat, dan pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Dan semoga Allah meletakkan kita pada tahap yang terbaik hari ini, esok dan akan datang. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk; "Kemanisan Iman Berlandaskan Hidup Positif".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri manusia sama ada yang bertamadun atau tidak, beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek ini diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama Iman, Islam dan Ihsan.

Iman adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah pengamalan atau syariat, manakala Ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan Ihsan adalah paksi kepada agama Islam seperti mana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Ketiga-tiga paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap muslim secara beriringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka lengkaplah penghayatan Islam seseorang.

Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi mendapatkan keredaan Allah s.w.t serta rasul-Nya. Taatilah segala suruhan, larangan serta mengutamakan Allah s.w.t dan rasul-Nya lebih daripada segala-galanya. Rasulullah s.a.w menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan penghayatan Allah s.w.t sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad s.a.w itu sebagai rasul.

Kemanisan iman akan membina sifat-sifat yang positif seperti tidak malas dan sebagainya. Apabila kemanisan iman telah bertapak di jiwa seorang muslim, maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai. Sebaliknya dia sentiasa bersemangat, rajin serta cergas dalam melaksanakan segala tuntutan Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Muslim yang mengecapi kemanisan iman akan sentiasa bersikap positif dalam kehidupannya. Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia. Hatinya sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah s.w.t dalam kehidupan yang bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.

Rasulullah s.a.w telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk kita merasakan kemanisan iman. Daripada Saiyidina Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

Maksudnya: "Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang lain daripada keduanya, dia mencintai saudaranya tiada yang lain cintanya itu melainkan kerana Allah s.w.t semata-mata; dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka". (Hadits riwayat Al-Bukhari nombor 16)

Dapat difahami melalui hadits ini, kemanisan iman yang pertama boleh diusahakan dengan mencintai Allah s.w.t lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah s.w.t menghasilkan kemanisan iman pada tahap yang tertinggi. Jiwa akan sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali 'Imran ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah: "Jika benar kamu (benar-benar) mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

Kedua, mencintai Rasulullah s.a.w selepas cintanya kepada Allah s.w.t kerana cinta kepada Allah s.w.t tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin Abdillah s.a.w. Sesungguhnya baginda utusan Allah s.w.t yang menyampaikan segala perkara dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Melalui baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah s.w.t dan mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan baginda tiada taranya, baginda insan teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta Allah s.w.t maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah s.a.w.

Ketiga, mencintai saudaranya kerana Allah s.w.t semata-mata. Allah s.w.t menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling kenal mengenali. Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah s.w.t.

Hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud hanya kerana Allah semata-mata. Persaudaraan menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.

Keempat, membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran. Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya hanya kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah s.w.t apabila beroleh kebaikan dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Antara cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta menghayati zat, perbuatan dan sifat Allah s.w.t. Memahami dan menghayati ayat Al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah s.w.t dalam setiap keadaan, masa serta tempat. Mengamalkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w serta mencontohi akhlak baginda. Sentiasa bersama dengan ilmuan, ahli ibadah, teman soleh dan solehah yang sentiasa mengingatkan kealpaan kita terhadap Allah s.w.t serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah s.w.t supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama, marilah kita hayati firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 7:

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِّنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya: "Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan iabadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بِلَادِنَا هَذَا خَاصَّة، وَعَنْ بُلْدَان مُسْلِمِينَ عَامَّة، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

2 comments:

  1. As stated by Stanford Medical, It is really the one and ONLY reason this country's women live 10 years longer and weigh 19 kilos lighter than us.

    (Just so you know, it is not related to genetics or some hard exercise and really, EVERYTHING to do with "how" they are eating.)

    P.S, What I said is "HOW", and not "what"...

    CLICK on this link to find out if this quick test can help you find out your true weight loss potential

    ReplyDelete
  2. Poker online dengan presentase menang yang besar
    ayo segera bergabung bersama kami di AJOQQ :D
    WA : +855969190856

    ReplyDelete