Thursday, February 13, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 20 JAMADIL AKHIR 1441 / 14 FEBRUARI 2020


MENGASIHI ALLAH DAN RASUL : JAUHI MAKSIAT

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan taqwa yang sebenar-benarnya yakni dengan mentaati segala titah perintah-Nya  dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat dan pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Mengasihi Allah dan Rasul : Jauhi Maksiat".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Islam tidak menolak apa sahaja perkara yang baik sama ada dari barat atau sebagainya. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan nilai berkasih sayang. Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kita tentang erti kasih sayang dan pengorbanan mereka.

Namun pada masa yang sama, Islam bertegas menolak sesuatu yang datang walaupun dari timur, jika ia jelas bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam. Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan, sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk meraikan hari-hari tersebut.

Hakikatnya, Islam bukan agama yang sengaja menyekat atau menghalang penganutnya berkasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu. Dan apa yang pasti, sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih jelas terarah kepada amalan maksiat yang berlandaskan adat jahiliyah yang tercela dan mengarah kepada kerosakan akidah umat Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Islam tidak membataskan kasih sayang pada hari-hari tertentu. Ia disuburkan pada setiap hari dan setiap waktu. Lantaran itu, Islam mengharamkan kebencian, kezaliman, permusuhan, penipuan dan semua perkara yang boleh menghakis kasih sayang sesama manusia; tidak kira sesama muslim, ataupun dengan mereka yang bukan beragama Islam. Firman Allah s.w.t dd dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾

Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Jelasnya, umat Islam perlu menerima dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup, sebagai bukti ketulusan dan keyakinan kita kepada ajaran suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sambutan Hari Kekasih yang diadakan pada tarikh 14 Februari merupakan hari keramat bagi pasangan-pasangan yang sedang bercinta. Hari ini dianggap sebagai masa untuk menyatakan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Mereka akan memakai pakaian yang terbaik, bertukar-tukar hadiah, diikuti dengan pemberian bunga ros merah. Mereka juga turut memadu kasih dengan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadinya maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang terhadap pasangan masing-masing.

Apa yang menyedihkan, menjelang bulan Februari terhadap pelbagai simbol, iklan dan aktiviti yang mempromosikan hari tersebut. Malahan terdapat pihak dan pusat hiburan seperti kelab-kelab malam yang menawarkan acara maksiat yang mengundang kepada keruntuhan akhlak dan gejala sosial.

Sedarkah kita bahawa Hari Kekasih diambil sempena peristiwa pembunuhan seorang paderi bernama Saint Valentine yang bertelingkah dengan pemerintah Rom ketika itu, Raja Claudius II. Sebagai simbolik keagungan, ketabahan dan keberanian Valentine mempertahankan cinta, para pengikutnya telah memperingati kematiannya menjadi suatu upacara keagamaan. Hayatilah sebuah hadits Nabi Muhammad s.a.w, baginda bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dalam kaum itu". (Hadits riwayat Imam Abu Daud nombor 4031)

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Hari Kekasih berbeza dengan perayaan yang dibenarkan oleh Islam. Ia tidak sama dengan sambutan Hari Pekerja, Hari Kanak-kanak, Hari Kesihatan dan sebagainya. Justeru, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Malah roh perayaan tersebut yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Sebenarnya Islam amat menitik beratkan soal kasih sayang dan setiap hari adalah hari kasih sayang. Islam menolak konsep Hari Kekasih kerana terdapat unsur yang boleh menggugat akidah umat Islam. Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: "Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari amalan kami, maka ia ditolak". (Hadits riwayat Muslim nombor 1718)

Hadirin yang dimuliakan Allah,

Dalam kita berkasih sayang dengan sesama makhluk, jangan pula melebihi kasih sayang kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita wajib mencintai Allah s.w.t lebih daripada segala-galanya, kerana janji Allah s.w.t kepada kita dalam Surah Ali-'Imran ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencinati kamu serta mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

Kedua, mencintai Rasulullah s.a.w. Cinta kepada Allah tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin 'Abdullah. Sesungguhnya baginda utusan Allah s.w.t yang menyampaikan segala syariat yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Melalui baginda, kita mendapatkan Islam. Melalui baginda juga, kita mengenal Allah s.w.t dan mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan baginda tiada taranya. Baginda insan yang teragung dan Rasul terulung. Untuk mendapat cinta Allah s.w.t maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Cabaran umat Islam kini sangat hebat. Setiap detik ada sahaja isu dan sensitiviti umat Islam yang menarik perhatian dan hangat diperkatakan. Ini ditambah pula dengan kebanyakan golongan remaja Islam hanyut dalam dunia hiburan dan aliran pemikiran liberal yang kini beransur-ansur menyelinap masuk secara halus dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Oleh itu, kita perlu segera bertindak bagi membendung pemesongan akidah ini bermula dari peringkat yang paling bawah sehinggalah ke peringkat paling tinggi melalui kaedah "al-amru bil ma'aruf wan nahyu 'anil mungkar", iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jamaah sekalian untu menghayati satu firman Allah sebagai panduan dan pedoman bersama:

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ﴿١١٦﴾

Maksudnya: "Dan jika kamu mengikut kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan sahaja, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)". (Surah Al-An'aam ayat 116)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan iabadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بِلَادِنَا هَذَا خَاصَّة، وَعَنْ بُلْدَان مُسْلِمِينَ عَامَّة، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

2 comments:

  1. Easy "water hack" burns 2 lbs OVERNIGHT

    Over 160000 men and women are hacking their diet with a simple and secret "liquids hack" to burn 2lbs every night as they sleep.

    It is very easy and it works all the time.

    This is how you can do it yourself:

    1) Take a glass and fill it up with water half the way

    2) Now follow this awesome hack

    you'll be 2lbs thinner as soon as tomorrow!

    ReplyDelete
  2. ayo daftarkan diri anda di AJOQQ :D
    menangkan jackpot dengan sebanyak-banyaknya :D

    ReplyDelete