Friday, November 2, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 24 SAFAR 1440 / 2 NOVEMBER 2018


RAJA DAN RAKYAT SEHATI SEJIWA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَهْدِيهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlebih dahuu, saya berpesan kepada diri saya, dan seterusnya kepada para jamaah yang dikasihi sekalian, agar kita sama-sama bertaqwa kepada Allah s.w.t dalam erti kata yang sebenarnya. Iaitu dengan kita mengerjakan segala titah perintah-Nya, serta meninggalkan segala larangan-Nya. Sama ada kita suka, mahupun kita tidak suka, segala titah perintah Allah s.w.t mestilah kita laksanakan sepenuhnya, dan segala larangan Allah s.w.t hendaklah kita tinggalkan keseluruhannya di dalam kehidupan kita sebagai hamba dan makhluk ciptaan-Nya. Mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebaikan serta manfaat di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan, Sultan Nazrin Mu'ízzuddin Shah Ibni Al-marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-maghfurulahu bagi tahun 1440 hijrah bersamaan 2018 masihi yang disambut pada hari ini, maka khutbah pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Raja dan Rakyat Sehati Sejiwa".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Allah s.w.t berfirman dalam An-Nur ayat 55:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَ‌ٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٥٥﴾

Maksudnya: "Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka; Khalifah-khalifah yang berkuasa; Dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka".

Menurut Imam Ibnu Katsir sepertimana yang telah dirakamkan tafsirannya di dalam kitab tafsir beliau, antara intisari ayat ini ialah, bahawa Allah s.w.t lah yang menjadikan umat manusia sebagai khalifah atau pemerintah di atas muka bumi, iaitu menjadi pemimpin kepada umat manusia dan juga penguasa ke atas mereka. Di tangan merekalah negeri-negeri akan menjadi baik, serta umat manusia akan patuh kepada mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Sesebuah negeri memerlukan kepimpinan untuk kesempurnaan pentadbiran agar ianya menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang dan lapangan dalam pemerintahan. Kepimpinan di dalam Islam umat mulia dan tinggi di sisi Allah s.w.t. Mereka diamanahkan oleh Allah s.w.t, untuk menanggung dan menggantikan tugas-tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat manusia dengan berpandukan serta berpaksikan kepada syariat Islam.

Imam Al-Mawardi, di dalam kitab beliau yang mahsyur Al-Ahkam As-Sultoniyyah, telah menyatakan bahawa; "Tugas pemimpin negara adalah untuk menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama". Dalam konteks negeri kita yang tercinta ini, kita sedia maklum bahawa Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan, adalah merupakan Sultan, yang diPertuan dan Raja Pemerintah bagi negeri Perak Darul Ridzwan. Lafaz sumpah jawatan Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan mencakupi ikrar taat setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan perlembagaan serta memelihara agama Islam.

Oleh yang demikian, perlu diingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata, betapa pentingnya ketaatan dan kesetiaan kepada raja dan negeri kita. Ini termaktub dalam salah satu daripada lima prinsip rukun negara yang menjadi tonggak kepada kedaultan negara. Kita juga seharusnya bersama-sama mempertahankan institusi raja yang telah menjadi tradisi sejak dahulu lagi. Malah ini sebenarnya menepati salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu mentaati dan menghormati pemimpin selagi mana tidak disuruh melakukan kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada rasul, dan kepada 'ulil amri' (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (As-Sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Sesungguhnya, hubungan mesra dan erat antara raja dan rakyat merupakan amalan tradisi turun temurun sejak sekian lama, sama ada dalam konteks kepimpinan Islam, mahupun di zaman kesultanan melayu Melaka. Rakyat dididik supaya hormat titah raja akan sentiasa dijunjung tinggi, nasihat raja pula akan dipatuhi, dan wasiat raja dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Sebenarnya tradisi ini amatlah bertepatan dengan ajaran Islam yang mulia. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: Mendengar dan mentaati perintah ketua itu suatu kewajipan setiap umat Islam, sama ada perkara yang dia suka atau tidak suka, selama mana tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, maka janganlah dengar dan mentaatinya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Justeru, kita semua hendaklah saling bertaut akrab dan sehati sejiwa, dalam kerjasama, persefahaman dan juga tindakan. Pemimpin mesti bersikap amanah dalam setiap kepimpinan dan tindakan, serta meletakkan Islam di tempat yang sepatutnya. Pemerintah dan rakyat haruslah bersatu padu dalam memartabatkan kedaulatan Islam supaya syiar Islam terus ditegakkan di dalam begeri yang kita cintai ini. Tugas rakyat pula hendaklah sentiasa bersikap taat dam setia kepada pemimpin, selagi mana tidak diperintahkan untuk melakukan perkara-perkara yang menderhaka kepada Allah s.w.t.

Sidang hadirin yang dirahmati sekalian,

Kedaulatan Islam dan kemajuan negeri yang kita cintai ini, adalah berasaskan kepada kekuatan kepimpinannya. Justeru, Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan, Yang diPertuan dan Raja Pemerintah yang merupakan ketua negeri kita, sama ada dari segi keperibadiannya, atau dalam menjalankan biang kuasa untuk menjaga negeri dan kesucian agama Islam, umat dikagumi oleh seluruh lapisan rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keperihatinan Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan dalam memartabatkan Islam, memajukan negeri dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.

Sehubungan itu, bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi baginda, pada hari ini 2 November 2018 masihi bersamaan 24 Safar 1440 hijrah. Marilah sama-sama kita sentiasa mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pasuka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan, Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibni Al-marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurulahu, semoga dianugerahkan kekuatan dan kemampuan untuk memartabatkan agama Islam, serta dikurniakan keberkatan dan kesejahteraan hidup yang berpanjangan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Haj ayat 41:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segara urusan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abdullah bin Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah berjamaah adalah lebih baik berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Imam Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

Ya Allah, naungilah baginda Sultan Perak Darul Ridzwan di bawah Perlindungan-Mu dan limpahan rahmat kasih sayang-Mu agar baginda dapat memimpin kerajaan pemerintahannya dengan adil an saksama, serta memimpin rakyat rakyat jelata ke arah keimanan dan ketaqwaan kepada-Mu yang berkekalan. Ya Allah, jauhilah negara dan negeri kami daripada anasir-anasir jahat yang menghalang dalam menegakkan agama-Mu dan menghalang dari mengecapi keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment