Friday, November 30, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 22 RABI'UL AWAL 1440 / 30 NOVEMBER 2018


MEMELIHARA AKAL DALAM ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ (Surah At-Tahrim ayat : 6)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Memelihara Akal Dalam Islam".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan fizikal yang membolehkan seorang insan mencapai tahap kesihatan yang lebih sempurna. Apabila mencapai tahap kesihatan mental yang baik, keadaan diri akan menjadi sejahtera, sempurna pemikiran, emosi dan tingkah laku dapat berfungsi melakukan kerja sehingga mencapai matlamat yang diharapkan. Islam melarang setiap manusia mendekati perbuatan keji dan hina yang boleh merosakkan mental dan diri sendiri. Maka merujuk kepada perkara tersebut terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh tentang pengharaman mengambil sesuatu yang boleh merosakkan fizikal dan spiritual manusia. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya itu) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Dalam kehidupan di negara kita yang semakin maju dan pesat, masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin parah dan meningkat dari masa ke semasa. Kajian mendapati bahawa peningkatan yang ketara dalam kadar bunuh diri dan penyakit mental sejak sedekad lalu adalah berpunca daripada tahap kesihatan yang sangat lemah.

Justeru, ini adalah perkara yang mustahak untuk kita mengambil peduli tentang pentingnya kesihatan mental. Islam menganjurkan umatnya supaya memelihara lima prinsip yang menjadi keutamaan dalam kehidupan harian mereka untuk menjamin kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat iaitu memelihara agama, nyawa, mental, nasab keturunan dan memelihara harta.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Definisi kesihatan bukan sahaja tertumpu kepada kesihatan fizikal semata-mata tetapi merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit. Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu. Kesihatan mental bukanlah bermakna gila atau kurang siuman tetapi kesihatan adalah dengan cara manusia itu berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain.

Dianggarkan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakkannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan. Jika tidak diberi perhatian dan tidak mengambil secara serius, mereka akan membesar menjadi remaja dan dewasa yang bermasalah dan tidak seimbang. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada beberapa tahun lalu mendapati secara amnya penyakit mental menjadi masalah kesihatan yang kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020. Kajian itu juga menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 30 peratus daripada populasi negara, menghidap pelbagai penyakit mental seperti kemurungan, keresahan, keganasan, dan juga masalah sosial. Berdasarkan pungutan data Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan.

Muslimin yang dihormati,

Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa. Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran keadaan dan sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja, serta penyakit fizikal. Antara langkah-langkah pencegahan adalah memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial, mengamalkan gaya hidup sihat termasuklah penjagaan makanan yang seimbang, bersenam, mengawal tekanan atau stress yang paling penting adalah menghindar diri daripada aktiviti-aktiviti yang negatif dan berisiko. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾

Maksudnya: "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha) dan perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya".

Hadits yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin Muhsin r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبِهِ مُعَافًى فِي جَسَدِهِ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا

Maksudnya: "Sesiapa di antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan aman dalam dirinya sendiri, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Pepatah arab juga ada mengatakan:

الْعَقْلُ السَّالِمُ فِي جِسْمِ السَّالِمُ

Maksudnya:"Akal yang sihat dari tubuh badan yang sihat".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam agama yang syumul melengkapi seluruh aspek kehidupan termasuklah pemeliharaan akal dan kesihatan mental. Ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma bahawa beliau berkata:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَعُ هَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ حِينَ يُمْسِي وَحِينَ يُصْبِحُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan doa-doa berikut pada setiap waktu petang dan pagi iaitu; Ya Allah, aku memohon kesempurnaan kesihatan dalam urusan dunia dan akhirat, ya Allah, aku memohon keampunan dan kesihatan dalam urusan agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku". (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut perspektif Islam, kesihatan dapat dipelihara dengan baik jika mengamalkan tabiat hidup yang diatur dengan baik menurut ketetapan dan kehendak syarak iaitu maqasid syariah. Segala permasalahan perlu dikongsi dengan pihak lain seperti ibu bapa atau mereka yang dipercayai supaya tidak menjadi tekanan kepada diri dan seterusnya mendorong untuk melakukan perkara yang tidak diingini.

Harus diingat, menjaga kesihatan bukan sahaja pada luaran sahaja tetapi makanan rohani juga harus dititik beratkan. Jiwa yang disantap dengan pengisian ilmu yang berfaedah, akan menyelamatkan daripada terasa diri kekosongan dan mendorong mencari sesuatu yang tidak baik sebagai mengisi kekosongan dalam hati. Oleh itu, kita harus melazimi dengan bacaan Al-Quran, zikir dan solat-solat sunat. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Ra'du ayat 28:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ﴿٢٨﴾

Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenteramlah hati manusia".

Bersempena Hari Kesihatan Sedunia 2018, khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang jamaah sekalian, marilah bersama-sama kita mensyukuri kehidupan yang diberikan oleh Allah s.w.t dengan sebaik-baiknya menurut ketetapan syarak. Mudah-mudahan dengan itu, kita semua akan beroleh kesejahteraan dan keberkatan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Sidang jamaah sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menekankan beberapa intipati penting yang perlu diberi perhatian yang serius:

Pertama: Kesihatan mental merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai, ia perlu dijaga dan disiram dengan santapan fizikal dan rohani menurut tuntutan syarak (maqasid syariah).

Kedua: Setiap penyakit adalah tarbiah dari Allah s.w.t bagi menguji kekuatan iman hamba-Nya dan Allah s.w.t juga yang menyembuhkan melalui usaha rawatan sama ada secara Islam atau cara moden.

Ketiga: Islam sebagai Ad-Din (cara hidup) yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan meraikan semua sudut kehidupan dan keadaan termasuk kesihatan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abdullah bin Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah berjamaah adalah lebih baik berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Imam Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment