Friday, November 23, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 RABIUL AWAL 1440 / 23 NOVEMBER 2018


KEMENANGAN DI KETIKA BERPEGANG DENGAN AJARAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyaksikan betapa besarnya hikmah kedatangan nabi kita Muhammad s.a.w yang disambut peristiwa yang besar itu oleh umat Islam di bulan yang mulia ini. Allah s.w.t menegaskan:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾ [سورة الأنبياء : ١٠٧]

(Maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Sebenarnya rahmat bagi seluruh alam kedatangan rasul akhir zaman ini benar-benar untuk menyelamatkan manusia akhir zaman ketika manusia diberi sedikit ilmu mereka mencapai kemuncak kemajuan duniawi. Mereka mencipta alat-alat yang cangguh sehingga berpindah randah ke tempat yang jauh. Dalam masa yang cepat mereka mendapat maklumat seluruh dunia dengan segera. Walaupun demikian, manusia memerlukan petunjuk dari Allah s.w.t melalui rasul yang dilantik di zaman yang begini rupa. Tanpa petunjuk Allah s.w.t manusia menjadi binasa, celaka di dunia sebelum celaka di hari akhirat.

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, manusia berada di dalam kegelapan yang sangat dahsyat setelah terputusnya rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. Walaupun sudah ada agama samawi yang dibawa oleh rasul-rasul yang masih ada saki baki ajarannya dan agama yang direka oleh manusia, negara-negara besar yang bertamadun mencapai kemajuan dengan kaya raya mendirikan bangunan-bangunan besar, tetapi semuanya di dalam kesesatan dan kejahatan.

Agama yahudi dan kristian yang punya kitab dan punya nabi dan rasul yang diutus oleh Allah s.w.t, tetapi pengikutnya menyeleweng daripada petunjuk Allah s.w.t. Ia menjadi agama yang sesat. Paderi-paderi dan pendita-pendita berlagak menjadi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah s.w.t. Mereka memperhambakan pengikut-pengikut dan penganut-penganut agama itu. Apa lagi agama yang bukan samawi, keadaannya lebih dahsyat lagi.

Manusia menjadi seperti binatang, mengikut hawa nafsu kerana agama yang ada tidak mampu memimpin manusia. Walaupun di masa itu ada negara yang bertamadun, negara kaya raya yang dianggap maju seperti Parsi dan Rom, China, India dan Mesir. Kemajuannya dengan mendirikan bangunan-bangunan yang besar, tetapi kemajuan itu dibina di atas mayat-mayat rakyat yang diperhambakan, harta rakyat yang dirampas, manusia dalam keadaan yang gelap.

Maka Allah s.w.t menjanjikan sejak awal lagi akan zahir seorang rasul menyelamatkan manusia di akhir zaman.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ ۖ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ﴿١٤٦﴾ [سورة البقرة : ١٤٦]

(Maksudnya): Orang-orang (yahudi dan nasrani) yang telah Kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.

Berita kelahiran Nabi Muhammad s.a.w disebut di dalam Taurat dan Injil, bahkan disebut di dalam kitab-kitab agama yang bukan samawi seperti hindu dan buddha. Ia juga diketahui oleh ahli-ahli nujum melalui syaitan-syaitan yang menjadi sahabat mereka. Ditunjukkan akan zahirnya nabi akhir zaman. Namun mereka tidak tahu di negeri manakah nabi itu akan dizahirkan. Allah s.w.t telah memilih dari awal dengan memerintah Nabi Ibrahim a.s meletakkan puteranya Ismail di bumi Makkah yang jauh dari agama-agama samawi dan jauh dari negara-negara yang bertamadun, di tengah padang pasir tempat yang terpencil.

Daripada Ismail inilah lahirnya nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w. Dikurniakan mukjizat ilmu berbeza dengan mukjizat nabi-nabi yang sebelumnya dengan perkara luar biasa yang dapat dilihat dalam kehidupan mereka. Nabi Musa a.s dengan tongkatnya, Daud a.s melembutkan besi, Ibrahim a.s tahan dibakar di dalam api yang besar, Isa boleh menghidupkan orang yang mati dan menyembuhkan penyakit yang tidak mungkin dirawat oleh ahli-ahli perubatan. Ada pun mukjizat nabi akhir zaman ini adalah Al-Quranul Karim yang merupakan mukjizat ilmu yang memimpin manusia dalam kehidupan mereka, memimpin akal mereka supaya diguna dengan cara yang betul.

Allah s.w.t mencabar:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣﴾  فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾ [سورة البقرة : ٢٣ - ٢٤]

(Maksudnya): Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sama dengan Al-Quran itu, dan ajaklah penolong-penolong kamu selain dari Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Kafir itu apa? Kafir itu ingkar atau melawan. Melawan apa? Melawan Al-Quran dan melawan Nabi Muhammad s.a.w.

Allah s.w.t menunjukkan generasi awal umat Islam dalam kalangan para sahabat radhiAllahu 'anhum daripada bangsa yang buta huruf. Dengan ilmu Al-Quran mereka berjaya mendirikan sebuah negara yang adil kepada seluruh manusia, tidak memaksa penganut agama lain masuk Islam, sila tunduk di bawah kerajaan Islam. Keadilan Islam menjadi rahmat menyebabkan manusia berduyun-duyun masuk Islam, menyebabkan dua kuasa besar Parsi dan Rom jatuh dan tumbang. Ahli-ahli ilmu yang bijak pandai menghormati kedatangan Islam. Mereka dimuliakan oleh Islam. Sebelumnya ahli-ahli ilmu dan orang-orang yang bijak pandai dibunuh kerana manusia berlumba mencapai kemuliaan di antara satu sama lain.

Islam tegak dengan ilmu wahyu dan ilmu duniawi dalam kalangan mereka yang masuk Islam. Allah s.w.t menjadikan umat Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w memimpin dunia menegaskan risalahnya, kedatangannya kepada kuasa-kuasa besar dunia.

Dinyatakan kepada ahli kitab:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ ﴿٦٤﴾ [سورة آل عمران : ٦٤]

(Maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.

Rab'ie bin 'Amir dengan tegas mengatakan:

اللَّهُ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَةِ الدُّنْيَا وَالْأَخِرَةِ.

(Maksudnya): Allah yang membangkitkan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada memperhambakan diri sesama makhluk kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah, daripda ajaran-ajaran (agama) yang zalim kepada keadilan Islam, dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas sehingga akhirat.

Inilah Islam. Umat Islam diberi kemenangan oleh Allah s.w.t ketika mereka berpegang dengan ajaran Islam. Apa yang dialami oleh umat Islam hari ini lemah dan hina kerana mereka meninggalkan ajaran Islam. Ketahuilah bahawa Islam adalah ajaran yang mulia yang tidak boleh disamakan dengan agama-agama yang lain. Walaupun kita mengizinkan kebebasan agama kepada penganut-penganut agama lain, namun kita tidak mengatakan Islam sama dengan agama yang lain. Islam adalah agama yang mulia mengatasi segala agama yang lain.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment