Friday, October 26, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 17 SAFAR 1440 / 26 OKTOBER 2018


KEBENARAN JAMINAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ، وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ  الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyaksikan kebenaran jaminan Allah s.w.t untuk memelihara Islam ini. Firman Allah Ta'ala:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ [سورة الحجر : ٩]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Kita menyaksikan bagaimana ketahanan dan kekukuhan agama Islam dipelihara oleh Allah s.w.t sehingga hari ini dan sehingga hari kiamat. Seluruh dunia menyaksikan pengikut nabi-nabi zaman dahulu meminda kitab suci mereka dan meminda agama mereka, khususnya agama yahudi dan agama kristian, sehingga agama itu menyeleweng daripada Islam, agama yang sebenar yang dibawa oleh semua nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam.

Kita menyaksikan Islam dipelihara oleh Allah s.w.t sehingga hari ini dan kita yakin akan terpelihara sehingga akhir zaman dan bertemunya hari kiamat. Kita menyaksikan walaupun musuh-musuh Islam telah berjaya menghilangkan pemerintahan Islam yang besar dan kuat yang memelihara agama ini tidak ada kerajaan Islam yang kuat, tidak ada negara Islam yang menjadi kuasa besar, bahkan negara umat Islam dijajah dan ditakluk oleh mereka, tanahairnya dipecah dan dibelah bahagi serta umatnya dipecah dan diperintah, dijajah oleh kuasa-kuasa penjajahan barat dan timur.

Kita menyaksikan bagaimana mereka telah berjaya melalui serangan bersenjata dan melancarkan serangan pemikiran untuk menghapuskan agama Islam ini. Namun Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t. Kita menyaksikan dakwah Islam tidak mati. Namun Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja di zaman adanya negara Islam termasuk di zaman penjajahan yang paling kejam dan paling zalim. Islam berkembang di seluruh rantau nusantara, Islam berkembang di Asia Tengah, berkembang di timur dan barat. Kemaraan cahaya Islam tidak boleh dipadam dan disekat oleh mereka sehingga pengaruh Islam menguasai seluruh pelusuk dunia.

Telah berlaku apa yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ. [رواه امام احمد]

(Maksudnya): Sesungguhnya urusan agama ini akan sampai (ke seluruh pelusuk dunia) di mana adanya siang dan malam.

Di mana adanya siang dan malam serta adanya manusia, Islam akan sampai ke seluruh pelusuk dunia. Dalam masa yang sama kita sedar bagaimana musuh-musuh Islam juga bekerja keras untuk menyekat kemaraan Islam dan kalau boleh memadamkan cahaya agama di mana umat Islam menjadi sasaran mereka. Selepas kejatuhan kuasa besar Farsi dan Rom, Islam di zaman khalifah Umar ibnu Al-Khattab r.a mereka gagal menghalang kemaraan tentera Islam. Mereka mengadakan perancangan bagaimana untuk merosakkan pemikiran umat Islam. Setelah gagal menentang dari luar, mereka menentang dari dalam. Cerdik pandai mereka digunakan untuk menyusup ke dalam umat Islam. Mereka mencipta berbagai-bagai ideologi atau fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada Islam menggunakan akal fikiran. Diciptanya aliran Muktazilah, Jabariah, Qodariah dan lain-lain lagi melalui ahli-ahli falsafah dan pemikir mereka untuk mempengaruhi orang Islam yang jahil.

Tidak dinafikan adanya umat Islam yang jahil. Namun di sana Allah s.w.t mewujudkan pemimpin-pemimpin dan ulamak-ulamak yang boleh mempertahankan Islam walaupun seluruh Al-Quranul Karim, hadits dan kitab-kitab dibakar hangus. Allah s.w.t bukan sahaja memelihara ilmu Islam di dalam kitab-kitab yang ditulis, tetapi Allah s.w.t juga memelihara di dalam hati dan dada para ulamak yang menghafaz kitab-kitab itu dan yang boleh mengarang semula bagi mempertahankan Islam. Bukan sahaja mempertahankan namanya, tetapi juga mempertahankan ajarannya.

Kita menyaksikan pada hari ini serangan terhadap Islam terus dilakukan apabila mereka mewujudkan di dalam masyarakat Islam orang-orang yang dianggap berpendidikan tinggi dengan fahaman-fahaman baharu dalam kalangan umat Islam menggunakan taktik strategi merosakkan, kristian yang dianut oleh barat. Kalau kristian ada mazhab Protestan, mazhab Orthodox dan beberapa istilah yang digunakan oleh mereka. Mereka mewujudkan dalam masyarakat Islam hari ini kalangan yang dikenali dengan golongan Liberal Islam, progresif Islam. Mereka menganggap orang-orang yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadits adalah golongan konservatif atau kuno. Dan terdapat umat Islam yang tidak memahami hakikat agama Islam terpengaruh dengan mereka.

Kita perlu menyedari Al-Quran adalah petunjuk sehingga hari kiamat walaupun kehidupan manusia dan dunia berubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Di sana ada perkara-perkara rukun yang tidak mungkin diubah oleh akal fikiran manusia, yang berkait dengan Rukun Iman, Rukun Islam, Akidah, perkara halal dan haram yang tetap dipelihara oleh Allah s.w.t dan wajib bagi umat Islam berpegangnya dan tidak boleh diubah, tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Begitulah hukum-hukum yang dinaskan yang berkait dengan mu'amalat, berkait dengan jinayat dan berkait dengan pemerintahan yang dinaskan oleh Allah s.w.t tidak mungkin diubah perkara yang tidak mampu difikir oleh akal manusia yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Itulah petunjuk yang tidak boleh diubah. Di sana ada dasar-dasar yang umum yang boleh dilaksanakan mengikut keadaan masa.

... وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ ... ﴿٣٨﴾ [سورة الشورى : ٣٨]

(Maksudnya): Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka.

Allah s.w.t tidak memperincikan bagaimana cara mengadakan mesyuarat mengikut keadaan masa dan tempat.

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ ... ﴿٦٠﴾ [سورة الأنفال : ٦٠]

(Maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan.

Allah s.w.t tidak memperincikan apakah jenis kekuatan itu. Dan banyak lagi ajaran-ajaran yang lain dengan masa dan keadaan yang berubah. Para ulamak berijtihad dan ilmuan-ilmuan Islam mengkaji mengikut keadaan masa. Dalam masa yang sama umat Islam tidak hanyut, kerana di sana ada perkara tegas yang tidak boleh diubah sekali-kali.

Percayalah perancangan golongan Liberal dan golongan yang menamakan diri mereka progresif yang dianggap maju, mereka akan gagal dan tidak berjaya sebagaimana bencana yang menimpa dunia kristian pada hari ini berlaku keruntuhan politik, ekonomi dan sosial kerana kelemahan pengikut-pengikut mereka. InsyaAllah, agama Islam tidak mungkin diroboh oleh mereka walaupun dengan kelemahan pengikut-pengikut umat Islam. Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment