Friday, October 26, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 17 SAFAR 1440 / 26 OKTOBER 2018


KHURAFAT MENGUNDANG BALA ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٠٧﴾ (Surah Al-Baqarah ayat : 107)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Khurafat Mengundang Bala Allah".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Khurafat adalah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Amalan khurafat mengalih kebergantungan manusia daripada Allah kepada makhluk yang dicipta. Ajaran Al-Quran menyeru kepada kebergantungan kita kepada Allah dan menolak kepercayaan terhadap selain daripada Allah bagi mendapat kebaikan dan keburukan. Yakinlah kita bahawa yang memberi segala kenikmatan dan kemudaratan hanyalah Allah. Hanya kepada Allah sahaja seluruh makhluk bergantung dan berserah. Ini dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1 hingga 4:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan ; dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya".

Perkataan khurafat membawa maksud sesuatu yang dipetik atau cerita bohong, dongeng dan tahyul, atau sesuatu hal yang tidak masuk akal. sesuatu pendustaan tetapi menarik. Lebih jelas lagi iaitu amalan yang melibatkan perbuatan lisan, cerita atau kisah. Pemujaan seperti batu, kayu, tanah, pokok dan seumpamanya, mempercayai serta beriktikad dengan yakin sebagai boleh mendatangkan kebahagiaan, manfaat ataupun penderitaan dan mudarat kepada seseorang. Semuanya itu sama sekali tiada sumber dalam ajaran Islam yang maha suci malah bertentangan pula dengan kewarasan akal yang sihat. Kerana itu ianya adalah kebatilan semata-mata dan tidak mengandungi unsur kebenaran.

Amalan khurafat telah berlaku sejak zaman jahiliyyah sehinggalah kini. Pada zaman jahiliyyah mereka yang bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia membawa petanda yang baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah maka mereka akan menangguhkan musafir mereka kerana ditakuti bala akan turun. Perkara seumpama itu masih berlaku hingga kini tetapi dalam bentuk kepercayaan yang sama tetapi perbuatan khurafat yang berbeza. Untuk kita mengenali adakah sesuatu perkara itu khurafat atau tidak adalah berdasarkan ciri-ciri berikut:

1. Amalan yang tidak berdasarkan kepada nas-nas syarak Al-Quran atau hadits Nabi s.a.w.
2. Mengandungi cerita-cerita rekaan, dongeng khayalan atau karut.
3. Bersumberkan daripada kepercayaan-kepercayaan lama dan bercanggah dengan ajaran Islam.
4. Menggunakan barang-barang tertentu bersalahan dengan tujuan aslinya seperti keris, batu cincin, tangkal, kayu-kayan dan sebagainya yang digunakan untuk pemujaan.
5. Bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.
6. Berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus melalui kubur, patung, pokok dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Persoalan kini, kenapakah perkara khurafat ini masih berlaku dalam masyarakat? Kenapa masih ada umat Islam percaya kepada kuasa bomoh yang mengamalkan ilmu hitam? Kenapa masih ada yang percaya kepada kubur keramat, bunyi burung hantu sebagai petanda adanya kematian, atau percaya kepada musibah hari dan waktu tertentu? Semua ini berhubung kait dengan kelemahan akidah dan kerapuhan iman di kalangan kita.

Siaran televisyen juga kerap menyiarkan cerita-cerita hantu dan tahyul yang mengandungi unsur khurafat juga turut menyumbang kepada amalan khurafat ini. Malah ada sebahagiannya yang menjadikan cerita-cerita itu sebagai rujukan untuk dijadikan sebagai amalan, seperti amalan susuk, memohon nombor ekor di kubur dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Khurafat adalah satu bentuk penyelewengan akidah. Ia menyalahi pergantungan manusia kepada penciptaan iaitu Allah, sebaliknya berpaling kepada makhluk yang diciptakan oleh Allah. Malah Al-Quran telah mengarahkan agar manusia bergantung kepada Allah dan menolak kepercayaan selain-Nya agar kita memperoleh kebaikan dan menolak keburukan. Allah s.w.t menegaskannya dalam Surah Az-Zumar ayat 38:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلْ أَفَرَأَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ رَحْمَتِهِ ۚ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ ۖ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ ﴿٣٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang syirik itu), siapakah yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab "Allah". Katakanlah kepada mereka; Kalau demikian, bagaimana pendapat kamu tentang apa yang kamu sembah selain daripada Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka menghilangkan bahaya-Nya itu atau jika Ia hendak memberi rahmat kepadaku, dapatlah mereka menahan rahmat-Nya itu? Katakanlah lagi; Cukuplah Allah bagiku, kepada-Nyalah hendaknya bertawakkal bagi orang yang mahu bertawakkal".

Sedarlah kita semua wahai sidang hadirin sekalian. Amalan khurafat ini merupakan salah satu amalan yang syirik di dalam Islam. Dalam hal ini, kita telah melakukan satu dosa besar iaitu syirik, dosa yang tidak diampunkan oleh Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisa' ayat 48:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ﴿٤٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan akan mengampuni dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar".

Sesungguhnya mempercayai perkara khurafat dan tahyul akan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah nasib kepada takdir. Ini bertentangan dengan Islam yang menggalakkan umatnya berlumba-lumba berusaha mencari kebaikan dan kejayaan. Kita akan menjadi umat yang ketinggalan dan hanya melihat kejayaan yang dicipta oleh umat lain. Setiap bala bencana, musibah, terkurang dan terlebih rezeki adalah ketentuan Allah.

Ingatlah bahawa segala yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah. Hanya kepada-Nya tempat kita memohon sesuatu dan tempat kita berserah diri sebagaimana firman Allah pada ayat 107 Surah Al-Baqarah yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud:

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah dan tiada sesiapa pun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan".

Oleh itu, marilah kita membersihkan diri daripada khurafat dan tahyul yang berupa pemikiran dan fahaman jahiliyyah yang kesannya boleh memesongkan pegangan akidah kita, marilah kita terus meningkatkan kefahaman Islam dengan memperkukuhkan akidah. Hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Hindarkan diri kita daripada fahaman yang menyesatkan dan mengelirukan. Kembalilah kepada pegangan akidah yang sebenar supaya kehidupan kita diredhai oleh Allah di dunia dan di akhirat. Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Yunus ayat 106:

وَلَا تَدْعُ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ ۖ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِينَ ﴿١٠٦﴾

Maksudnya: "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja kepadanya selain Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan sedemikian, maka pada saat itu menjadilah engkau daripada orang yang zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Apa yang menjadi kerisauan kita ialah, setiap dosa-dosa besar akan mengundang kemurkaan Allah. Andainya tidak diikuti dengan taubat akibat kezaliman syirik yang kita lakukan akan membinasakan diri kita sendiri. Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, sebaliknya hamba-hamba-Nyalah yang menzalimi diri mereka sendiri. Setiap bala Allah itu adalah merupakan peringatan serta menjadi iktibar kepada generasi kemudian. Semua peringatan itu demi menghindari dari berulangnya bala Allah agar generasi seterusnya mengambil 'ibrah pengajaran, bahawa setiap maksiat atau dosa akan menerima pembalasan yang setimpal sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Moga-moga kita dipelihara Allah jua hendaknya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment