Friday, June 22, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 8 SYAWAL 1439 / 22 JUN 2018


SYAWAL BULAN SILATURRAHIM

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; Syawal Bulan Silaturrahim".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Secara lazimnya, pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih lagi dalam tempoh meraikan 'Eidul Fitri. Sambutan 'Eidul Fitri diwarnai dengan rumah terbuka sama ada ianya diadakan secara besar-besaran mahupun sederhana. Kemeriahan rumah terbuka ini, dapat dirasakan dengan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjung, berkenal kenalan, menghulurkan duit raya sebagai hadiah atau sedekah yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Percayalah, agama Islam sangat menggalakkan penganutnya agar sentiasa berusaha, untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturrahim dan ukhuwwah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat".

Maka dengan itu, seseorang tidak dikira sempurna imannya sekiranya ia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka. Ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِي جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَسْكُتْ

Maksudnya: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Imam Ibnu Al-Asir Al-Jauzi berkata: "Silaturrahim adalah suatu ungkapan berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturrahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan, konsep rumah terbuka dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Amalan ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Lantaran itu, akan terbentuklah suatu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam a.s, dan dengan sebab itulah Islam mengajak manusia saling kenal mengenal antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami sesama insan.

Allah s.w.t menggandingkan antara saranan supaya bertaqwa kepada-Nya dengan perintah berbuat kebaikan kepada kaum keluarga dan melarang daripada memutuskan hubungan silaturrahim. Seterusnya ini dapat menegaskan akan maksud betapa wajibnya menunaikan hak Allah, maka adalah wajib juga menegakkan hak makhluk-Nya, khususnya yang termasuk persoalan hubungan kekeluargaan antara mereka. Bahkan menunaikan hak mereka adalah antara hak Allah yang sudah diperintahkan oleh-Nya.

Justeru, agama Islam telah menggariskan beberapa peraturan dan adab ketika mengadakan rumah terbuka. Antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam sebagai seorang tetamu ialah mestilah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada awal pagi, tengahari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu-waktu tersebut pihak tuan rumah sedang berehat. Sebagai tetamu juga, perlulah meminta izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang dikunjungi sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَفَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى أَمْرٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya: "Demi yang nyawaku pada tangan-Nya, tiada kamu akan memasuki syurga sehingga kamu beriman. Tiada kamu beriman sehingga kamu berkasih sayang. Hendakkah kamu semua, aku tunjukkan kepada suatu perkara yang apabila kamu laksanakannya nescaya kamu semua berkasih sayang? Sebarkanlah salam di antara kamu". (Hadits riwayat Imam Abu Daud)

Kita juga dituntut berjabat tangan dan ia mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Budaya bersalaman kita tidak sama dengan budaya barat dan orang bukan Islam. Mereka bersalaman tanpa mengira lelaki ataupun wanita yang bukan mahram sedangkan ia amat dimurkai oleh Allah s.w.t. Selain itu, sebagai tetamu juga, adalah tidak sepatutnya untuk bebas melakukan apa sahaja di rumah orang kerana perbuatan sedemikian akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Jagalah mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah meninggikan suara sepanjang menjadi tetamu dan segera pulang apabila diminta.

Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati, antaranya, mestilah berniat ikhlas menerima kunjungan dan bukannya menunjuk-nunjuk serta menghormati dan memuliakan tetamu. Disamping itu, tuan rumah juga digalakkan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Ingatlah, bahawa memulia dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita, dengan mengamalkan amalan yang telah dianjurkan oleh agama Islam. Ia juga bertepatan dengan usaha-usaha murni menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Yakinlah bahawa menjalinkan silaturrahim memiliki begitu banyak manfaat, antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan rasul-Nya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, diberi keluasan rezeki oleh Allah s.w.t, diampunkan dosa dan peluang berdakwah yang lebih baik. Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang erat, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka, dan yang akhirnya diberi jaminan syurga oleh Allah s.w.t. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan pada bulan Syawal ini untuk menjalin semula keakraban hubungan dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih, mudah-mudahan bertambah mantap perpaduan antara kita semua.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment