Friday, June 29, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 15 SYAWAL 1439 / 29 JUN 2018


BERIBADAH SECARA ISTIQAMAH

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٣﴾ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Beribadah Secara Istiqamah".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Islam amat menitikberatkan umatnya supaya istiqamah dalam setiap apa yang dilakukan. Kalimah istiqamah membawa pengertian melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan bukan terhenti pada musim-musim tertentu sahaja. Ini kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah s.w.t, bahkan individu yang beristiqamah mempunyai pegangan aqidah Islam yang sebenar dan mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun. Firman Allah s.w.t dalam Surah Hud ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿١١٢﴾

Maksudnya: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Beristiqamah dalam sesuatu amalan kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya. Terdapat beberapa tanda orang yang beristiqamah sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Utsman bin Hassan As-Syakir Al-Khaubawi di dalam kitabnya Durratun Nashihin iaitu sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari prasangka buruk, tidak menghina sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa berinfaq di jalan Allah s.w.t, sentiasa memelihara pandangan dari maksiat, tidak membanggakan diri dan sentiasa berpegang teguh dengan aqidah yang betul.

Bagi memastikan istiqamah terhasil, maka kita perlu melalui tiga tahap.

Pertama: Istiqamah hati. Iaitu keadaan di mana kita sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas. Dalam keadaan ini, istiqamah hati mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang membawa kepada kebenaran.

Kedua: Istiqamah lisan. Iaitu memelihara lisan dan tutur kata kita dari ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan. Tahap kedua ini ada pada orang beriman yang berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah s.w.t semata-mata.

Ketiga: Istiqamah perbuatan. Iaitu yang merangkumi ketekunan kita dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah s.w.t sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat atau berputus asa.

Yakinlah, dengan beristiqamah dan berpegang teguh pada jalan Allah s.w.t nescaya kita akan mendapat rahmat daripada Allah s.w.t di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t dalam Surah Fussilat ayat 30:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham); Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Bagi orang yang tidak istiqamah pula, mereka akan mudah diserang rasa kecewa dan putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Menurut pemerhatian mimbar, antara faktor yang menggagalkan usaha istiqamah ini adalah kelemahan benteng diri muslim dalam mempertahankan kesucian dan ketaqwaan di dalam jiwa mereka. Justeru bagi mengatasi masalah ini, mimbar ingin menyarankan beberapa langkah berikut.

Pertama: Muroqobah. Iaitu merasakan kebersamaan dengan mengingati Allah s.w.t dengan cara memikir, merenung dan meneliti kebesaran ciptaan-Nya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan mata hati yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah s.w.t.

Kedua: Mawahadah. Iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai kebenaran Islam kerana dirinya telah beriktikad dan berikrar di hadapan Allah s.w.t.

Ketiga: Muhasabah. Iaitu usaha seseorang hamba untuk melakukan perhitungan atas perbuatan sama ada sebelum, semasa dan sesudah melakukannya.

Keempat: Mu'aqobah. Iaitu seseorang menghukum terhadap dirinya sendiri di atas kesilapan yang telah dilakukan.

Kelima: Mujahadah. Iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dan menerapkan seluruh nilai Islam dalam kehidupan. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidatina 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

عَلَيْكُمْ بِمَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ

Maksudnya: "Lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah s.w.t sukai ialah amalan yang dilakukan berterusan". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Muslimin sekalian,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, sebagai mukmin, kita perlu sedar bahawa amalan mulia yang dilaksanakan setakat ini seperti selawat, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain amalan tidak seharusnya terhenti begitu sahaja. Amalan-amalan tersebut perlu diteruskan dengan istiqamah bahkan dipertingkatkan lagi kualiti dan kuantitinya dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat keredhaan Allah s.w.t. Marilah sama-sama kita mengamati inti khutbah yang telah disampaikan tadi untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah dengan:

Pertama: Berpegang kepada aqidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.

Kedua: Sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.

Ketiga: Mensucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah s.w.t di samping melatih diri selalu mengingati kebesaran-Nya dan meninggalkan sifat mazmumah.

Keempat: Melazimi pakaian taqwa dan patuh syariah.

Kelima: Sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment