Friday, June 15, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 1 SYAWAL 1439 / 15 JUN 2018


HIKMAH RAMADHAN DALAM MENYAMBUT 'EIDUL FITRI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَعَزَّنَا بِالْإِيمَانِ بِهِ، وَهَدَانَا إِلَى شَرِيعَتِهِ، وَأَسْعَدَنَا بِاتِّبَاعِ أَفْضَالِ رُسُلِهِ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Hikmah Ramadhan Dalam Menyambut 'Eidul Fitri".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada hari ini, dengan kedatangan 1 Syawal adalah saat umat Islam seluruh dunia bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih membesarkan Allah s.w.t, sebagai tanda kemenangan dan kejayaan, menunaikan perintah Allah  s.w.t, dengan melawan musuh manusia yang sebenar iaitu hawa nafsu sendiri. Gema takbir ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah r.a:

زَيِّنُواْ أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ

Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir". (Hadits riwayat Imam At-Tabrani)

Yakinlah, mereka yang berjaya melaksanakan segala tuntutan sepanjang bulan Ramadhan, akan merasa gembira dengan menerima anugerah 'Eidul Fitri yang disyariatkan oleh Allah s.w.t, untuk dirayakan dan disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

Maksudnya: "Dan supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur".

Sesungguhnya pengertian 'Eidul Fitri, membawa makna yang mendalam, 'Eid bererti kembali, perayaan atau ulang tahun. Manakala Fitri bermaksud berbuka atau makan minum, yang mana seluruh umat Islam pada hari 'Eidul Fitri, diwajibkan berbuka dan diharamkan berpuasa.

Ia juga membawa maksud, fitrah atau tabiat asal kejadian manusia yang suci bersih, yang mana setelah selesai sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan. Mimbar berharap sambutan di seluruh negara pada hari ini dipenuhi dengan perkara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadhan yang baru berlalu dan bulan Syawal yang mulia ini.

Hakikatnya, kemeriahan 'Eidul Fitri dapat dirasai oleh kita semua. Kita berkumpul di masjid untuk menunaikan solat 'Eidul Fitri dan mendengar khutbah. Kita bersalam-salaman untuk memohon kemaafan, perselisihan atau perbalahan dilupakan, mana yang kusut kembali dirungkaikan bak kata pepatah "Biduk Berlalu Kiambang Bertaut". Kita juga mengambil kesempatan untuk menziarahi pusara orang tua serta mengadakan rumah terbuka, menjemput sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan serta saling berkunjung-kunjungan. Justeru, dalam keghairahan meraikan 'Eidul Fitri, janganlah sampai kita melakukan pembaziran. Berbelanjalah dengan mengikut kemampuan. Raikanlah 'Eidul Fitri dengan berpada-pada dan tidak membazir kerana ianya dibenci oleh Allah s.w.t.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Percayalah setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan, kita dilatih tubi untuk melaksanakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat. Semuanya itu, merupakan hasil daripada hikmah Ramadhan yang boleh mendorong kita ke arah menjadi umat yang bertaqwa.

Dengan Ramadhan juga menjadikan kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab ayat 35:

وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٣٥﴾

Maksudnya: "Lelaki dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatan mereka dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan walaupun Ramadhan telah berlalu, janganlah kita jadikan ia sebagai penghujung ibadah. Sebaliknya, jadikan ia sebagai bulan latihan untuk kita terus membiasakan diri beribadah kepada Allah s.w.t pada bulan-bulan yang lain. Oleh itu, eloklah kita bermuhasabah, apakah kesan bulan Ramadhan terhadap kehidupan kita? Rasulullah s.a.w menyatakan di dalam hadits baginda yang diriwayatkan oleh Saiyidina Syadad bin Aus r.a iaitu:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا ثُمَّ وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Bermaksud: "Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematiannya sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mengambil hikmah Ramadhan bagi memberkati 'Eidul Fitri yang diraikan ini. Kita yang diberikan kesempatan melalui Ramadhan Al-Mubarak dan Syawal yang penuh keberkatan, maka marilah sama-sama kita memperbanyakkan bekalan akhirat dengan amal-amal soleh dalam hari-hari yang mendatang iaitu menyambung amalan sepanjang Ramadhan yang berlalu ini. Moga-moga amalan kita diterima oleh Allah s.w.t sebagai amalan yang diredhai-Nya. Mengakhiri khutbah pertama ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment