ISTIQAMAH MEMPERTAHANKAN FITRAH
Khutbah Pertama
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat Allah سبحانه وتعالى demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Istiqamah Mempertahankan Fitrah".
Sidang hadirin sekalian,
Alhamdulillah, sekarang ini kita berada di penghujung bulan Syawal. Marilah kita menginsafi dan merenung kembali bahawa fitrah kita dijadikan Allah mempunyai dua perkara. Pertama, untuk berkelakuan sebagai hamba-Nya walau apa pun kedudukan kita di mata masyarakat. Fitrah yang kedua, kita telah dilantik sebagai wakil Allah mentadbir alam ini. Allah menghendaki agar alam ini ditadbir oleh orang-orang yang berjaya memaksa dirinya kekal dalam fitrah kehambaan dengan kekal beriman dan beramal soleh. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nur Ayat 55:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ... ﴿٥٥﴾
Bermaksud: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka (khalifah yang berkuasa)".
Namun, kedua-dua fitrah ini tidak kebal daripada dirosakkan malah kewajipan kita semua untuk menjaganya. Hari ini kita sedang terkepung dengan anasir-anasir yang cuba merosakkan kedua-dua fitrah ini. Musuh sentiasa mencari peluang merosakkan rasa kehambaan kita kepada Allah, tidak jemu menggoda kita untuk menukarkan rasa kehambaan kita kepada Allah beralih menjadi hamba kepada nafsu, hamba kepada pangkat, hamba kepada kemahsyuran, hamba kepada kedudukan sehingga tidak lagi rasa manis menghambakan diri kepada Allah سبحانه وتعالى.
Maka apabila yang dikejar kepuasan sementara yang sifatnya sangat peribadi maka rasa fitrah kedua iaitu sepatutnya kita menjadi khalifah, menjadi umat teladan, bukan lagi sesuatu yang dirasakan wajib. Rasa memadai Islam dan umat Islam diperintah dengan sistem bikinan manusia, makan minum disuap oleh orang lain, hatta agenda umat pun dirangka oleh orang lain.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Manusia yang kembali ataupun kekal kepada fitrahnya adalah manusia yang hebat. Muhammad Ali yang dikenang oleh kawan dan lawan bukan hanya kerana kehebatannya di dalam gelanggang tinju, tetapi kerana prinsip perjuangannya yang dibuktikan di luar gelanggang. Dari hidup sebagai seorang bintang dan jutawan, sekelip mata Ali menjadi "musuh masyarakat" di Amerika Syarikat. Dia tidak takut untuk menyatakan kebenaran prinsipnya, walaupun dia seolah-olah berseorangan ketika itu.
Ali juga adalah contoh seorang muslim yang teguh dengan fitrah akidahnya. Beliau tidak segan silu untuk menyatakan keimanannya di mana sahaja. Pernah seorang remaja bertanya tentang perancangannya selepas bersara, jawapannya untuk berdakwah dan mentauhidkan Allah. Orang yang sentiasa bersama-sama dengan beliau sering bercerita tentang akhlaknya yang sentiasa merendah diri dan sentiasa membaca Al-Quran walaupun dalam keadaan keletihan. Perkara ini diceritakan sendiri oleh penulis autobiografinya yang berkesempatan tinggal bersama dengannya.
Muslimin yang berbahagia,
Fitrah juga perlu dipelihara dengan kekuasaan dan undang-undang. Benarlah ungkapan Saiyidina Uthman dan Saiyidina Umar رضي الله عنهما:
إِنَّ اللهَ يَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah memberikan kuasa kepada sultan (pemerintah) untuk menghalang sesuatu yang gagal dihalang dengan Al-Quran".
Ini peranan hukuman dan undang-undang. Ini kewajipan semua umat Islam terutamanya penggubal dasar. Perbuatan zina, bersekedudukan tanpa nikah, khalwat, perkahwinan sejantina atau sejenis, LGBT, kempen membenarkan makan minum di khalayak ramai oleh wanita yang uzur di dalam bulan Ramadhan baru-baru ini adalah perkara-perkara di luar fitrah. Tetapi isu inilah yang dijulang setiap hari dengan menggunakan atas nama hak asasi manusia yang digerakkan secara terancang.
Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,
Al-Quran mewajibkan kita sebagai umat Islam berhukum dengan hukum-hukum Al-Quran sebagai manifestasi fitrah kita sebagai hamba Allah dan fitrah kekhalifahan menunaikan amanah Allah di atas muka bumi ini. Kita dihukum dengan hukuman Allah itulah fitrah kehambaan. Kita menghukum dengan hukum Allah itulah fitrah kekhalifahan.
Kita sebagai umat Islam di Malaysia wajib berhukum dengan hukuman-hukuman ini. Namun, kita terpaksa menerima realiti bahawa kesalahan-kesalahan sivil diadili oleh Mahkamah Sivil. Orang Islam juga terikat dengan undang-undang ini. Kita hanya mempunyai hal-hal yang terhad untuk berhukum dengan peraturan yang benar-benar dikanunkan oleh Allah سبحانه وتعالى.
Kesalahan Jenayah Syar'iyyah, ianya terhad kepada beberapa kesalahan sahaja seperti khalwat, zina, bersekedudukan dan lain-lain yang lebih berkaitan dengan kekeluargaan, akidah dan sedikit berkaitan isu-isu syar'iyyah. Adapun kebanyakan kesalahan lain, umat Islam diadili oleh Mahkamah Sivil.
Amat pelik apabila sebuah negara yang termaktub di dalam perlembagaannya bahawa Islam sebagai agama persekutuan, ketua negaranya bersumpah untuk menjaga Islam pada setiap masa dan majoriti rakyatnya adalah muslim, mempunyai Mahkamah Syariah tetapi hanya mampu menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan Jenayah Syar'iyyah dengan maksimum denda RM5,000, penjara 3 tahun dan 6 kali sebatan. Sebagai perbandingan, seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi kesalahan memburu. Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas pun dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.
Cadangan meminda akta Mahkamah Syari'yyah (bidang kuasa jenayah) 1965 (pindaan 1984 Akta 355) untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syar'iyyah baru-baru ini di Parlimen adalah sebagai satu usaha untuk memenuhi tuntutan mengekalkan fitrah sebagai hamba Allah dan khalifah Allah walaupun masih jauh dari piawaian sebenar. Namun, usaha ini pun sudah menapat respon keras yang memerlukan seluruh umat Islam bergabung tenaga untuk menyokong dan mempertahankan usaha ini agar berterusan sehingga ke garisan penamat.
Buat akhirnya, siapa pun kita, kita memerlukan peringatan dan teguran agar kita tetap berada di atas landasan fitrah kehambaan dan fitrah sebagai khalifah Allah. Awas, jika kita hanya suka dipuji takut-takut kita dikelilingi oleh pembantu kaki ampu. Jangan terkeliru antara ampu dengan setia. Kaki ampu menipu, sedangkan orang setia, berpegang kepada prinsip yang benar. Setia pada kebenaran itulah setia yang sebenar. Manakala kaki ampu hanya dahagakan pangkat dan kedudukan. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai "menderhaka" maka kita akan kehilangan orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sejarah kepimpinan yang berjaya dalam kalangan para Rasul dan Khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Apabila orang yang jujur mula meninggalkan kita maka yang tinggal hanyalah pengampu dan pemuka yang bukan membantu tetapi "membuntu". Nasihat dan pandangan bukan berdasarkan realiti sebenar tetapi lebih untuk menjaga kepentingan peribadi. Akibatnya, berlakulah seperti yang dikatakan oleh pepatah melayu, "harapkan sokong, sokong membawa rebah" atau "harapkan pagar, pagar makan padi". Mereka yang tidak bergantung hidup kepada manusia sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa takut dan segan kepada makhluk. Menegur bukan kerana benci tetapi kerana sayang.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَأُسْوَتِنَا سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى :
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: Ayat 56)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
Ya Allah, sudah lebih separuh abad kami bernaung di bawah langit-Mu, belum pun kami terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar, masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya kami. Apakah sisa umur kami masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Kami belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun kami tahu, siapalah kami untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah, segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Engkau yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk kami. Kami merayu pada-Mu ya Allah, kami mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, kami tidak akan memohon kepada-Mu ya Allah kerana rasa malu kami dan hina untuk meminta. Mohon dijinakkan nafsu liar kami. Wahai yang Maha Adil, kutiplah kami untuk menumpang sekalipun dipinggirkan rahmat-Mu. Walau kami sering lupa.
Ya Allah, jauhkanlah kami dari topeng munafik yang menipu daya ini. Kami juga tidak mampu menangis kerana dosa ya Allah, kerana kerasnya hati kami ini. Mohon dilembutkan atau mohon kami diberi "hati" yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati. Daun usia kami gugur helai demi helai. Namun, kolam hati kami kian keruh. Mudah-mudahan pada hari ini kami akan "dilahirkan' semula.
Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Allah, kami semua yang hadir ini memohon restu-Mu agar mengurniakan taufik, 'inayah dan ri'ayah kepada Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu serta Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim. Kurniakanlah kebijaksanaan kepada baginda dalam membuat keputusan dan tindakan.
Ya Allah, bantulah hamba-hamba-Mu itu membentengi agama-Mu di negeri ini. Kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain. Demi Allah, kami rakyat mengikat janji akan menjadi tulang belakang kepada hamba-hamba-Mu ini selama mana mereka mendepani kami dalam mempertahankan agama di bumi bertuah ini.
Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Allah, kami semua yang hadir ini memohon restu-Mu agar mengurniakan taufik, 'inayah dan ri'ayah kepada Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu serta Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim. Kurniakanlah kebijaksanaan kepada baginda dalam membuat keputusan dan tindakan.
Ya Allah, bantulah hamba-hamba-Mu itu membentengi agama-Mu di negeri ini. Kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain. Demi Allah, kami rakyat mengikat janji akan menjadi tulang belakang kepada hamba-hamba-Mu ini selama mana mereka mendepani kami dalam mempertahankan agama di bumi bertuah ini.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِِ، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.
No comments:
Post a Comment