Friday, August 12, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 9 ZULKAEDAH 1437 / 12 OGOS 2016


MEMBURU KEMERDEKAAN HAKIKI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan mengerjakan segala seruan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Memburu Kemerdekaan Hakiki".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Bebasnya negara ini daripada penjajahan asing yang datang ke negara ini secara silih berganti adalah satu nikmat yang Allah سبحانه وتعالى anugerahkan kepada kita. Bebasnya negara umat Islam dari cengkaman penjajahan asing adalah sebagai salah satu anak tangga kita untuk meraih kemerdekaan yang sebenar sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Kemerdekaan hakiki dalam Islam hanya berlaku apabila seseorang hamba berjaya memerdekakan dirinya dari sebarang ikatan yang menyebabkan ia gagal mengabdikan dirinya hanya kepada Allah سبحانه وتعالى. Seseorang itu gagal dianggap sebagai merdeka jika ia masih rela kekal menjadi hamba kepada hawa nafsunya. Sesebuah masyarakat itu masih belum merdeka apabila masih tidak total ketundukannya dengan sistem kehidupan sepertimana yang dikehendaki oleh Allah sama ada dari sudut sistem kemasyarakatannya, ekonominya, undang-undangnya dan sebagainya. 

Namun, jangan sesekali disangkal bahawa kemerdekaan negara ini secara rasmi pada 31 Ogos 1957 adalah asas anak tangga penting untuk kita menuju ke arah kemerdekaan yang hakiki. Itu pun sejauh mana umat Islam mengambil kesempatan terhadap nikmat kemerdekaan ini untuk melangkah lebih jauh lagi merealisasikan semua tuntutan kemerdekaan yang hakiki. Asasnya sudah ada, modalnya pun tersedia iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan dan peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan Malaysia yang memberi ruang dan peluang untuk Islam lebih dominan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Kesedaran umat Islam perlu sentiasa disegarkan selalu tentang kefahaman ini. Tidak sepatutnya merasa puas dengan pencapaian yang ada, bahkan mesti merasa setiap masa bahawa ia bertanggungjawab mengisi kemerdekaan negara dengan bersungguh-sungguh, menggunakan semua peluang yang ada untuk meraih kemerdekaan yang hakiki.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kita umat Islam di Malaysia mesti sentiasa sedar bahawa kesedaran begini sangat penting untuk mengimbangi antara dua ekstrim pemikiran, yang pertama menafikan langsung kepentingan merdeka dari penjajahan asing serta tidak langsung menghargainya. Manakala satu lagi ekstrim ialah sangat rasa memadai dengan kemerdekaan yang disambut tiap-tiap tahun, lantaran itu tidak berusaha memaknakan kemerdekaan mengikut piawai kemerdekaan yang hakiki di sisi Allah sepertimana yang dinyatakan tadi. Musuh kepada kesedaran ini ialah kelalaian. Kelalaian berlaku sama ada ia diprojekkan supaya terus berlaku kelalaian di kalangan masyarakat mahupun kelalaian yang tidak disedari berlaku, lantaran berada dalam zon keselesaan dalam tempoh masa yang agak lama.

Umat Islam di Malaysia perlu dijauhkan dengan perkara-perkara yang boleh melalaikan mereka. Namun realitinya, kita terpaksa mengakui bahawa terlalu banyak perkara yang boleh melalaikan cara berfikir umat ini. Bukan tidak ramai para cendikiawan dan mereka yang baik-baik di kalangan kita tetapi tidak ramai yang menjadi pemikir-pemikir yang akan mencari formula menyelesaikan masalah umat. Apa yang dibaca, apa yang ditonton, apa yang dibualkan, amat sedikit yang menghala kepada mencari kemerdekaan yang hakiki. Lebih selesa dengan isu-isu picisan dan ringan-ringan.

Itulah rahsianya apabila Islam mengharamkan sesuatu yang boleh menyebabkan manusia tidak mampu menggunakan akal fikirannya, emosinya, deria rasanya sepertimana yang sepatutnya. Islam mengharamkan arak, judi juga sesuatu yang memabukkan walaupun menggunakan berbagai jenama dan istilah kerana ia merosakkan pertimbangan dan akal yang sihat.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Dalam situasi terkini, maka tepatlah para ulamak senada dengan majoriti ahli masyarakat yang lain sudah menyatakan kerisauan terhadap cadangan menjadikan tanaman daun ketum sebagai tanaman komersil. Walaupun dikatakan ada manfaat, namun potensi untuk disalah gunakan itu lebih besar.

Begitu juga dengan keterujaan seluruh dunia dengan permainan Pokemon Go. Banyak pihak termasuk para ulamak sudah menzahirkan rasa bimbang dengan kelalaian yang bakal timbul dan telah dilaporkan berlaku di beberapa buah negara di dunia ini. Cukup-cukuplah dengan ubat-ubat "pelalian" yang telah berjaya membius pemikiran kebanyakan umat Islam hari ini sehingga melupai kehendak kemerdekaan hakiki yang sebenar. Kemerdekaan hakiki apabila berani berkata "tidak" kepada semua sistem yang tidak "sujud" kepada Allah سبحانه وتعالى seperti yang diisyaratkan dalam Al-Quran, Surah Al-'Alaq Ayat 19:

كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِب ۩ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى :
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment