Thursday, August 18, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 16 ZULQAEDAH 1437 / 19 OGOS 2016


PAGI YANG DIBERKATI SIRI SATU

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسُلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ! أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى الله حَيْثُ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ الْعَزِيْزِ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepada-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Sidang jamaah yang berbahagia,

Salah satu kewajipan setiap muslim adalah melaksanakan solat lima waktu dan lebih dititik beratkan lagi untuk dilakukannya secara berjamaah. Di antara solat berjamaah yang lebih ditekankan lagi adalah Isyak dan Subuh. Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Bagi orang munafik, solat berjamaah merupakan perkara yang amat berat untuk dilaksanakan, solat Isyak dan Subuh berjamaah merupakan perkara yang lebih berat lagi, apabila malas untuk solat berjamaah terutama solat Isyak dan Subuh harus kita berwaspada kerana dalam satu hadith digambarkan dari Abu Ishaq dari bapanya:

سَمِعْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ يَقُولُ صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا صَلَاةَ الصُّبْحِ فَقَالَ أَشَهِدَ فُلَانٌ الصَّلَاةَ قَالُوا لَا قَالَ فَفُلَانٌ قَالُوا لَا قَالَ إِنَّ هَاتَيْنِ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ أَثْقَلِ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا وَالصَّفُّ الْأَوَّلُ عَلَى مِثْلِ صَفِّ الْمَلَائِكَةِ وَلَوْ تَعْلَمُونَ فَضِيلَتَهُ لَابْتَدَرْتُمُوهُ وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Bermaksud: "Aku mendengar Ubai bin Ka'ab berkata: "Suatu hari Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengerjakan solat Subuh, lantas beliau bersabda: Apakah kamu melihat fulan ikut solat berjamaah? Para sahabat menjawab: Tidak. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bertanya lagi; Apakah si fulan (orang lain lagi) ikut solat berjamaah? Sahabat menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Dua solat ini sangat berat bagi orang  munafik. Andaikan mereka mengetahui pahalanya, mereka pasti mendatanginya walau dengan merangkak. Barisan pertama laksana barisan para malaikat, seandainya mereka mengetahui keutamaannya mereka pasti bersegera menuju barisan pertama. Solatnya seseorang bersama orang lain lebih utama baginya daripada solat sendirian dan solat bersama dua orang lebih utama daripada solat berseorangan. Kalau mereka bertambah banyak, Allah 'Azza wa Jalla mencintainya". (Hadith riwayat An-Nasa'ie)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam satu kisah yang mahsyur, ketika pemerintahan Saiyidina Umar Al-Khattab, beliau mendapati Sulaiman bin Abi Al-Hasamah tidak hadir untuk menunaikan solat Subuh berjamaah. Pada pagi itu juga beliau ke rumah sahabatnya lalu bertanya kepada ibunya As-Syifa': "Saya tidak melihat Sulaiman ketika solat Subuh?" Lalu As-Syifa' menjawab: "Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya". Kemudian Saiyidina Umar berkata: "Sungguh, berjamaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Allah سبخانه وتعالى mewajibkan sesuatu ke atas hamaba-Nya itu, pasti ada kelebihannya iaitu waktu Subuh adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya. Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman paling berjaya iaitu zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Baginda sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh. Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi". (Riwayat At-Tirmidzi). Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh itulah dua tiupan kemenangan yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuhnya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Hakikatnya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat terbaik. Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi, namun mengapa seorang mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Pengalaman di Asia Barat, waktu Subuh beku dan kaku. Ini realiti yang sangat menyedihkan. Di negara kita keadaan sama boleh dilihat, jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjamaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu pergi berjogging, bersenam atau membawa anjing mereka berjalan-jalan.

Bayangkan, kerana cinta akan kesihatan masyarakat bukan Islam bangun seawal pagi, sedangkan kita yang mengaku cintakan Allah سبحانه وتعالى dan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم tidak terdorong untuk bangun di awal pagi. Di samping itu, pergerakan dalam solat tersebut terdapat unsur-unsur senaman yang baik untuk kesihatan. Realitinya, umat Islam kini semakin lupa apa yang pernah dikatakan oleh Saiyidina Umar Al-Khattab: "Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?" Mari kita hayati firman Allah dalam Surah An-Nisa' Ayat 103:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا ﴿١٠٣﴾

Bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman yang tertentu waktunya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
 أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment