Monday, July 4, 2016

KHUTBAH HARI RAYA EIDIL FITRI 1437 HIJRAH - 1 SYAWAL 1437 / 6 JULAI 2016


EIDIL FITRI : KEMBALI KEPADA FITRAH, BINA KEMENANGAN

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
الْحَمْدُ لِلّهَِ الَّذِي وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ وَجَعَلَ هَذَا الْيَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الْمُتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وقِيَامِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ! أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى الله حَيْثُ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ الْعَزِيْزِ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Hadirin hadirat yang berbahagia sekalian,

Saya berpesan kepada sidang jamaah sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepada-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Ramadhan telahpun berlalu. Bulan yang penuh dengan ujian dan kepayahan. Beruntunglah orang yang menahan lapar di siang hari, menahan tidur di malam hari dengan penuh keimanan dan pengharapan. Kini muncul Syawal bulan fitrah dan kemenangan. Allah سبحانه وتعالى telah memberi petunjuk melalui firman-Nya dalam Surah Ar-Rum Ayat 30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) agama Allah iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Mukminin mukminat yang dikasihi sekalian,

Sesuai dengan perayaan Eidil Fitri yang mengembalikan kita kepada fitrah dan menjanjikan kita dengan kemenangan, marilah kita bermaaf-maafan atas kekhilafan mahupun kesalahan, mengembalikan budaya ziarah-menziarahi sesama sanak saudara, rakan dan taulan, beradab dalam pertuturan serta menjaga batasan pergaulan, menyebarkan salam bagi mengeratkan ikatan persaudaraan, berpakaian sesuai dengan tuntutan, hindarkan budaya berhibur tanpa batasan, gantikan dengan hiburan dan amalan yang dibenarkan.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Syawal mengembalikan kita kepada fitrah. Fitrah yang membawa erti bersih dari segala kekotoran dosa dalaman mahupun luaran. Mengembalikan manusia seperti permulaan kelahiran dengan fitrah yang bersih lagi suci. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ

Bermaksud: "Tidaklah seorang bayi yang lahir melainkan ia dalam keadaan fitrah (muslim) maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi". (Shahih Imam Muslim)

Atas asas inilah, setiap manusia yang lahir pasti mempunyai naluri untuk mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta. Ramai manusia sering tercari-cari apakah agama yang benar (agama fitrah) yang dapat menunjukkan jalan menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang sukakan kebenaran, mahukan keadilan, cintakan kebaikan, marilah kita berterusan mendidik diri kita, keluarga kita, masyarakat kita agar terus berada pada landasan fitrah ini. Fitrah yang sebenar, berpandukan syariat yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Golongan yang menyalahi fitrah sebenarnya sedang tersesat walaupun kononnya sedang memperjuangkan hak asasi manusia. Mana mungkin fitrah manusia beriman dengan Tuhan Yang Esa diganti dengan tuhan yang berbilang-bilang mahupun tiada tuhan, mana mungkin fitrah manusia berpasangan diganti dengan perkahwinan sesama jenis, mana mungkin fitrah manusia mencari ketenangan diganti dengan muzik yang berantakan, mana mungkin fitrah manusia yang mahukan sistem kewangan yang adil diganti dengan sistem riba yang menekan, mana mungkin fitrah manusia yang mahukan sistem perundangan Islam yang adil dan sempurna diganti dengan sistem perundangan ciptaan manusia yang mempunyai banyak kekurangannya. Ini hanya sebahagian contoh kesalahan manusia menilai kebenaran.

Syaitan dan pembantunya dari kalangan jin dan manusia sememangnya mahu kita menyalahi fitrah. Segala kebaikan akan digambarkan dengan keburukan begitulah sebaliknya. Ingatlah peringatan Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hijr Ayat 39:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾

Bermaksud: "Iblis berkata; Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya".

Hadirin hadirat yang berbahagia sekalian,

Berhati-hatilah! Berpeganglah dengan Al-Quran dan As-Sunnah dengan jalan yang sebenar. Musuh Islam sentiasa mengintai ruang dan peluang bagi menjauhkan kita dari fitrah. Pelbagai ajaran songsang dan pemikiran salah cuba diterapkan sedikit demi sedikit ke dalam jiwa kita. Tidak hairan, sudah ramai umat Islam yang terpedaya shingga mengikut jejak langkah mereka selangkah demi selangkah. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ ؟

Maksudnya: "Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat terdahulu sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya; Ya Rasulullah! Apakah yahudi dan nasrani yang engkau maksudkan? Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab; Siapa lagi kalau bukan mereka". (Hadith riwayat Imam Muslim)

Kembailah kepada fitrah secara keseluruhannya dengan mencontohi baginda صلى الله عليه وسلم dalam segenap kehidupan. Islam tidak hanya diamalkan pada sebahagian kehidupan dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan alasan peredaran zaman. Sebahagian umat amat khuatir memikirkan soal ibadah, tetapi meninggalkan hukum jinayah, mengabaikan sistem mu'amalah, melupakan kepentingan sistem kekeluargaan yang bahas dalam bab munakahat.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Mukminin mukminat yang berbahagia sekalian,

Islam juga adalah agama kemenangan. Kemenangan hakiki di dunia dan akhirat. Al-Quran sendiri begitu banyak menyebut tentang kemenangan seperti kalimah Al-Falah yang bermaksud kejayaan serta pecahannya disebut dalam Al-Quran sebanyak 40 kali. Kalimah Al-Fauz yang juga bermaksud kejayaan atau kemenangan serta pecahannya disebut sebanyak 29 kali. Malah umat Islam diseru dan diperingatkan agar melangkah ke mercu kejayaan sekurang-kurangnya 10 kali sehari semalam melalui laungan azan (حي على الفلاح). Hari raya juga disambut dengan melaungkan kalimah kemenangan. Semua ini bukan sebagai penyedap halwa telinga semata-mata tetapi mesti dihayati dalam kehidupan untuk menzahirkan kemenangan untuk agama Allah سبحانه وتعالى.

Bagi mencapai kemenangan, umat Islam mestilah sanggup berjihad yakni bersungguh-sungguh memenangkan Islam. Bersungguh-sungguh bekerja dan beramal demi agama tercinta. Begitulah yang dicontohkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم bersama para sahabat sanggup berkorban  sanggup berkorban apa sahaja menyebarkan dakwah tanpa mengenal erti penat dan lelah. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 35:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣٥﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepaa Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada -Nya (dengan menjunjung perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan berjuanglah pada jalan Allah (kerana menegakkan Islam) sampai kamu beroleh kejayaan".

Persediaan kepada kemenangan adalah penguasaan ilmu pengetahuan. Ilmu terbukti telah berjaya mengangkat ketamadunan pelbagai bangsa. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Mujadalah Ayat 11:

.... يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾

Bermaksud: "... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah!) Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".

Alhamdulillah, perkembangan budaya menuntut ilmu akhirat di kalangan umat Islam berkembang dengan sangat baik khususnya di negara kita. Semakin ramai yang mempelajari ilmu agama sehingga menjadi Ustaz, Ustazah juga alim ulamak. Orang awam pula ghairah mengikuti majlis ilmu yang diadakan di televisyen, radio, masjid surau serta pelbagai tempat lain. Namun begitu, perlu dipastikan keshahihan sumber ilmu berkenaan lebih-lebih lagi apabila ilmu itu didapati daripada media-media baru.

Selalin daripada itu, antra kekurangan kita umat Islam, masih belum menguasai ilmu dunia seperti sains dan teknologi, ilmu matematik dan lain-lain. dengan ilmu sains dan teknologi, umat Islam boleh membuat persediaan mencipta teknologi baru setanding yang dicipta barat. Samada teknologi ketenteraan mahupun  teknologi pembuatan. Dengan ilmu-ilmu ini, umat Islam akan mampu membina kecemerlangan dan ketamadunan semula sepertimana yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,

Antara syarat bagi kemenangan adalah persaudaraan dan perpaduan. Dengan persaudaraan dan perpaduan yang dibentuk oleh Nabi صلى الله عليه وسلم, telah terbina sebuah Kerajaan Islam Madinah yang kukuh lagi hebat. Persaudaraan dan perpaduan sememangnya merupakan tuntutan Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali-Imran Ayat 103:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

Maksudnya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga), demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu Ayat-Ayat keterangan-Nya sampai kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya".

Sempena hari kemenangan ini, marilah kita kukuhkan persaudaraan dan perpaduan sesama umat Islam dan hindarkan dari sebarang persengketaan. Kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan pada perkara asas berbanding perbezaan pada perkara cabang. Hayatilah kata-kata Syeikh Rashid Redha, "Kita saling membantu pada perkara yang disepakati, berlapang dada pada perkara yang diperselisihkan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى الله حَيْثُ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ الْعَزِيْزِ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [Surah Ali-Imran Ayat 102]

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا ﴿١﴾ [Surah An-Nisa Ayat 1]
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا ﴿٧٠﴾ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا ﴿٧١﴾ [Surah Al-Ahzab Ayat 70 hingga 71]

Sidang jamaah yang rahmati Allah sekalian,

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, mimbar ingin berpesan agar kita meneruskan amalan-amalan soleh yang telah kita usahakan sebelum ini di dalam bulan Ramadhan. Solat berjamaah di masjid,  membaca Al-Quran serta tadabbur Ayat-Ayat Allah, berpuasa 6 hari bulan Syawal, bersedekah, memberi makan serta pelbagai amalan kebaikan yang lain. Jadikanlah Ramadhan sebagai pemangkin, Syawal sebagai penerus amalan secara istiqamah.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات.
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَات بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ. اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً، وَيَقِيْنًا صَادِقًا، وَلِسَانًا ذَاكِرًا، وَقَلْبًا خَاشِعًا, وَعَمَلًا صَالِحًا مُتَقَبَّلًا. اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ. اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْإِمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوْبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَنَ، وَجَعَلْنَا مِنْ الرَّشِدِيْنَ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ. وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالْظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ، وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ أَعْدَآءَ الدِّيْنِ. 
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله وَكَذَلِكَ راج فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
     
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari simpanan awan Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment