Thursday, October 22, 2015

KHUTBAH JUMAAT 10 MUHARRAM 1437 / 23 OKTOBER 2015



RASUAH: DOSA YANG DIABAIKAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴿١٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita memperbanyakkan rasa syukur dan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Rasuah: Dosa Yang Diabaikan".

Sidang Jumaat  yang dimuliakan Allah,

Perbuatan rasuah adalah haram mengikut hukum Islam dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Baqarah Ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya (salahnya)."

Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya daripada mengambil harta orang lain dan jangan sesekali menerima rasuah. Islam mengutuk perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yang merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah SWT. Mereka yang melakukan jenayah rasuah akan menerima siksaan yang berat di akhirat kelak. Ingatlah, perbuatan ini bukan sahaja akan menerima hukuman di akhirat bahkan hukuman di dunia juga turut menanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perbuatan rasuah adalah melanggar amanah dan termasuk ke dalam golongan munafik. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Bermaksud: "Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah dia khianati." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadat solat dan doa hamba kepada Tuhannya. Alangkah ruginya kerana disebabkan perbuatan rasuah, ibadat kita hanya sia-sia dan menjauhkan diri kita daripada mendapat rahmat Allah dan 'inayah Allah SWT. Lebih malang lagi, kesan daripada perbuatan rasuah kita akan terdedah dengan malapetaka dan bencana dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Oleh kerana itu, pada hari ini marilah kita sama-sama membina keperibadan diri agar tidak terlibat dengan amalan rasuah dan berusaha mencari rezeki yang halal walaupun ianya sedikit dan tidak lumayan. Fikir-fikirkanlah apakah makanan dan minuman yang kita suap ke dalam mulut kita, isteri dan anak-anak mahupun segala kemudahan yang kita sediakan untuk mereka adakah berasal daripada sumber yang halal? Sebenarnya, pembentukan peribadi juga sangat berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan yang akan menjadi darah daging dalam diri kita. Rezeki yang halal akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Sebaliknya, rezeki yang haram akan mengundang keluh kesah sebelum siksaan di akhirat.

Justeru itu, marilah kita sama-sama berusaha mempertingkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama dengan seluruh anggota masyarakat, usaha pencegahan tidak akan berjaya. Perkukuhkan keimanan dalam diri supaya dapat menjadi benteng daripada terjebak kepada jenayah rasuah yang keji ini. Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduk hamba-Nya sama ada ketika berkumpulan mahupun bersendirian. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' Ayat 29 dan 30:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾ وَمَن يَفْعَلْ ذَ‌ٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَ‌ٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan ceroboh dan menganiaya maka Kami akan asukkan dia ke dalam api neraka dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah (tidak sesiapa pun yang dapat menghalangnya)."

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Islam amat menitik beratkan rezeki yang halal. Syariat memperingatkan kepada kita bahawa rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan seumpamanya adalah haram dan berdosa. Oleh kerana itu, menjadi kewajipan untuk kita mencari rezeki yang halal dan menghindari yang haram. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 168:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ ﴿١٦٨﴾ 

Bermaksud: "Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu."

Dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu qabilah tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah: "Itu untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat sebagai hadiah kepada saya." Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: "Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua ibu bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu sekiranya kamu orang yang jujur."

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Pengamal rasuah sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan serta menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Justeru itu, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian yang dimuliakan, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi. Bahkan ancaman azab di akhirat amatlah dahsyat. Ingatlah, perbuatan ini amat dimurkai Allah SWT dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Saiyidina Umar bin Abdul Aziz pernah diberikan hadiah sewaktu menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dikatakan kepadanya, "Rasulullah SAW menerima hadiah." Maka Umar bin Abdul Aziz menjawab: "Apa yang diterima oleh Rasulullah itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)." Ambillah pengajaran sikap berhati-hati yang yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Tetapi pada  akhir zaman ini, sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka tanpa rasa berdosa, mereka ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan dan keinginan masing-masing. Hayatilah firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar Ayat 30 dan 31:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ ﴿٣٠﴾ ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ ﴿٣١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu semua pada hari kiamat akan bertengkar berhujjah di hadapan Tuhan kamu."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٦٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Ayat yang dibacakan tadi, dipetik daripada Surah An-Nur Ayat 63 yang bermaksud: "Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab siksa yang tidak terperi sakitnya."

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang cemerlang kerana:

Pertama: Menjamin kesinambungan nasab dan keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman.
Kedua: Meningkatkan martabat dan intergriti organisasi serta warganya.
Ketiga: Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah dan 
Keempat: Membuktikan bahawa amalan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya daripada terlibat dengan jenayah rasuah.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan intergriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga darjat keimanan dan ketakwaan kita semakin bertambah subur supaya dapat berbuat kebaikan dan mencegah diri daripada perkara keji dan mungkar.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. 

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan dikalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،  
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.




No comments:

Post a Comment