bersama kepimpinan ulamak







Friday, July 23, 2021

KHUTBAH JUMAAT - 13 ZULHIJJAH 1442 / 23 JULAI 2021

 MUHASABAH SELEPAS MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ .  وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا أَوْلانَا وَنَشْكُرُهُ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى بِهَا وَالانَا. 

وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ……

فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ.

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36 :

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿٣٦﴾


Maksudnya: Dan telah kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi’ar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya. Maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah kami telah menundukkan untu-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.

Selamat menyambut Aidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah atas nikmat hari raya haji atau korban ini walau pun ini merupakan tahun kedua kita menyambutnya dengan norma baru akibat penularan covid-19 yang belum reda. Hari ini kita sudah berada pada hari yang ke 13 dalam bulan Zulhijjah merupakan hari tasyriq terakhir untuk melakukan sembelihan korban. Khutbah hari ini bertajuk Muhasabah selepas melaksanakan ibadah korban. 

Antara hikmat ibadat haji dan korban ialah menyerlahkan bagaimana Islam itu membawa nilai-nilai kemasyarakatan yang cukup bererti untuk memberi harapan terciptanya masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera. Tujuan para rasul diutus ke dunia ini tidak cuma bersifat kerohanian semata-mata, tetapi juga bersifat kemasyarakatan. 

Atas sifat Keadilan dan Kasih SayangNya, maka Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w yang membawa ajaran tauhid dan sekaligus membebaskan manusia dari cengkaman cara hidup dan budaya jahiliah yang zalim dan tidak berakhlak. 

Jika amalan jahiliah melakukan korban untuk dipersembahkan kepada berhala, memuja laut, sungai atas kepercayaan bahawa ia boleh mendatangkan rezeki atau menolak bencana tetapi korban dalam Islam matlamatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan ikhlas hingga menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Berkorban kerana Allah kemudian mengagih daging korban kepada ahli masyarakat dalam merapatkan lagi hubungan kasih sayang sesama kita.

Firman Allah dalam Surah as-Soffat ayat 103-107 :

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ﴿١٠٣﴾ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ ﴿١٠٤﴾ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿١٠٥﴾ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاَءُ الْمُبِينُ ﴿١٠٦﴾  وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ﴿١٠٧﴾


Maksudnya: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (untuk disembelih) serta Kami menyerunya :"Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu". Sesungguhnya  ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar.

Ketika melihat pengorbanan hebat nabi Ibrahim a.s sekeluarga sewaktu berdepan pelbagai ujian dan cabaran di mana hasilnya bukan untuk dirasai oleh ahli keluarga baginda sahaja malah untuk umat yang lebih besar. Semangat berkorban atas dasar ketaatan kepada Allah wajib dicontohi terutama ketika berdepan dengan musibah pandemik covid-19. 

Kikiskan sikap pentingkan diri sendiri dengan melanggar SOP sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain daripada wabak berjangkit ini. Begitu juga tidak menghiraukan adik beradik, sanak saudara, jiran, kawan yang lebih susah daripada kita. Kita sepatutnya menghulurkan bantuan setakat termampu samada dengan harta, tenaga, nasihat dan sokongan agar dapat meringankan bebanan yang dihadapi. 

Beringatlah kita semua dengan teguran dan amaran Nabi s.a.w: 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ –   رواه الطبراني


Maksudnya: Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sedangkan jiran tetangganya kelaparan. ( Hadits riwayat At-Thabrani )

Setiap orang yang Mukmin yang mengaku beriman pasti akan diuji oleh Allah. Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling kuat menerima ujian daripada Allah walaupun mereka tidak melakukan dosa berbanding kita selaku insan biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai dan alpa. 

Ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya adalah berbentuk musibah dan nikmat yang mana kedua-duanya adalah bergantung kepada kemampuan manusia tersebut menerimanya. Baik musibah mahupun nikmat, yang pastinya ujian daripada Allah ini adalah merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat manusia sekiranya manusia tersebut akur, patuh serta kembali bertaqwa kepada Allah sabar bererti menahan diri dari segala sesuatu yang tidak di sukai kerana mengharap redha Allah. 

Hakikatnya, sama ada secara sedar ataupun tidak, pandemik Covid-19 sedang mendidik kita umat Islam untuk sentiasa bersedia pada tahap kesabaran yang paling optimum dan perlu banyak melakukan pengorbanan terhadap perubahan kepada norma kehidupan yang baharu.

Bila bercakap tentang kegagalan mengawal emosi terutama ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 sehingga ada yang bertindak membunuh diri. Antara punca penyakit jiwa termasuklah keturunan, cara didikan oleh ibubapa, faktor personaliti, kelemahan Iman dan kurang beribadat serta bencana hidup.  Malah kajian sainstifik sendiri telah membuktikan bahawa mereka yang mempunyi tahap keagamaan, amalan ibadat dalam Islam serta Iman yang tinggi dapat melindungi seseorang dari mendapat penyakit jiwa. 

Sebagai contohnya seseorang yang kurang keimanan akan terjebak dengan masalah dadah, alkohol serta gejala sosial yang akan menjurus kepada masalah sosial dan masalah psikologi seperti kemurungan, keretakan institusi keluarga dan minda serabut akibat dadah. Mereka yang kurang keimanan dan sifat sabar akan mendedahkan diri kepada tekanan emosi dan  jiwa serta bertindak luar batasan serta memudaratkan diri dan keluarga.

Sedangkan konsep berdoa dan solat dapat mendekatkan diri kita dan mententeramkan jiwa yang kosong. Terdapat beberapa kaedah Islam yang disarankan yang membantu dalam proses pemulihan termasuklah rawatan melalui doa dengan ayat Al Quran, Hadis nabi, zikir dan ilmu penyucian jiwa

Imam Al-Ghazali menyatakan; Akal yang sentiasa mengingati Allah akan melahirkan hati yang mempunyai nur dan dapat mengawal nafsu hingga mempamerkan tingkahlaku yang positif. Namun sebaliknya jika akal yang tidak mengingati Allah maka akan melahirkan hati yang gelap dan wujud nafsu yang tidak terkawal hingga mempamerkan tingkahlaku yang negatif.

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam Surah Qoff ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ﴿١٨﴾‏


Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)

            Keberadaan kita dalam keadaan pandemik Covid-19 telah banyak mengubah cara hidup dan cara berfikir. Penggunaan teknologi maklumat yang maksima tanpa mengira umur dan kedudukan jika tidak dikawal sebaik mungkin dan tidak dapat ditapis berdasarkan neraca agama akan menyebabkan budaya  negatif lebih mudah dan cepat merebak terutama sebaran berita palsu dan penggunaan kata keji yang melampau tidak terkecuali penghinaan terhadap agama. 

Kalau dulu lidah yang melakukan perkara ini tetapi hari ini jari tangan yang memainkan perkara ini melalui  omputer atau telefon. Oleh itu menjadi kewajipan kita semua menjaga lidah daripada bercakap dan tangan daripada menulis perkara yang tidak harus di sisi syarak. Kebanyakan manusia diheret ke dalam neraka disebabkan oleh lidah-lidah mereka. 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ رواه البخاري


Maksudnya: “Sesiapa yang boleh menjamin kepada aku (untuk menjaga) apa yang ada di antara dua rahangnya (lidah) dan juga di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku akan jamin baginya syurga.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.


Rasulullah S.A.W telah memberikan peringatakan tegas kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak mahu melakukan ibadah korban dengan sabda baginda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا 

Maksudnya: Sesiapa yang memiliki kelapangan (kemampuan) dan tidak melakukan ibadah korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah tahun ini penduduk kampung kita diberi rezeki oleh Allah dengan banyaknya lembu korban. Masjid dan penduduk kampung diberi nikmat sebanyak 13 ekor lembu korban dan kita telah selesai menyembelih dan mengagihkan daging kesemua rumah penduduk kampung kita. Mimbar yakin dan percaya semua rumah penduduk telah mendapat agihan daging korban tersebut.

Daripada jumlah 13 ekor lembu tersebut, 3 ekor adalah dari sumber kutipan bulanan selama 10 bulan anjuran masjid kampung kita, manakala selebihnya adalah sumbangan kerajaan,individu, ngo, badan berkanun dan swasta.

Sebagai satu muhasabah diri berdasarkan hadis yang dibacakan tadi, sebenarnya kita semua mampu dan boleh melaksanakan ibadah korban. Dengan mengeluarkan belanja sebanyak RM70.00 sebulan dikumpulkan selama 10 atau 11 bulan, kita sudah dapat satu bahagian lembu korban yang boleh dikongsikan dagingnya bersama saudara kita yang susah dan orang miskin dalam lokaliti kita.

Jika kita seorang perokok, sehari kita perlu beli sekotak rokok berharga RM10.00, bermakna kita belanja RM300.00 sebulan untuk rokok sahaja. Jika kita pengguna telefon dan internet, sebulan kita perlukan antara RM50.00 ke RM100.00 untuk belanja telefon dan internet. Dan jika kita menggunakan motosikal, sebulan kita perlu berbelanja RM150.00 paling kurang untuk membayar ansuran bulanan. Jika kita menggunakan astro di rumah pula, kita juga perlu berbelanja RM40.00 paling kurang untuk perkhidmatan astro berbayar.

Jawapannya ialah sesungguhnya kita cukup pemurah untuk urusan dunia kita, kita cukup mudah berbelanja untuk urusan hidup kita. Kita tidak susah untuk mengeluarkan duit untuk semua perkara tadi. Maka mimbar hari ini menyeru semua jamaah mari dan marilah kita semua mulai hari ini berazam dan bertekad untuk menabung saham akhirat kita. Ibadah korban adalah jalan akhirat yang dijamin oleh Allah kepada kita. 

Insyaallah marilah kita bermula dari bulan Ogos ini nanti kita bersama sama mengumpul duit, pihak masjid akan menjalankan sekali lagi program korban untuk tahun hadapan. Saya menyeru semua penduduk sambutlah seruan ini bersama sama, kita melabur bersama untuk mendapatkan ganjaran pahala yang cukup besar ini disamping ganjaran bersedekah kepada fakir miskin dan penduduk taman atau kampung. 

Jika tuan tuan para Jemaah semua boleh bersatu hati hadir pada pagi hari raya haji baru ini, membanting tulang empat kerat menumbangkan 13 ekor lembu secara bersama sama, bayangkan jika lembu yang ditumbangkan itu ada nama kita sendiri sebagai peserta korban, alangkah besarnya nikmat kerja kita para Jemaah sekelian. Saya melihat sendiri kesungguhan kita semua, daripada belia hingga orang tua, sama sama bekerja bergotong royong menyelesaikan ibadah korban tahun ini. Semoga kita semua direzekikan sekali lagi pada tahun hadapan dengan nikmat lembu korban yang banyak juga hasil dari duit korban kita sendiri. 

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, peliharalah dan selamatkanlah kami semua dari wabak penyakit, bala bencana terutamanya virus covid-19 ini, ujian fitnah sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Ya Allah,Peliharalah negara kami, seluruh pemimpin kami yang berkhidmat untuk rakyat, negara dan agama kami serta peliharalah petugas barisan hadapan negara yang sentiasa bekerja menyelamatkan nyawa rakyat dan negara. 

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment