bersama kepimpinan ulamak







Thursday, August 5, 2021

KHUTBAH JUMAAT – 27 ZULHIJJAH 1442 / 6 OGOS 2021

 NASIHAT RASULULLAH SAW KEPADA PEMIMPIN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:

فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian. Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Sesungguhnya seseorang hamba Allah yang benar-benar bertakwa akan meletakkan sepenuh pergantungan dan harapannya kepada Allah SWT. Dia-lah sebaik-baik tempat bergantung dan meletakkan harapan. Khutbah hari ini bertajuk : “Nasihat Rasulullah SAW Kepada Pemimpin”.

Hadirin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Sabda Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud – hadits no. 2932)

Kaum Muslimin yang Dirahmati Allah,

Rasulullah SAW ialah manusia yang dipilih oleh Allah SWT menjadi contoh dan tauladan kepada seluruh manusia dalam kehidupan dunia sehingga akhirat. Allah Ta’ala menyatakan di dalam al-Quran :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

Secara khusus Baginda SAW menjadi tauladan sebagai seorang ketua negara, sama ada seorang raja atau seorang pemimpin. Bukan sahaja tauladan dari sudut amalannya, bahkan juga memberikan peringatan dan nasihat kepada umatnya secara lisan, kerana Baginda SAW mahukan seluruh umatnya terselamat di dunia dan akhirat.

Kedudukan jawatan seorang ketua negara atau pemimpin menjadi amanah paling besar bagi manusia di bumi kerana jawatan ini pernah ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah SWT. 

Firman Allah Ta’ala :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat jahil.” (Surah al-Ahzab: 72)

Kaum Muslimin yang Dirahmati Allah,

Jawatan pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman ini kerana  membuka peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia. Sehingga melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke Hari Akhirat dan segalanya akan dihisab kelak.

Apabila seseorang pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan. Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

وَلَوْ ‌أَنَّ ‌لِابْنِ ‌آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ ‌أَحَبَّ ‌أَنْ ‌يَكُونَ ‌لَهُ ‌وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

Bermaksud: “Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Bukhari 6439 dan Muslim 1048)

Hari ini ada juga pemimpin yang dikelilingi oleh pembantu yang mengampu, yang menipu dan melalaikan . Pembantu ini dianggap sebagai kawan yang setia, tetapi sebenarnya makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka.

Walau bagaimanapun Allah mengurniakan kelebihan dan fadilat yang sangat besar kepada pemimpin yang dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah SWT. Sehingga mendapat kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar yang menakutkan kelak.

Sebagaimana hadis yang disabdakan Baginda Rasulullah SAW:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ

Maksudnya: “Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naungan-Nya; pertamanya ialah imam (pemimpin atau raja) yang adil…” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kaum Muslimin yang Dirahmati Allah,

Jika seseorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah SWT melalui penurunan wahyu. jika seseorang manusia biasa pula menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia, bijak, benar dan ikhlas. Benar percakapannya dan ikhlas hatinya dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Seseorang pemimpin akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada pemimpin, mengejar dunia yang merosakkan bukan takut kepada Allah SWT.

Khalifah Islam yang pertama, Saidina Abu Bakar RA sebaik sahaja dipilih, terus menyampaikan ucapannya:

أَيُّهَا الناَّس، إِنِّي قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِيْ، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِيْ، اَلصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَاْلكِذْبُ خِياَنَةٌ، وَالضَّعِيْفُ فِيْكُمْ قَوِيٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ لَهُ إِنْ شَاءَ اللهِ، وَالْقَوِيٌّ فِيْكُمْ ضَعِيْفٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ، لاَ يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلاَّ ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ، وَلاَ تَشِيْعَ الْفاَحِشَةَ فِيْ قَوْمٍ قَطٌّ إِلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْبَلاَءِ، أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ.

Maksudnya : “Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insya-Allah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka kalian jangan mentaatiku.” (Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, jld. 2, ms. 192)

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah berkata:

أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فليقومه.

Maksudnya : “Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah diriku.”

Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada suatu hari, Khalifah ‘Umar RA bersama beberapa orang yang mengiringinya, tiba-tiba beliau ditahan oleh seorang perempuan tua. Lalu perempuan tua itu berkata kepadanya:

أَيُّهَا عُمَر! عهدتُكَ وَأَنْتِ تُسَمَّى عُمَيْرًا فِي سُوقِ عُكَاظ تذعر الصِّبْيَان بَعَصَاكَ فَلَمْ تَذْهَب الْأَيَّام حَتَّى سُمِّيتَ عُمَر ثُمَّ لَمْ تَذْهَب الْأَيَّام حَتَّى سُمِّيتَ أَمِير الْمُؤمنِينَ.

Maksudnya: “Wahai ‘Umar! Aku mengenalimu sejak kecil yang dikenali pada masa muda remaja sebagai ‘Umair, kamu bermain di pasar ‘Ukaz menakutkan kanak-kanak yang lain dengan tongkatmu. Setelah berlalu masa, engkau menjadi seorang yang bernama ‘Umar (seorang yang gagah perkasa). Setelah beberapa lama sehingga sekarang, engkau dinamakan Amir al-Mu’minin (pemimpin kepada orang-orang yang beriman).”

‌فَاتَّقِ ‌الله ‌فِي ‌الرَّعِيَّةِ ‌وَاعْلَمْ ‌أَنَّهُ ‌مَنْ ‌خَافَ ‌الْوَعِيد ‌قرب ‌عَلَيْهِ ‌الْبَعِيد وَمَنْ خَافَ الْمَوْت خَشِيَ عَلَيْهِ الْفَوْت.

Maksudnya: “Wahai ‘Umar! Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam mengendalikan urusan rakyat! Ketahuilah bahawa sesiapa yang takut akan azab (pada Hari Kiamat), nescaya yang jauh (selamat di syurga) akan dirasakan hampir. Sebaliknya, sesiapa yang takutkan mati, nescaya dia akan takut kehilangan.”

Khalifah ‘Umar RA terus menunggu bagi mendengar nasihat perempuan itu. Salah seorang pengiringnya, iaitu al-Jarud berkata:

قَدْ أَكْثَرت أَيَّتُهَا الْمَرْأَة عَلَى أَمِيرِ الْمُؤمِنِينَ.

Maksudnya : “Wahai perempuan! Engkau telah banyak bicara kepada Amir al-Mu’minin.”

Lalu Khalifah ‘Umar RA berkata:

دَعْهَا أما تعرف هَذِهِ؟ هَذِهِ هِيَ خَوْلَةُ بنت ثَعْلَبَة ‌الَّتِي ‌سَمِعَ ‌اللهُ ‌قولها مِنْ فَوق سَبْعَ سَمَوَاتٍ، فَعُمَر أَحَقُّ أَنْ يَسْمَعَ لَهَا. وَاللهِ لَوْ أَنَّهَا وَقَفْتُ إِلَى اللَّيْلِ مَا فَارَقْتُهَا إِلَّا لِلصَّلَاةِ ثُمَّ أَرْجِعُ إِلَيهَا.

Maksudnya: “Biarkan dia! Tahukah kamu siapa perempuan ini? Inilah Khaulah binti Tha‘labah. Perkataannya telah didengari oleh Allah dari tujuh petala langit (pengaduannya menjadi sebab turunnya beberapa ayat daripada Surah al-Mujadilah). Maka, ‘Umar lebih berhak untuk mendengar percakapannya. Kalau dia bercakap panjang lagi sehingga tiba waktu malam, nescaya, ‘Umar akan berdiri mendengarnya, kecuali kerana pergi sembahyang, kemudian aku datang lagi mendengarnya.” (Ibn al-Mibrad, Mahd al-Sawwab fi Fada’il Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattab)

Begitulah sifat dan akhlak Khalifah ‘Umar RA yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia pada zamannya. Beliau memerintah sebuah kerajaan yang menjadi kuasa besar paling kuat dan luas wilayah pemerintahannya. Beliau ialah seorang Khalifah yang tawadhu‘, amanah dan bertaqwa kepada Allah.

Demikianlah sikap pemimpin kepada rakyat dan negara yang diajar oleh baginda rasulullah SAW. Mimbar berharap agar  kita semua selamat di dunia dan di akhirat, apabila bersama dengan petunjuk Allah SWT. Firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾

Maksudnya: “Sungguh telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kaum kalian sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), seorang yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kalian, seorang yang sangat tamak (inginkan) kebaikan untuk kalian, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 128)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Ada di kalangan kita yang merungut tentang perebutan kuasa di kalangan pemimpin sehingga menyebabkan kesusahan dialami oleh rakyat. Akibat kerakusan kuasa, rakyat ditimpa musibah. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, Rasulullah pernah mendoakan buat setiap pemimpin yang memudahkan urusan umat ini agar diberikan kemudahan oleh Allah. Manakala pemimpin yang menyusahkan urusan umat ini, maka Rasulullah mendoakan kesusahan buat mereka. 

Bayangkan sekiranya Rasulullah sendiri mendoakan kesusahan buat umatnya? Doa ini tidak lain adalah bagi menunjukkan satu ancaman yang sangat keras ke atas pemimpin umat ini yang menyusahkan rakyat mereka. 

Dengan sebab itu al-Imam al-Nawawi menjelaskan:

هَذَا مِنْ أَبْلَغِ الزَّوَاجِرِ عَنِ الْمَشَقَّةِ عَلَى النَّاس.

Maksudnya: “Doa ini adalah sekeras-keras ancaman yang diberikan oleh Rasulullah buat pemimpin yang menyusahkan manusia.” (Sharh al-Nawawi ‘Ala Muslim) 

Al-Imam al-San’ani pula menegaskan bahawa memudahkan urusan rakyat itu adalah satu perintah yang wajib yang mesti dilaksanakan oleh setiap pemimpin. Kata al-San’ani:

وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْوَالِي تَيْسِيرُ الْأُمُورِ عَلَى مَنْ وَلِيَهُمْ وَالرِّفْقُ بِهِمْ وَمُعَامَلَتُهُمْ بِالْعَفْوِ وَالصَّفْحِ 

Maksudnya: “Dan hadis ini menunjukkan dalil tentang kewajipan buat para pemimpin agar memudahkan urusan rakyat mereka dan berlaku lembut dengan mereka serta berurusan dengan mereka dengan kemaafan dan berlapang dada.”

Bahkan Rasulullah pernah menegaskan bahawa kuasa ini boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi hina di hadapan Allah di hari akhirat:

إِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya kuasa jawatan ini adalah amanah, dan ia di hari kiamat adalah kehinaan (buat mereka yang gagalnya menunaikan amanah). Melainkan buat mereka yang menunaikan amanah dengan baik dan menyempurnakan hak-haknya.” (Hadits riwayat Muslim) 

Kecintaan manusia terhadap kuasa akan mengaburi mereka dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri sendiri lebih mereka utamakan dari kesusahan rakyat. 

Pesanan mimbar buat ahli politik Muslim, utamakanlah maslahah rakyat dalam menunaikan amanah ini. Janganlah pergelutan kalian menjadikan kalian hina di dunia dan akhirat. Dipandang rendah di sisi manusia, menjadi hina pula di sisi Allah diakhirat kelak.

Ahli politik yang suka mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat mestilah ditinggalkan. Mereka seharusnya sedar bahawa tugas pemimpin adalah memudahkan urusan rakyat dan membantu mereka, bukan mengambil kesempatan bagi kepentingan politik tersendiri. 

Ingatlah sabda Rasulullah:

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ، وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ، احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ  حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ، وَفَقْرِهِ. 

Maksudnya: "Barangsiapa yang diberikan kuasa oleh Allah untuk menguruskan urusan kaum muslimin, lalu dia membina persempadanan (menutup ruang komunikasi atau menyusahkan) dari keperluan mereka, perdampingan dengan mereka dan kebersamaan dengan orang-orang miskin, maka Allah akan menghalang keperluannya, perdampingannya dengan Allah dan kefakiran (keperluannya kepada Allah).” (Hadits riwayat Abu Daud - dinilai Sahih) 

Pada hakikatnya kepompong politik semakin lama dilihat berupaya untuk menyukarkan kepentingan rakyat. Ahli politik seakan menilai sesuatu berdasarkan kerangka pemikiran parti politik terdahulu sebelum meletakkan keutamaan rakyat.

Rasulullah SAW berpesan dalam sebuah hadis bahawa akan muncul kumpulan manusia yang sangat gilakan kuasa dan kegilaan mereka kepada kuasa ini akan membawa kepada kemusnahan. 

Sabda Rasulullah SAW: 

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya akan ada dikalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan dan ia akan jadi satu penyesalan di Hari Kiamat. Ia hanya permulaan yang menyenangkan di dunia dan pengakhiran penuh dengan penyesalan di Akhirat.” (Hadits riwayat al-Bukhari) 

Bahkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang gilakan kuasa ini tidak seharusnya diberikan jawatan. Perkara ini dijelaskan ketika Baginda ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah SAW menjawab:

إِنَّا لَا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلَا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gila kan jawatan kepimpinan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan mereka yang hanya gilakan jawatan dan mementingkan kepentingan diri sendiri sahaja.

Dalam keadaan kesempitan hidup dan kelembapan ekonomi yang berlaku pada hari ini, kita sepatutnya mengutamakan penyelesaian dalam menangani wabak dan membangunkan semula ekonomi negara, bukan bercakaran mengejar kemusnahan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Mimbar berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment