Friday, February 8, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 3 JAMADIL AKHIR 1440 / 8 FEBRUARI 2019


MENYARA KEHIDUPAN DENGAN BERDIKARI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾ (Surah At-Taubah : Ayat 105)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Beristighfarlah, mohonlah keampunan dari Allah tanpa mengira masa dan tempat. Carilah bekalan, dan sebaik-baik bekalan adalah ketaqwaan kepada Allah.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Dengarlah dengan mata hati, fahamkan serta amakan, dan sampaikan kepada mereka yang tidak hadir. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia dan kita dapat mengambil manfaat daripada khutbah hari ini. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Menyara Kehidupan Dengan Berdikari".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam menyeru umatnya menjadi umat yang aktif, sentiasa berusaha mencari rezeki dengan daya usaha sendiri. Islam juga menegah kita daripada menjadi umat yang pasif, malas bekerja, menganggur dan suka bergantung hidup kepada orang lain. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 10:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".

Insan hebat yang disukai Allah ialah insan yang berdikari, yang rajin berusaha mencari rezeki, untuk menyara diri dan keluarganya tanpa bergantung kepada belas ihsan orang lain. Saiyidina Al-Miqdam r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Maksudnya: "Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada dia memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud a.s memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Pekerjaan paling baik di sisi Islam ialah pekerjaan yang dilakukan dengan tangan sendiri seperti pertanian, perniagaan, penulisan, pertukangan dan lain-lain. Pekerjaan yang paling baik di sisi Islam juga ialah pekerjaan yang dijalankan secara jujur dan bersih daripada sebarang bentuk penipuan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika dibandingkan dengan negara-negara Asean yang lain, Malaysia cukup bertuah kerana memiliki peluang pekerjaan yang luas. Tetapi, masih ramai pula rakyat Malaysia yang menganggur. Mengikut statistik Jabatan Imigresen Malaysia, sehingga 30 Jun 2017, lebih 1.7 juta orang pekerja asing yang sah berada di bumi Malaysia. Ini baru angka pekerja asing yang sah, tidak termasuk pendatang tanpa izin lagi.

Soalannya, kenapakah rakyat Malaysia tidak merebut peluang-peluang pekerjaan ini bagi meraih rezeki yang halal? Sedangkan peluang itu ada di tanahair kita sendiri. Malah lebih menyedihkan, terdapat dalam kalangan belia kita yang lebih suka membuang masa daripada bekerja dan membina kehidupan.

Perlu diingatkan bahawa bekerja mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan keluarga adalah suatu tuntutan agama. Islam melarang umatnya menjadi penganggur, pengemis dan hanya menadah tangan memohon simpati orang lain.

Saiyidina Al-Miqdam r.a meriwayatkan lagi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: "Tidak ada yang lebih baik dari usaha seorang lelaki kecuali dari hasil tangannya (bekerja) sendiri. Dan apa sahaja yang dinafkahkan oleh seorang lelaki kepada diri, isteri, anak dan pembantunya adalah sedekah". (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits ini menunjukkan bahawa di dalam Islam tidak ada istilah menganggur dan tidak ada istilah malu mencari rezeki melalui pekerjaan yang halal. Maka berdasarkan keterangan-keterangan tadi, kita boleh simpulkan bahawa:

1. Salah satu faktor kebahagiaan hidup adalah mempunyai harta yang mencukupi untuk menampung keperluan diri sendiri serta keluarga.

2. Berusaha mencari harta yang halal bagi menampung keperluan diri dan keluarga adalah suatu tuntutan wajib.

3. Menadah tangan memohon simpati orang lain, bagi orang yang mampu berusaha sendiri adalah suatu perbuatan hina dan dilarang oleh Islam.

4. Semua jenis pekerjaan yang halal adalah baik, tidak ada cacat cela. Apa yang menjadi kecelaan ialah perbuatan orang yang malas, yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan harta tanpa memperdulikan halal atau haram.

5. Insan yang berjaya ialah insan yang berusaha mencari rezeki yang halal dengan keringat dan daya usahanya sendiri. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam ayat 105 Surah At-Taubah:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾

Maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment