Thursday, February 14, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 10 JAMADIL AKHIR 1440 / 15 FEBRUARI 2019


PERKAHWINAN: TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾ (Surah Ar-Rum : Ayat 21)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Carilah bekalan di dunia dan di akhirat, dan sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia dan kita dapat mengambil manfaat daripada khutbah hari ini. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Perkahwinan: Tanggungjawab Bersama".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah menjanjikan kehidupan yang penuh kasih sayang melalui ibadah perkahwinan. Apabila perkahwinan disandarkan sebagai ibadah, manusia akan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, mengikuti segala perkara yang disyariatkan Allah, sama ada berbentuk suruhan atau larangan. Suami dan isteri akan menyedari tanggungjawab yang perlu dilaksanakan serta mengakui bahawa keduanya saling memerlukan di antara satu sama lain. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 187:

... هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ...  ﴿١٨٧﴾

Maksudnya: "Mereka itu pakaian bagimu dan kamu pula adalah  pakaian bagi mereka".

Inilah gambaran indah hubungan suami isteri di antara dua jasad dan jiwa yang sangat erat. Mereka akan saling melindungi, menjadi pendorong semangat, penenang hati dan pelengkap di antara satu sama lain. Allah s.w.t sentiasa Melimpahkan rahmat-Nya kepada hamba-hamba yang ingin menegakkan agama dengan mengamalkan sunnah perkahwinan. Ini sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللهِ عَزَّوَجَلَّ عَوْنُهُمْ : الْمُكَاتِبُ الَّذِي يُرِيْدُ الْأَدَاءَ ، وَالنَّاكَحٌُ الَّذِي يُرِيْدُ الْعَفَافَ وَالْمُجَاهِدُ فِي سَبِيْلِ اللهِ

Maksudnya: "Tiga golongan yang pasti ditolong Allah, iaitu mukatib (orang yang ingin memerdekakan diri dengan bekerja keras) bagi melunaskan hutangnya, orang yang berkahwin demi menjaga dirinya daripada perbuatan maksiat, dan para pejuang di jalan Allah". (Hadits riwayat At-Tirmidzi, An-Nasa'ie dan Ibnu Majah)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perkahwinan yang terbina melalui asas ibadah akan memancarkan cahaya mawaddah dan rahmah. Hubungan yang terjalin kerana keimanan kepada Allah s.w.t akan membuatkan seorang muslim cinta untuk berbuat baik kepada pasangan sebagaimana cintanya kepada kebaikan untuk dirinya sendiri. Saiyidina Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: "Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu hingga ia mencintai kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Untuk mencapai kehidupan rumahtangga yang bahagia di dunia dan di akhirat, seorang suami atau isteri akan selalu memikirkan peranan dan tanggungjawabnya, kesungguhan untuk menyelesaikan konflik yang melanda, menetapkan matlamat hidup yang perlu dikongsi dan diusahakan bersama, dan keupayaan membangunkan jiwa-jiwa soleh dalam kalangan ahli keluarga. Sudah pasti kita mengharapkan seluruh ahli keluarga terhindar daripada sebarang kerosakan di dunia dan di akhirat, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا... ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada siksa api  neraka ...".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hari ini, isu-isu rumahtangga telah menggugat institusi kekeluargaan hingga menjejaskan kualiti umat. Di antara isu-isu itu adalah pengabaian nafkah, didikan agama yang kian pudar, kecurangan suami isteri, sumbang mahram dan kelahiran anak tidak sah taraf yang semakin meningkat. Statistik terhadap isu-isu ini menunjukkan kenaikan yang sangat membimbangkan. Keadaan ini bukan sekadar merosakkan individu, bahkan masyarakat keseluruhannya serta merencatkan pertumbuhan modal insan.

Oleh kerana itu, suami dan isteri sebagai tonggak keluarga perlulah kembali kepada posisi asal sebagai pemimpin dalam rumahtangga. Saiyidina Abdullah ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

وَالرِّجَلُ رَاعِي أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْهُمْ ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْؤُوْلَةٌ عَنْهُمْ ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْهُ ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: "... Seorang suami adalah pemimpin di dalam rumahtangganya dan akan dipertanggung jawabkan tentang keluarganya. Isteri adalah seorang pemimpin di rumah suami dan anak-anaknya serta akan dipertanggung jawabkan. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya yang diamanahkan kepadanya dan akan dipertanggung jawabkan atas amanahnya". (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Sebarang pertikaian yang melanda hendaklah diatasi dengan kembali kepada panduan yang telah disediakan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisa' ayat 59:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Maksudnya: "Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah hal itu kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (Hadits) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih utama bagi kamu, dan lebih baik akibatnya".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar ingin merumuskan beberapa perkara buat bekalan sidang Jumaat sekalian:

1. Perkahwinan adalah sebuah ikatan kasih sayang dan keluarga adalah sebuah medan untuk mewujudkan kebahagiaan.

2. Perkahwinan adalah ibadah, dan secara maknawi merupakan penyatuan dua fitrah berbeza untuk dihimpunkan dalam satu kebersamaan menuju kesempurnaan.

3. Perkahwinan adalah amanah dari Allah dan Rasul-Nya dan setiap amanah menuntut pertanggung jawaban.

4. Jauhilah perbuatan curang kepada pasangan. Jika anda seorang pekerja, batasilah pergaulan dengan rakan sepejabat berlainan jantina. Elakkan bergurau senda yang keterlaluan hingga bertepuk tampar dan sebagainya. Jika anda seorang majikan, binalah suasana patuh syariah di tempat kerja. Jika anda seorang suami dan bapa, hargailah isteri anda di rumah. Didiklah anak-anak lelaki anda supaya menghormati maruah kaum wanita di mana sahaja mereka berada.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.


رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment