Thursday, January 31, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 26 JAMADIL AWAL 1440 / 1 FEBRUARI 2019


UYGHUR MENDERITA, PEDULIKAH KITA?

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ (Surah Al-Hujurat : Ayat 10)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru dan berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Semoga kehadiran kita tidak sia-sia dan kita dapat mengambil manfaat daripada khutbah sebentar lagi. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Uyghur menderita, Pedulikah Kita?"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khutbah pada hari ini membicarakan tajuk khas mengenai bangsa Uyghur yang sedang menderita kerana menghadapi penyiksaan berterusan dari negara China.

Uyghur? Siapa mereka? Di mana letak negara mereka? Apa kaitan mereka dengan kita? Mungkin soalan-soalan ini bermain dalam fikiran tuan-tuan sekalian.

Bangsa Uyghur adalah keturunan Turki yang hidup di Asia Tengah, terutama di wilayah Xinjiang, China. Namun sejarah Uyghur menyebut daerahnya sebagai Uyghuristan atau Turkistan Timur.

Menurut sejarah, bangsa Uighur yang merdeka telah tinggal di Uyghur yang merdeka telah tinggal di Uyghuristan lebih dari 2,000 tahun. Tetapi China mendakwa daerah itu termasuk dalam warisan sejarahnya, oleh itu ia tidak dapat dipisahkan dari tanah besar China. Orang Uyghur pula percaya, fakta sejarah menunjukkan tuntutan China itu tidak berasas dan sengaja mentafsirkan sejarah secara salah untuk kepentingan perluasan wilayahnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Pemerintah komunis China telah melakukan kezaliman yang melampaui batas kemanusiaan ke atas bangsa Uyghur. Mereka diusir, dihalau, diburu dan dibunuh, wanita-wanita muslimah mereka diperkosa atau disuruh kahwin secara paksa. Pakaian menutup aurat yang dipakai oleh wanita-wanita Uyghur digunting dan dipotong di khalayak ramai. Hijab yang dipakai dipaksa supaya ditanggalkan.

Umat Islam Uyghur dilarang bersolat, dilarang berpuasa sebaliknya dipaksa makan daging babi dan minum arak. Jamaah haji diwajibkan memakai alat pengesan menggunakan GPS. Pergerakan orang-orang Islam Uyghur diawasi secara rapi di segenap penjuru Xinjiang melalui sistem kamera litar tertutup CCTV. Dengan koleksi DNA penduduk dan data biometrik, mereka mengawasi setiap pergerakan orang Uyghur. Bagi memastikan kawalan yang sempurna, China turut menggunakan drone bagi mengawasi pergerakan, khususnya orang-orang Islam Uyghur.

Demikianlah cara pemerintah China berusaha menekan umat Islam Uyghur dengan matlamat akhir melenyapkan sejarah, budaya dan identiti masyarakat Uyghur. Sebagai umat Islam kita tidak boleh berdiam diri, dengan hanya memerhati dan menyesali apa yang berlaku. Kalau kita benar-benar mengakui diri sebagai umat Islam, kita mesti berbuat sesuatu bagi membantu saudara-saudara seagama kita. Seperti yang disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin Yaman bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ لَّا يَهْتَمُّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat hal ehwal orng-orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka". (Hadits riwayat Tabrani)

Bangsa Uyghur yang tersiksa di sana adalah saudara kita. Mereka saudara seagama dan seaqidah dengan kita. Mereka adalah sebahagian dari tubuh umat. Hadits diriwayatkan oleh An-Nu'man bin Basyir r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: "Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika satu anggota tubuh berasa sakit, maka anggota yang lain akan susah tidur dan merasakan demam". (Hadits riwayat Muslim)

Apakah kita di sini, masih memiliki rasa kemanusiaan selaku seorang muslim? Jika ya, maka kita perlu berbuat sesuatu yang lebih konkrit dan berkesan. Inilah masanya untuk kita sama-sama menyumbang dan mengajak umat Islam lain membantu warga Uyghur meneruskan kehidupan mereka.

Umat Islam di mana jua berada, tidak boleh berdiam diri. Sebaliknya wajib tampil menunjukkan solidariti yang tidak berbelah bagi, membantu mereka yang sedang dilanda musibah seperti yang dihadapi oleh saudara-saudara kita, umat Islam Uyghur.

Kaum muslimin rahimakumullah,

Kita umat Islam di Malaysia tidak wajar berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Selama ini, kita membantu kaum muslimin yang ditindas di seluruh dunia, di Palestin, di Syria, dari segi moral dan material.

Derita mereka yang ditindas turut kita rasa, walaupun kita berjauhan dari mereka. Wahai umat Islam sekalian, kali ini tiba pula giliran saudara-saudara Uyghur kita untuk dibantu. Marilah kita membantu mereka dengan sepenuh hati.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

1. Marilah kita bersilatur rahim dan berbicara dengan mereka melalui sumbangan idea dan simpati kemanusiaan serta memberi segala pertolongan yang termampu.

2. Mari kita berdoa bersungguh-sungguh termasuk dengan membaca qunut nazilah untuk meminta Allah s.w.t menghentikan kezaliman ke atas saudara-saudara Uyghur dan mengembalikan kemanan kepada kehidupan mereka.

3. Mari kita suarakan bantahan terhadap kezaliman yang menimpa orang-orang Islam Uyghur dan mendesak negara-negara Islam khususnya, dan negara-negara dunia amnya agar mengembalikan hak-hak kaum muslimin Uyghur.

4. Mari kita berjihad dengan menghulurkan bantuan wang ringgit, serta berinfaq untuk meringankan penderitaan mereka. Bermula pada Jumaat minggu ini dan minggu hadapan, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Perak akan melancarkan kutipan khas untuk umat Islam Uyghur. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan Masjid Negeri Perak - Bank Islam: 08013010091983.

Sidang muslimin yang dikasihi sekalian,

Pengajaran dan kesimpulan daripada khutbah hari ini ialah:

1. Umat Islam dituntut untuk memberikan segala pertolongan dan bantuan khusus kepada saudara seaqidah yang tertindas dan disiksa.

2. Umat Islam wajib menzahirkan solidariti dan perpaduan sejagat bagi memastikan bahawa di setiap masa akan ada golongan yang sentiasa peka dan sedia bersama membantu mereka yang teraniaya.

3. Umat Islam tidak akan membiarkan saudaranya yang seaqidah bersendirian dalam menghadapi ujian dan siksaan yang melanda.

4. Umat Islam akan tetap bersedia dengan segala dana dan usaha memulihkan hak dan maruah golongan manusia yang ditindas dan dizalimi sama ada dalam bentuk bantuan moral atau material.

5. Jangan sekali-kali kita mengabai tanggungjawab memperkasa aqidah dan keimanan dalam melangsungkan kehidupan berlandaskan syariat. Sebarang sikap tidak ambil peduli kita terhadap nasib umat sejagat yang dizalimi dan disiksa, akan menyebabkan Allah s.w.t menurunkan bencana dan kerosakan yang lebih besar dan mungkin turut menimpa mereka yang lengah dari menolong saudaranya.

Marilah kita meningkatkan nilai, darjat dan martabat diri kita dengan meningkatkan amal soleh kita melalui bantuan dan pertolongan yang boleh diberikan kepada saudara-saudara kita, kaum muslimin Uyghur. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam ayat 105 Surah A-Anbiya':

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ ﴿١٠٥﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz: Bahawasanya bumi ini diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh". 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment