Friday, January 25, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 19 JAMADIL AWAL 1440 / 25 JANUARI 2019


AL-QURAN SEBAGAI CAHAYA PETUNJUK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ (Surah Al-Hijr : 9)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru dan berpesan kepada yang empunya diri dan hadirin yang dimuliakan, marilah kita bersama-sama memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah pada hari ini, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: "Jika kamu berkata kepada sahabat kamu diam semasa imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagha (berkata yang sia-sia)". (Hadist riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Moga-moga Jumaat hari ini menjadi yang terbaik kepada diri kita sendiri. Bicara khatib pada hari ini ialah: "Al-Quran Sebagai Cahaya Petunjuk".

Hadirin sidang Jumaat rahimakumullah,

Al-Quran merupakan kitab agung umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan petunjuk kepada orang-orang beriman yang tidak ada satu pun keraguan mengenainya. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa".

Membaca Al-Quran dikira sebagai ibadat. Mematuhi dan beramal segala ajaran yang terkandung dalam Al-Quran merupakan satu kewajipan. Daripada Ibnu Mas'ud r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan,. Dan satu kebaikan itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim itu satu huruf. Tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Begitulah besarnya pahala membaca Al-Quran apatah lagi jilka seorang yang menghafaz Al-Quran. Namun, masih ramai lagi yang mengabaikan Al-Quran. Pernahkah kita terfikir, berapa banyak masa kita untuk Al-Quran? Berapa hurufkah sehari kita membaca Al-Quran?

Amatlah beruntung orang-orang yang membaca Al-Quran setiap hari. Paling membahagiakan apabila menjadikan Al-Quran seperti rakan karib. Maka rugilah orang yang tidak mengamalkan Al-Quran dalam kehidupannya malah lebih rugi lagi jika masih tidak tahu membaca Al-Quran serta mengabaikannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hijr ayat 89 hingga 91:

وَقُلْ إِنِّي أَنَا النَّذِيرُ الْمُبِينُ ﴿٨٩﴾ كَمَا أَنزَلْنَا عَلَى الْمُقْتَسِمِينَ ﴿٩٠﴾ الَّذِينَ جَعَلُوا الْقُرْآنَ عِضِينَ ﴿٩١﴾

Maksudnya: "Dan katakanlah: Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar). (Kami berikan kepadamu Al-Faatihah dan Al-Quran) samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi. (Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain)".

Sidang jamaah sekalian,

Terdapat segelintir manusia yang sering beralasan sibuk dan tiada masa untuk membaca Al-Quran. Tetapi boleh pula meluangkan masa berjam-jam di internet dan media sosial di telefon masing-masing.

Beberapa halaman Al-Quran lebih sukar dibaca berbanding melayari media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Tik-Tok dan sebagainya. 

Sebahagian ibu bapa mengabaikan pendidikan Al-Quran anak-anak mereka. Mereka bimbang melihat anak-anak ketinggalan dalam pelajaran akademik tetapi tidak merasa apa-apa sekiranya anak mereka tidak mahir belajar Al-Quran.

Sikap seperti ini perlu diperbetulkan dalam masyarakat. Tidak salah kita menghantar anak-anak belajar ilmu akademik. Yang salah apabila kita mengabaikan pendidikan Al-Quran anak-anak sehingga mereka tidak tahu membaca Al-Quran. Ketahuilah bahawasanya mendalami Al-Quran adalah satu kemuliaan. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina 'Uthman bin 'Affan r.a:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: "Sebaik-baik di kalangan kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menyenaraikan beberapa langkah yang boleh kita lakukan untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan:

1. Sentiasa berdamping dengan Al-Quran iaitu mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran.
2. Meluangkan waktu secara berjadual untuk tadabbur Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran akan semakin menyentuh hati kita apabila kita mengetahui maknanya.
3. Jangan malu untuk mempertingkatkan kualiti bacaan Al-Quran. Carilah guru dan lapangkanlah waktu untuk mempelajari ilmu Al-Quran. Amalan bertadarus merupakan medan terbaik untuk memperbaiki mutu bacaan dan meningkatkan kualiti bacaan. Saiyidatina 'Aisyah radhiAllahu 'anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ وَهُوَ يَشْتَدَّ عَلَيْهِ فَلَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: "Orang yang membaca Al-Quran dan dia mahir membacanya, dia bersama dengan para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap-gagap (tidak mahir) serta sukar membacanya, baginya dua pahala". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Untuk meneruskan pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan, Jabatan Agama Islam Perak menganjurkan Majlis Hafazan Al-Quran dan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Perak tahun 2019 yang akan diadakan di Hotel Qasuarina, Meru, Ipoh. Majlis diadakan pada 30-31 Januari 2019. Semoga dengan kehadiran para jamaah sekalian dapat memeriahkan lagi majlis tersebut dan mendapat rahmat serta keberkatan dari Ilahi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.


رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment