Friday, September 15, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 24 ZULHIJJAH 1438 / 15 SEPTEMBER 2017


MEMELIHARA AGAMA MEMPERKASA NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَلَّمَ وَأَنْعَمَ، وَهَدَانَا بِالْقُرْأَنِ لِلَّتِيْ هِيَ أَقْوَمُ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ يَا أُوْلِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Memelihara Agama Memperkasa Negara".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Tarikh 16 September 1963 telah menjadi lipatan sejarah yang penting kepada tanah air kita. Pada tarikh tersebut, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah diisytiharkan sebagai sebuah negara yang diberi nama Malaysia. Justeru, tarikh tersebut dirai dan disambut setiap tahun sempena memperingati detik bersejarah tersebut. Menelusuri penghayatan Hari Malaysia ini, mimbar ingin menekankan aspek yang perlu kita tekuni sebagai peringatan kita bersama.

Sebagai hamba Allah s.w.t, kita wajib bersyukur kepada-Nya yang telah mengurniakan nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran kepada negara kita. Malah, kepada-Nya jualah kita memohon agar nikmat keamanan ini berkekalan sehingga ke generasi akan datang.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Bagi muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t, tentunya nikmat ini menjadi cita-cita dan harapan untuk dikecapi di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Inilah hasil iman dan taqwa yang disemai dalam jiwa mereka yang sentiasa menghayati Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl Ayat 30:

۞ وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Dan ditanya kepada orang yang bertaqwa; Apakah yang diturunkan oleh Tuhanmu? Mereka menjawab: Kebaikan. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini, (mereka) beroleh balasan yang baik, dan balasan di akhirat itu lebih baik lagi; dan negeri akhirat itu sebaik-baik negeri bagi orang yang bertaqwa".

Menurut Iman Ibnu Katsir rahimahullah, kebaikan yang dimaksudkan oleh Ayat tersebut ialah rahmat dan keberkatan bagi sesiapa yang menuruti dan beriman dengan Allah. Menerusi Ayat ini juga, Allah s.w.t telah menzahirkan janji dan memberikan jaminan kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh di atas muka bumi ini bahawa mereka bakal dikurniakan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Setiap manusia di dunia ini mesti mempunyai perasaan cintakan negara. Lantaran itu, perasaan cinta dan kasih kepada tanah air adalah merupakan fitrah dan anugerah yang Allah s.w.t kurniakan kepada para hamba-Nya. Ia bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Malah sifat cintakan tanah air ini turut dizahirkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hamid Al-Ansari r.a, beliau berkata:

أَقْبَلْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ حَتَّى إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى الْمَدِينَةِ قَالَ هَذِهِ طَابَةُ وَهَذَا أُحُدٌ جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Bermaksud: "Kami pulang bersama Nabi Muhammad s.a.w daripada peperangan Tabuk sehinggalah ketika kami sampai di Madinah, lalu baginda bersabda: Inilah (kota) yang baik. Dan ini adalah gunung Uhud iaitu gunung yang mencintai kita dan kita juga mencintainya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Rakaman peristiwa ini menunjukkan bahawa peranan negara serta tanah air sebagai asas kepada pembangunan dan perkembangan dakwah Islam adalah sangat besar. Lantas fizikal bumi itu turut menjadi tumpuan kasih dan cinta. Sehubungan itu, seharusnya kita sebagai umat Islam menginsafi perkara ini dan bersama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman negara kita supaya usaha memastikan kesinambungan Islam di tanah air tercinta ini akan terpelihara.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Pembentukan negara Malaysia yang merdeka telah melalui satu tempoh yang lama. Ia suatu tempoh yang telah disifatkan matang dan kita selaku warga negaranya perlu membuat muhasabah dan penilaian terhadap pencapaian negara. Ini penting bagi menentukan apakah perkara yang perlu diperbaiki, diperkasa dan diraih pada hari yang mendatang.

Tiada negara yang inginkan kemunduran. Semuanya memasang impian untuk mencapai kemajuan teknologi, kemampanan ekonomi, sistem pendidikan yang tersusun, kehidupan sosial yang lebih baik dan kegemilangan tamadun. Termasuklah negara yang kita cintai ini. Soalnya, apakah tindakan kita dalam menentukan piawaian kemajuan dan kemodenan tersebut? Budaya dan komuniti manakah yang menjadi ikutan kita? Ilmu dan sejarah manakah yang perlu kita warisi kepada generasi kemudian? Dalam menghadapi situasi yang semakin mencabar ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan ingatan dan panduan kepada kita menerusi hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a, sabda Rasulullah s.a.w:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ؟

Bermaksud: "Sesungguhnya, kalian benar-benar akan mengikuti tradisi (kebiasaan) orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun, kalian pasti akan mengikuti mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah mereka itu yahudi dan nasrani? Jawab baginda: Siapa lagi jika bukan mereka?". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jelas menerusi hadits tersebut, apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w memperlihatkan kebenarannya pada hari ini. Masyarakat kita cenderung mengamalkan budaya dan cara hidup barat. Mereka berfikir, bertutur, berpakaian, bergerak dan hidup seperti apa yang telah diiklankan oleh yahudi dan nasrani. Perkara ini bukanlah petanda yang baik, malah ia perlu dibendung dan dikawal agar ia tidak berleluasa dan berkembang sehingga menghakis identiti asal kita. Bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil kebaikan yang ada, namun kita perlu rasional dan selari dengan tuntutan syariat Islam.

Sidang kaum muslimin,

Peranan dan tanggung jawab membangunkan negara digalas oleh umat Islam sama ada pemimpin ataupun rakyat biasa. Masing-masing dikurniakan oleh Allah s.w.t kemampuan yang berbeza-beza. Usaha ini akan menjadi pincang seandainya satu pihak hanya mengharapkan pihak yang lain untuk melakukannya sedangkan mereka tidak melakukan apa-apa. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran Ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Janganlah kita berasa selesa dan tenggelam dengan nikmat yang ada sehingga ia menjadikan kita langsung tidak berusaha untuk memelihara agama dan memperkukuhkan negara. Siapakah lagi yang akan memikirkan nasib negara ini untuk 50 atau 100 tahun akan datang? Adakah umat ketika itu semakin dekat dengan Allah s.w.t atau sebaliknya? Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan kesedaran dan dan kekuatan kepada kita untuk memikul tanggung jawab ini sebelum segalanya terlambat.

Para tetamu Allah yang diberkati,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati beberapa kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama:

Pertama: Umat Islam hendaklah berusaha menjauhi perselisihan dan perbalahan yang tidak menguntungkan agama dan negara.

Kedua: Usaha untuk mencapai kemajuan dan tamadun negara hendaklah berteraskan ajaran serta prinsip-prinsip Islam.

Ketiga: Semua pihak hendaklah berusaha serta berperanan dalam membangunkan negara melalui usaha mengajak kepada yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl Ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment