Friday, September 22, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 1 MUHARAM 1439 / 22 SEPTEMBER 2017


HIJRAH DAN PENGORBANAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ، نَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَنَشْكُرُهُ وَنَسْأَلُهُ الْعِظَّةَ وَالْإِعْتِبَرَ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Hijrah dan Pengorbanan".

Sidang Jumaat sekalian,

Hijrah bukanlah semata-mata permulaan takwim bagi umat Islam tetapi lebih merupakan langkah pertama ke arah pembebasan daripada kezaliman dan penindasan, kepada keadilan dan kebebasan, daripada kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan yang bertamadun dan diredhai Allah. Daripada umat yang hanya dihina dan sentiasa mengalah kepada umat yang digeruni, gagah dan bermaruah. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat bukan bermatlamat melarikan diri dari tanah air tercinta tetapi merupakan satu pengorbanan yang besar bagi membentuk sebuah negara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal Ayat 72:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُم مِّن وَلَايَتِهِم مِّن شَيْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا ۚ وَإِنِ اسْتَنصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَاقٌ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung melindungi. Dan (terhadap) orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan".

Muslimin yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Allah s.w.t menggambarkan sifat umat Islam yang sanggup berkorban dengan berhijrah dan berjihad harta benda dan nyawa, di samping yang tidak berhijrah pula, sanggup memberikan pertolongan dan tempat tinggal kepada saudaranya yang berhijrah. Umat Islam mestilah saling bantu membantu dan saling lindung melindungi sesama mereka apabila berhadapan dengan orang kafir. Umat Islam mestilah membantu saudaranya apabila diminta pertolongan terutamanya dalam memerangi orang kafir kecuali jika terdapat perjanjian dan perdamaian antara mereka selama mana perjanjian tersebut tidak dicabuli. Terlalu banyak ruang hijrah yang boleh kita laksanakan pada hari ini. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadits daripada 'Aisyah radhiAllahu 'anha:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْهِجْرَةِ فَقَالَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Bermaksud: "Rasulullah s.a.w ditanya tentang hijrah maka sabda baginda: Tidak ada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah tetapi ia hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diajak berjihad maka lakukanlah". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Dunia hari ini memerlukan kita berhijrah dengan melakukan jihad membantu saudara kita sama ada dengan harta dan kudrat kita. Negara Islam seharusnya saling melindungi antara satu sama lain dan menentang pencabulan musuh Islam ke atas negara Islam. Negara Islam tidak sewajarnya berbalah sesama sendiri dan khianat kepada negara Islam yang lain sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara arab yang lain itu terhadap Syria, Palestin dan negara Islam yang lain. Tidak lupa juga kepada saudara seagama iaitu etnik Rohingya di Myanmar yang memerlukan pembelaan dan bantuan yang sewajarnya dari negara-negara Islam yang lain.

Jika dilihat pada hari ini, banyak negara bukan Islam yang cuba untuk memberikan bantuan kepada negara-negara Islam yang sedang dilanda bencana dan peperangan, akan tetapi umat Islam haruslah berhati-hati dalam menerima bantuan agar mereka tidak termakan budi dengan jasa yang telah diberikan oleh mereka. Ini kerana, bantuan tersebut hanyalah untuk mengaburi matlamat sebenar mereka yang hanya untuk mendapatkan khazanah serta menjayakan impian mereka untuk menguasai negara-negara Islam.

Muslimin yang dihormati,

Umat Islam haruslah berhijrah dalam semua perkara supaya ia lebih berkesan dan dapat memberikan impak kepada masyarakat dan negara. Ia bukanlah hanya dibuktikan dengan nyanyian, bacaan sajak serta syair, akan tetapi kita seharusnya menggunakan ruang dan peluang yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk mempertingkatkan kemajuan diri serta menjadikan insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Dalam masa yang sama, saudara kita di seluruh dunia ketika ini sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan mereka sebagai hamba di bumi Allah s.w.t ini. Umat Islam harus berhijrah dengan meninggalkan kehidupan yang penuh dengan hiburan dan kelekaan ini kepada kehidupan yang lebih bermakna dalam membangunkan dan menyelesaikan masalah umat Islam dan dunia Islam seluruhnya, agar dunia akan menghormati kita serta mencontohi sikap dan nilai-nilai kita sebagai orang Islam. Malangnya kita masih leka dalam mengejar harta, pangkat, kuasa dan kesenangan dunia dengan mengabaikan bekalan akhirat. Malah setelah segalanya kita perolehi sedikit pun tidak kita gunakan untuk mencari redha Allah s.w.t.

Sidang Jumaat sekalian,

Marilah sama-sama kita untuk berhijrah sebelum kita dihijrahkan oleh Allah s.w.t dari dunia yang fana ini kepada tempat yang kekal abadi yang sememangnya bukan milik kita. Setiap muslim bukan sahaja bertanggungjawab dalam membangunkan dunia ini tetapi kita turut bertanggungjawab agar setiap pembangunan yang dibuat selaras dengan tuntutan Allah dan mengutamakan agama Allah. Kita tidak dipertanggung jawabkan terhadap hasil dan kejayaan yang dimiliki, tetapi kita dipersoalkan mengenai usaha yang kita lakukan terhadapnya. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat 100:

۞ وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿١٠٠﴾

Bermaksud: "Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment