Friday, September 30, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 28 ZULHIJJAH 1437 / 30 SEPTEMBER 2016


HIJRAH KEKUATAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan menyeru kepada sidang jamaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى demi mencari keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Hijrah Kekuatan Ummat".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Masa berlalu begitu pantas, hari demi hari kita tempuhi, bulan silih berganti, kini kita sudah menghampiri awal bulam Muharam, tahun baru 1438 hijrah. Seiring dengan peredaran masa dan tahun marilah kita meningkatkan rasa syukur dan taqwa kita kepada Allah 'Azza wa Jalla. Sesungguhnya tiada satu pun detik waktu yang kita lalui melainkan di sana terdapat nikmat Ilahi yang Maha Luas. Ingatlah selalu peringatan Allah dalam Surah An-Nahl Ayat 18:

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ

Bermaksud: "Jika kamu cuba menghitung nikmat-nikmat Allah sudah pasti kamu tidak akan mampu menghitungnya".

Maka bersyukurlah kita kerana kesyukuran itu tidak lain hanya akan menambah rahmat dan kurnia Allah kepada hamba-hamba-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang selalu bersyukur.

Saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bulan Muharam merupakan bulan yang mulia di sisi Allah سبحانه وتعالى. Ia memiliki beberapa keistimewaan, antaranya yang pertama - bulan Muharam merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah At-Taubah Ayat 36:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَ‌ٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

Bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu".

Bertepatan Ayat yang dibacakan tadi, terdapat hadith Nabi صلى الله عليه وسلم yang menjelaskan maksud bulan haram, sabda baginda:

أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Bermaksud: "Daripada Nabi صلى الله عليه وسلم baginda bersabda; Waktu telah berpusing mengikut ketetapan-Nya seperti yang dicipta Allah pada hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun 12 bulan, daripadanya terdapat 4 bulan haram, 3 bulan berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharam dan juga Rajab Mudhar iaitu antara bulan Jumadil Akhir dan Syaaban". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Bulan-bulan haram ini memiliki kesucian dan kehormatannya. Di antara bentuk kesucian dan kemuliaan bulan-bulan ini ialah larangan berperang pada bulan-bulan tersebut, kecuali jika terpaksa kerana mashlahat yang lebih besar atau jika diserang oleh kaum kafir. Kaum muslimin juga diingatkan agar lebih menghindari kezaliman pada bulan-bulan tersebut, sama ada menzalimi diri sendiri, apatah lagi orang lain mahupun hak-hak Allah سبحانه وتعالى.

Dalam menafsirkan Ayat ini, Imam At-Tobari dalam tafsirnya mengutip athar daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه : "Allah menjadikan bulan-bulan ini sebagai bulan-bulan suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal soleh pada bulan ini juga lebih besar".

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Kedua -  bulan Muharam mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat manusia. Antaranya pembebasan Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari pemburuan Firaun. Kerana itu, umat yahudi pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa pada 10 Muharam kerana memperingati kemenangan tersebut.

Sebuah kisah dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu Abbas رضي الله عنه menceritakan ketika Nabi صلى الله عليه وسلم baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum yahudi berpuasa pada Hari 'Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab: "Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : "Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu". Maka Nabi صلى الله عليه وسلم pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyebut kelebihan puasa 'Asyura dalam sebuah hadith:

سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Bermaksud: "Rasulullah ditanya mengenai puasa 'Asyura (puasa di hari kesepuluh bulan Muharam)? Beliau menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadith riwayat Imam Muslim)

Namun, sunat berpuasa Tasu'a iaitu sembilan Muharam kerana Rasulullah berazam untuk menunaikannya bagi membezakan amalan puasa orang yahudi, meskipun baginda tidak sempat menunaikan hajatnya kerana baginda wafat sebelum Muharam seterusnya tiba. Lalu para sahabatnya berpuasa Tasu'a seperti keinginan Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ

Bermaksud: "Jika datang tahun depan (kita masih diberi umur panjang), kami akan berpuasa pada hari Tasu'a (hari kesembilan bulan Muharam)". (Riwayat Imam Muslim)

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,

Sempena sambutan tahun baru 1438 hijrah, marilah kita sama-sama muhasabah diri sendiri, masyarakat dan umat seluruhnya. Apakah sumbangan kita demi mengangkat martabat Islam di muka bumi? Semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada kecil mahupun besar. Setiap sumbangan membawa erti yang sangat besar apatah lagi ketika majoriti manusia mula menyalahkan Islam dalam kebanyakan peristiwa buruk yang berlaku. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Bermaksud: "Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : Tiada hijrah selepas pembukaan Kota Makkah sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم lagi:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah dan orang muslim adalah orang yang terselamat dari lidah dan tangannya". (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Umat Islam wajib memelihara diri daripada melakukan perkara yang ditegah Allah سبحانه وتعالى bagi menagih simpati dan pertolongan Allah. Keadaan himpitan fitnah dan kekacauan tidak dapat kita selesaikan melainkan dengan bantuan Allah. Bersungguh-sungguh memelihara diri dan masyarakat dari dosa, boleh mengembalikan Islam ke tempat yang terpuji sepertimana zaman keagungan Islam suatu masa dahulu.

Tunjukkan akhlak yang baik sebagai umat Islam, kuatkan usaha dakwah, berikan contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam. Umat Islam mesti kembali menjadi contoh kepada setiap perlakuannya bukan menjadi sampah yang dibenci dan dikeji. Umat Islam juga mesti menjadi umat yang berilmu, tingkatkan kesungguhan menuntut ilmu, budayakan kehidupan harian dengan ilmu, berbelanja untuk ilmu, banyakkan membaca dan banyakkan berfikir. Tingkatkan kefahaman umat Islam tentang ilmu-ilmu yang sengaja dijadikan isu sensitif oleh musuh-musuh Islam seperti jihad peperangan, tingkatkan kefahaman mengenai kepentingan ekonomi Islam, undang-undang Islam, keindahan poligami dalam sistem kekeluargaan Islam dan seumpamanya. Kefahaman masyarakat dengan cara yang benar akan mengelakkan salah faham yang mewujudkan pelampau mahupun kumpulan yang meremeh-remehkan Islam.

Tingkatkan perpaduan sesama muslim. Solatlah berjamaah terutama solat Subuh, rapatkan dan luruskan saf kerana suruhan ini telah dibuktikan membawa kekuatan dan kesatuan kepada umat. Perpaduan umat Islam amat diperlukan masa kini demi menguatkan Islam serta mengembalikan kegemilangan Islam. Hentikan polemik pergaduhan yang melibatkan politik mahupun perselisihan mazhab atau aliran dalam Islam. Kita adalah muslim yang mengikut petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم dan para sahabat baginda.

Bagi yang berkuasa, laksanakan tanggungjawab dengan amanah dan ikhlas. Jauhi rasuah dan salahguna kuasa kerana keruntuhan sesebuah kuasa bermula dengan kedua-duanya. Jangan menganggap rasuah dan salahguna kuasa sebagai perkara kecil. Dosa ini yang mungkin telah menahan pertolongan Allah. Pelakunya pasti mendapat perhitungan yang besar di hadapan Allah kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai warganegara pula, kewajipan memilih kepimpinan terletak di tangan kita. Setiap undi adalah berharga. Kaedah feqah menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Bermaksud: "Sesuatu kewajipan tidak sempurna melainkan yang bersangkutan dengannya adalah wajib". 

Memilih pemimpin adalah wajib maka mendaftar dan mengundi adalah wajib. Umat Islam adalah diseru untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi demi masa depan negara dan Islam. Masa depan negara kita adalah di tangan umat Islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment