Saturday, September 10, 2016

KHUTBAH EIDULADHA 1437: TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG


Khutbah Eiduldha 1437 H 
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ،  وَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى والصِّفَاتُ الْعُلَا. وَأَشْهَدُ أَن مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ، الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ والبَدْرُ الدُّجَى.
 وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ النَبِيِّ الْمُجْتَبَى ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَبِهِ وَمَنْ تَمَسَّكَ بِالْهُدَى.
أَمَّا بَعْدُ :
فَيَا عِبَادُ اللهِ، اتَقُوا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التِّقْوَى، فَقَدْ فَازَ المُتَّقُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah kepada Allah. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa dan sesunggunhnya berjayalah orang yang bertaqwa.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Selamat menyambut hari raya Adha atau hari raya qurban, bersempena dengan ibadat haji yang menjadi rukun Islam yang kelima dan bersempena dengan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya yang dipilih Allah kerana berjaya menyempurnakan semua perintah Allah. Firman Allah:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٣١﴾ 

Maksudnya: "Dan tiadalah sesiapa yang bencikan agama Ibrahim melainkan menjadi orang yang membodohkan dirinya sendiri. Sesungguhnya kami memilih dia di dunia ini (menjadi rasul kesayangan Allah) dan sesungguhnya di akhirat nanti dia di masukkan di dalam kalangan orang-orang yang soleh (yang tinggi martabatnya). Ingatlah apabila berkata oleh Tuhannya: Islamlah! Ibrahim berkata: Saya Islam kerana Tuhan pencipta seluruh alam." (Surah Al-Baqarah: Ayat 130 hingga 131)

Di mana Ibrahim AS membuktikan Islamnya dengan menyerah diri secara ikhlas kepada Allah beserta dengan bersungguh-sungguh menolak syirik (menyekutukan Allah) dengan segala yang lain. Sebenarnya mereka mengadakan tuhan selain Allah benar-benar membodohkan dirinya. Fikirlah bagaimana seorang manusia yang dimuliakan kejadiannya oleh Allah dengan akal bersama hidayah, tiba-tiba merosakkan akalnya sendiri dan menolak hidayah Tuhan yang menjadikannya, sehingga menolak mereka yang zalim menjadi tuhan atau melantik makhluk yang lebih hina daripadanya seperti batu, binatang dan lain-lain lagi menjadi tuhan, atau mengadakan peraturan dan undang-undang yang merosakan dirinya sendiri dan memusnahkan bumi tempat kediaman sendiri.

Adapun Ibrahim AS dan rasul-rasul AS yang dipilih Allah dilihat oleh kaum sendiri di zamannya akan bijak dan baiknya lebih daripada orang lain. Tiba-tiba mereka boleh menolak para rasul manusia terbaik dan mengikut pemimpin yang dikenali zalim dan jahatnya semata-mata kerana kesenangan hidup hanya makan minum, tempat kediaman dan harta mengikut hawa nafsu seperti binatang yang tidak berakal. Tidakkah itu (jahil) bodoh namanya?

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Ibrahim AS sanggup berhijrah meninggalkan keluarga tersayang (ayahnya sendiri) dan meninggalkan tanahair tercinta apabila di halau oleh Raja Namrud yang kafir dan ayahnya juga, kerana Ibrahim dan pengikutnya kasihkan Allah yang Maha Esa lebih dari yang lain.

Ibrahim AS bersama isterinya yang beriman Hajar AS bersama Ismail AS anak lelaki kesayangannya yang masih kecil menyusu ibunya, menunaikan perintah Allah sampai meletakan isterinya dan anaknya di bumi mekah yang kering tidak ada air sedikit pun dan tidak sanggup didiami oleh manusia dan binatang.

Setelah anak lelaki kesayangan itu membesar, sampai keperingkat umur berjalan bersama ayahnya dan bijak berfikir, tiba-tiba diperintahkan sampai disembelih sahaja anaknya itu. Ibrahim dan Ismail AS bersedia menerima dan melaksanakannya. Kemudian Allah membatalkanya dan digantikan binatang ternakan. Semuanya berlaku kerana Ibrahim AS dan keluarganya mengenal Allah dan memberi diri mereka adalah milik Allah dan pemberianya yang maha rahmat dan penyayang. Hajar dan Ismail AS terus berada disitu sehingga akhir umur mereka. Allah berfirman:

۞ وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ﴿١٢٤﴾

Maksudnya: "Dan ingatlah apabila Tuhan menguji Ibrahim dengan beberapa kalimah (perintah), lalu Ibrahim menunaikan semua dengan sempurna. Tuhan berkata: Sesungguhnya Aku jadikanmu imam (pemimpin contoh teladan). Ibrahim berkata: Jadikanlah juga bagiku zuriat keturunanku. Tuhan berkata: Tidak diberi ini kepada orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah: Ayat 124)

Perintah ditunaikan dahulu oleh Ibrahim, Hajar dan Ismail AS, sebelum diketahui rezeki di dunia dan keselamatan di bumi yang menakutkan itu, dan daripada zuriat keturunannya dipilih Rasul akhir zaman kepada seluruh alam. Setelah beribu-ribu tahun selepas kematian mereka barulah dilihat hikmahnya oleh seluruh manusia yang menganut Islam menjadi umat Nabi Nuhammad S.A.W. Sekarang mereka menghantar wakil sampai berhimpun di Makkah menunaikan haji, melihat bangunan kaabah yang menjadi kiblat sembahyang, bangunan rumah ibadat yang dibina oleh Ibrahim dan Ismial AS. Dilaksanakan menjadi qiblat oleh Nabi Muhammad yang dilahirkan selepas beribu-ribu tahun ketika Ibrahim tidak melihat apa yang berlaku selepasnya.

Hari ini umat Islam yang menunaikan ibadat haji berhimpun di tanah suci Mekah melaksanakan syiar tauhid yang dibawa rasul akhir zaman Muhammad S.A.W kepada seluruh dunia, mereka menyaksikan ka'abah yang didirikan oleh Ibrahim AS yang menjadi lambing tauhid mengesakan Allah dan menolak syirik. Qiblat itu dihadap kearahnya oleh penganut Islam. Adapun Ibrahim AS yang mendirikan ka'abah itu dimuliakan oleh penganut Islam sehingga diamalkan ibadah haji di tempatnya. Ibrahim juga dimuliakan oleh penganut yahudi, kristian dan masyarakat penyembah berhala melantiknya menjadi tuhan. Allah menegaskan Islam sahaja agama Ibrahim dan semua nabi-nabi AS. Firman Allah:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٦٧﴾ إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا ۗ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٦٨﴾
Maksudnya : "Ibrahim bukan yahudi, bukan Kristian. Ibrahim adalah seorang Islam (Agama Tauhid menolak segala bentuk syirik) dan tidak sekali-kali termasuk di kalangan musyrikin (penyembah tuhan selain Allah). Sesungguhnya yang paling utama di kalangan manusia kepada Ibrahim ialah pengikutnya yang menganut Islam bersama nabi ini (Muhammad S.A.W) dan orang-orang yang beriman (bersamanya) dan Allah sahaja yang menjadi pelindung kepada orang-orang yang beriman". (Surah Ali-'Imran: Ayat 67 hingga 68)

Hari ini umat Islam yang menunaikan ibadat haji mewakili umat Islam daripada seluruh dunia. Mereka berada di Mekah disisi ka'abah yang dibina oleh Ibrahim dan Ismail AS. Firman Allah:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ ﴿٩٦﴾ فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya rumah pertama yang diletakan kepada manusia (supaya beribadat kepada Allah) ialah yang berada di bumi Mekah, yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada manusia. Terletak padanya tanda-tanda yang lagi nyata, di antaranya makam Ibrahim dan sesiapa yang berada di dalam kekuasaannya nescaya amanlah dia. Allah telah mewajibkan kepada manusia yang berkemampuan supaya menunaikan ibadat haji, dan sesiapa yang kufur (ingkar tidak percaya) maka ketahuilah bahawa sesngguhnya Allah itu Maha Kaya, lagi tidak berhajat kepada seluruh alam". (Surah Ali-'Imran: Ayat 96 hingga 97)

Maka berkatalah dajjal dan puak-puaknya: "Bahawa mengikut ajaran Islam menyebabkan kesusahan", dan ada juga yang berkata: "Kita tidak boleh beramal dengan Islam sepenuhnya selagi ekonomi dan keamanan tidak kuat sepenuhnya." Tujuan supaya meninggalkan syariat Islam, bukan tujuannya melaksanakan Islam hanya sekadar kemampuan sahaja dan terus dilaksanakan mengikut peringkatnya. Kata-kata itu sangat berlawanan dengan petunjuk Islam yang dibawa oleh Ibrahim AS dan ajaran nabi Muhammad S.A.W yang kita muliakan di hari raya ini. Bahawa dengan beriman dan beramal terlebih dahulu mendatangkan keberkatan dan keamanan. Fiman Allah:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: "Dan kalaulah penduduk negara itu beriman dan bertaqwa nescaya kami bukakan untuk mereka keberkatan (yang baik) yang datang daripada langit dan keluar daripada bumi, tetapi mereka membohonginya, lalu kami jatuhkan hukuman bencana dengan sebab apa yang telah mereka usahakan." (Al-A’araf: Ayat 96)

Allah menceritakan ucapan para pemimpin musyrikin Makkah yang tidak mahu beriman kepada Rasulullah S.A.W , walaupun mereka saksikan sifat benar dan amanah, mereka menolak kerana tidak ada jaminan keselamatan dan ekonomi hidup senang. 

وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٥٧﴾

Maksudnya: "Dan mereka berkata: Sekiranya kami mengikut petunjuk (Islam) bersamamu (wahai Muhammad) nescaya Kami akan diserang dan dibinasakan di Makkah ini oleh semua mereka yang berada di kalangan kami (yang menolak islam). Allah menjawab: Mereka sedar bahawa Kamilah yang telah meletakkan mereka di tanah haram yang aman ini, diberi kepada mereka semua jenis buah-buahan, rezeki daripada kami (yang datang daripada luar Makkah), tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat sebenarnya)". (Surah Al-Qoshosh: Ayat 57)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Hari ini kita bersama dengan para jemaah haji daripada seluruh pelusuk dunia menyaksikan bangunan ka'abah yang dibina oleh Ibrahim dan Ismail AS yang tidak dilihatkannya ketika sembahyang selama ini, bukan menyembah batunya tetapi menyatukan hala dan arah menghadap apabila beribadat hanya kepada Allah sahaja. Di mana hati manusia yang islam sangat ingin ke bumi Mekah, walaupun kering tidak ada tanah pertanian dan bukan kawasan kilang yang mengeluarkan barangan. Tiba-tiba mereka menyaksikan upacara ibadah haji dan sembahyang berjamaah di keliling ka'abah sepanjang masa dan melihat barangan yang dijual datang daripada seluruh pelusuk dunia. Adapun penganut agama lain termasuk ahli kitab di kalangan yahudi dan nasrani kristian menakluk Islam nabi Ibrahim dan semua nabi-nabi yang disempurnakan oleh nabi Muhammad S.A.W sebelum hari kiamat yang menamatkan alam dunia ini dan mereka juga menolak ka'abah yang dibina oleh Ibrahim dan Ismail apabila Allah memerintah supaya kiblat akhir zaman diubah kearah ka'abah di Makkah itu.

Allah berfirman: 

۞ لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا ۖ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ ﴿١٧٧﴾

Maksudnya: "Bukanlah perkara kebajikan itu hanyalah kamu mengadap muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat, para malaikat, para nabi-nabi, dan mendermakan seseorang akan hartanya, sedangkan dia sayangkan harta itu, namun diberi kepada kaum keluarganya dan anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang terlantar di dalam perjalanan, orang-orang yang meminta dan hamba sahaya. Dan seseorang itu mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Dan juga orang-orang yang menunaikan perjanjian apabila berjanji. Dan juga orang-orang yang bersabar dalam kesempatan dan kesusahan hidup dan sabar berjuang (menegakan Islam) apabila menghadapi musuh-musuh di medan. Mereka itulah orang-orang yang bersabar dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa". (Al-Baqarah: Ayat 177)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Mereka yang berhimpun di Makkah itu dalam keadaan yang sama mengadap Allah apabila mengerjakan haji, tidak mengira raja, pemimpin, rakyat, kaya, miskin, alim dan jahil. Penentuan kedudukanya di sisi Allah ialah taqwa.

Termasuklah mereka yang melakukan ibadah korban menyembelih binatang dan mereka yang menerima daging dan sampai kepadanya atau tidak sampai kepadanya, sama-sama juga menyebut hari raya ini. Allah berfirman:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾

Maksudnya: Tidaklah sampai kepada Allah oleh daging-daging dan segala darahnya, tetapi sampai kepadanya sifat taqwa daripada kamu. Begitulah kami jadikan kamu dapat menguasai binatang-binatang itu untuk kamu, supaya kamu membesarkan Allah di atas pemberian petunjuknya kepada kamu, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya". (Surah Al-Hajj: Ayat 37)

Muslimin dan muslimat yang rahmati Allah!

Selepas Makkah dibebaskan daripada jahiliah, Rasulullah S.A.W telah mengaturkan dua kali haji. Haji yang pertama Rasulullah S.A.W tidak menyertainya, tetapi menugaskan Abu Bakar As Siddiq RA mengetuainya dengan memberi perisytiharan berakhirnya haji yang dibenarkan kepada orang-orang musyrikin, seterusnya diharamkan bertelanjang ketika mengerjakan haji seperti yang dilakukan oleh mereka itu. Seterusnya dihapuskan semua perjanjian dengan orang-orang bukan Islam yang didapati tidak adil terhadap Islam dan umatnya.

Haji yang kedua di namakan haji wada’ (selamat tinggal), di sertakan oleh Rasulullah S.A.W dengan memberi wasiat terakhir kepada umatnya, sebelum wafat meninggal dunia. Di antaranya sabda Rasulullah S.A.W:

تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا، أَمرا بينا كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ (سيرة ابن هشام)

Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu sekiranya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah (Al Quran) dan sunah (ajaranku) bagaimana beramal dengannya". (Sirah Ibnu Hisyam)

Seterusnya bersabda lagi:

لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ (صحيح البخاري)

Maksudnya: "Janganlah kamu menyeleweng selepas aku (wafat) sehingga kufur (terhadap ajaranku) sehingga berperang memancung leher sesama sendiri". (Shahih Al-Bukhari)

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu rasul daripada kalangan kamu sendiri, sangatlah berat kepadanya apa-apa kesusahan yang menimpa kamu dan sabgat mahukan kebaikan kepada kamu dan dia sangat kasih sayang kepada orang-orang yang beriman". (Surah At-Taubah: Ayat 128)

بَارَكَ اللَّهُ ولَكُمْ فِي الْكِتَابِ والسُّنَةِ. وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِالْآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ. أَقُولُ قَولِى هَذَا وَاَسْتَغفِرُ اللهَ العَظِيمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ المُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ، هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

Muslimin dan muslimat sekalian!

Marilah pada hari ini, kita merasakan betapa besarnya nikmat dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Ta'ala, bahkan kita patut berbangga kerananya. Hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredoi oleh Allah sebagaimana firmannya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan beragama Islam". (Surah Ali-‘Imran: Ayat 102)

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan islam yang dianugerahkan di dalam islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah S.A.W :

"لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ". (رواه البخاري)

Maksudnya: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada diri sendiri". (Riwayat Al-Bukhari)

Sehubungan itu hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala’ bencana dan kesusahan yang menimpa umat di serata pelusuk dunia, sama ada mereka yang ditimpa kemiskinan dan kebuluran di negara-negara Afrika, dan umat islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti Palestin, Mesir, Syiria, Irak, Selatan Thailand dan sebagainya . Adalah menjadi tanggung jawab umat Islam untuk membantu mereka daripada terus ditimpa kesusahan. Jika tidak membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa dan munajat kepada Allah supaya Allah memberi petolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh berkat ini marilah kita membanyakan ucapan selawat dan salam keatas nabi Muhammad S.A.W yang telah menyampaikan yang telah menyampaikan islam kepada kita setelah melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat keatas nabi, maka wahai orang-orang beriman, ucapkan selawat dan salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَليْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِى العَلَمِينَ إِنكَ حَمِيدُ مَجِيدٌ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ وَالمُسْلِمِينَ َالمُسْلِمَات الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. رَبَّنَا ذُنُوبَ وَالِدِينَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالمُسْلِمِينَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِقِين، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِينِ، وَالظَّالِمِينَ. اللَّهُمَّ إِنا نَجْعَلُكَ فِى نُحُورِ أَعْدَآئِنَا وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِيمْ. اللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى نُحُورِهِمُ. اللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ.
اللَّهُمَّ اَنْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدَينَ والْمُسْتَضْعَفِينَ فِى فَلَسْطِينَ، وَفِى غَزةِ، وَفِى العِرَاقِ، وَفِى سُورِيَا، وَفِى كَشْمِير، وَفِى جُنُوبِ تَايْلَنْد، وَفِى كُل مَكَانٍ. اللَّهُمَّ قَو عَزَائِمَهُمْ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، وَثَبتْ أَقْدَامَهُمْ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ.
اللَّهُمَّ آتِ أَنْفُسَهَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا. اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، َوَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ. اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلَاةَ أُمُورِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتِنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسِنَا وَإِنْ لمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَن مِنَا الْخَسِرِينَ. رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا إِّذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَّدُنكَ رَحْمَةً إنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَجِنَا وَذُرِّيَّتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ واجْعَلْنَا لِلْمُتقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الْدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الْأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِينَا عَذَابِ النَّارِ.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. والْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ،  ولِلَّهِ الْحَمْدُ.



Teks jawinya boleh juga di muat turun dari: https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMcFpGLUY0R3Y4ZUk

No comments:

Post a Comment