Thursday, December 15, 2011

Khutbah Jumaat - 20 Muharram 1433 / 16 Disember 2010

BERGANDING BAHU PERTAHANKAN AKIDAH

اَلْحَمْدُ للهِ الْقاَئِلِ :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّـهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لاَئِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Wahai orang yang beriman barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan kepada mereka satu kaum lain yang Allah sayangi mereka dan mereka menyayangi Allah, mereka bersifat lemah lembut sesama orang yang beriman dan bersikap tegas dengan orang-orang yang tidak beriman, mereka berjuang dijalan Allah tanpa rasa takut dan gerun terhadap celaan orang yang suka mencela. Itulah kelebihan Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Dan Allah Maha luas ilmu dan Maha mengetahui."
(SURAH AL-MAIDAH AYAT: 54)

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat sekelian,

Kalau status kita di dunia ini sering dibeza-bezakan dengan pangkat, darjat, kaya dan miskin namun insaflah kita sekelian bahawa apabila kain kafan membaluti diri kita masing-masing, semuanya akan dinilai semula dengan penilaian sejauh mana pencapaian iman kita, prestasi amal kita dan sejauh mana ketaqwaan kita. Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita dengan cara bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dilarang Allah.

Khutbah kali ini sekali lagi akan membicarakan persoalan yang perlu diambil perhatian secara serius iaitu persoalan mengenai gejala murtad. Ia sebenarnya tidak berhenti menyerang umat Islam. Ia umpama sejenis virus yang menyerang tubuh badan umat Islam secara senyap tanpa kita sedari. Diayah ini tidak bermusim sebagai mana semangat penentangan terhadap gejala murtad yang bermusim di pihak umat Islam. Hendaklah kita insaf betapa gejala ini adalah musuh kita bersama yang perlu ditangani dengan baik dan serius supaya kaum keluarga dan anggota masyarakat tidak terjerat.

Para hadirin sekelian,

Suku terakhir abad yang ke 20 ini, merupakan satu jangka masa yang memberi sinar dan harapan kepada Islam. Dalam tempoh masa suku yang terakhir ini kita dapati generasi muda dari masyarakat melayu telah mula mendekatkan diri dengan ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar, meskipun dalam tempoh yang sama sebelumnya adalah masa yang gemilang bagi pelbagai fahaman ciptaan manusia seperti komunis, sosialis dan nasionalis.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Fahaman-fahaman ciptaan manusia ini telah menghadapi zaman malap dan semakin hilang tempatnya di dalam masyarakat dalam tempoh 25 tahun yang terakhir ini. Kehilangan dan kemalapan ini telah di ambil alih oleh Islam. Oleh sebab itu dalam tempoh tersebut, kebangkitan di pelbagai peringkat masyarakat bermula dari desa dan kampung hingga ke bandar-bandar besar dan pusat-pusat pendidikan tinggi. Manusia tidak mampu lagi menafikan fitrahnya untuk menerima Islam.

Mereka telah mendampingi dan mempelajari Islam serta turut terlibat di dalam menyebarkan Islam kepada orang lain. Hasilnya begitu ketara di mana pada hari ini secara jelas kita dapat lihat betapa ajaran Islam telah diperluaskan di kalangan masyarakat Melayu, jauh lebih menyeluruh daripada sebelumnya. Kalau kita berjalan ke mana sahaja sekarang ini kita dapati bilangan kaum wanita yang menutup aurat sudah mencapai ke suatu peratusan yang begitu tinggi.

Umat Islam telah mula memecahkan kepompong kefahaman Islam yang sempit kepada satu kefahaman yang lebih luas. Sebab itu pada hari ini umat Islam sudah mula pandai dan berani menuntut dan meminta daripada pihak berkuasa di negeri mereka supaya ajaran Islam perlu dipeluaskan dalam semua kegiatan hidup bermasyarakat, berekonomi dan bernegara. Tidak sebagaimana sebelumnya yang hanya terikat kepada beberapa ibadah khusus semata-mata.

Sidang Jumaat sekelian,

Fenomena ini telah mendapat perhatian dan pengamatan musuh-musuh Islam di Timur dan Barat. Mereka telah memerhati dan memantau keadaan ini dari masa ke semasa. Akhirnya mereka telah merumuskan satu strategi bagi melemah dan menghancurkan Islam melalui pelbagai cara.

Musuh-musuh Islam yang terdiri dari tiga pihak merangkumi penjajah, orientalis dan zionis. Mereka berkumpul dan bersatu tenaga, memikir dan merencana untuk menghancurkan Islam melalui pelbagai bentuk dan cara, antaranya ialah penggunaan media massa, internet, badan- badan bukan kerajaan, pusat-pusat hiburan dan seumpamanya yang menjurus ke arah mengajak masyarakat Islam meruntuhkan akhlak dan keperibadian Islam mereka.

Generasi muda Islam secara beransur-ansur dan perlahan-lahan telah diheret melalui pengaruh media masa untuk dengan budaya serba boleh. Budaya ini dari sudut akidahnya mungkin melahirkan golongan yang berpegang kepada iktikad tidak ada Tuhan atau tidak ada ugama, atau lebih dikenali sebagai 'Free thinker'. Manakala dari sudut akhlak dan tingkahlakunya, ia mungkin melahirkan budaya suka berhibur semata-mata , atau lebih dikenali sebagai hedonism. Kedua-dua budaya ini akhirnya akan meruntuhkan sama sekali akidah Islam yang menjadi pegangan Umat Islam selama ini.

Para hadirin sekelian,

Kita umat Islam mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk menjaga dan menyelamatkan sekurang-kurangnya lima perkara yang telah diamanahkan oleh Allah secara semula jadi kepada kita, iaitu akidah atau ugama, akal, keturunan, harta dan jiwaraga. Kelima-lima ini adalah fitrah yang ada pada setiap manusia, ia mesti dijaga dan dipertahankan, kalau tidak, kita tidak layak dipanggil manusia. Jikapun di panggil manusia, tetapi hakikatnya hanyalah manusia tanpa kemanusiaan. Ciri-ciri kemanusiaan hanyalah ada pada manusia yang mampu mempertahankan kehormatan dan kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya. Islam telah mengajar dan mengarahkan umat supaya kelima- lima perkara ini dijaga dan dipelihara dengan baik.

Murtad adalah perbuatan meninggalkan agama yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti yang di sebut tadi. Oleh yang demikian ia mesti ditentang dan dihalang supaya ia tidak berlaku. Murtad ialah satu benda buruk yang mesti dilawan, samada ia memberi kesan kepada orang lain atau tidak . Tetapi perbuatan murtad itu sendiri adalah satu perbuatan yang buruk yang mesti ditentang. Murtad seperti kegiatan jenayah yang lain yang mesti dibendung dan dihapuskan. Haramnya murtad seperti juga zina, begitu juga undang-undang mewajibkan pakai topi keledar. Asalnya undang-undang dibuat bagi mengelak kematian apabila berlakunya kemalangan jalanraya. Apabila undang-undang dikuatkuasa ia tetap dianggap salah jikalau tidak pakai tanpa merujuk samada berlaku kemalangan atau tidak.

Begitu juga dengan arak, ia haram dan tetap haram walaupun sedikit dan tidak memabukkan dan tidak mengacau orang lain. Masalah murtad adalah masalah kita bersama, ia bukan masalah peribadi orang yang murtad atau keluarganya sahaja, seperti dalam kes yang berlaku kepada Siti Aishah dan keluarga Hj.Bukhari, ia adalah masalah masyarakat dan negara umat Islam.

Kegiatan murtad ini kalau dibiarkan berleluasa, ia akan menimbulkan kemurkaan Allah kepada seluruh umat manusia dari masyarakat tersebut. Sebab itu Allah menyebutkan di dalam, al-Quran yang dibacakan dalam mukadimah khutbah tadi. Bahawa apabila sesuatu kaum yang beriman itu murtad, maka Allah akan menggantikannya dengan kaum yang lain. Penggantian satu kaum dengan satu kaum yang lain bukanlah satu proses yang mudah dan senang. Ia bukanlah sahaja mengambil masa yang panjang, tetapi terpaksa mengalami penderitaan dalam kehidupan sementara untuk hilang dan lenyap dari permukaan bumi. Kalau tidak keterlaluan barangkali kita boleh ambil contoh umat Islam di Rusia.

Sewaktu Rejim komunis Rusia berkuasa, kebanyakan umat Islam yang ada di dalam negara mereka terpaksa murtad dan menerima fahaman kominis. Apabila rejim komunis itu runtuh dan umat Islam bangkit semula, berlakulah penghapusan etnik secara berbunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Bosnia dahulu dan di Kosovo sekarang. Keadaan yang seumpama ini sudah tentu amat menyiksakan, tetapi inilah balasan Tuhan seperti yang dijanjikan melalui al-Quran.

Para hadirin sekelian,

Orang yang murtad pada asalnya ialah orang Islam. Mereka sudah pernah merasa nikmat beriman kepada Allah, mereka sudah dapat nikmat hidup bermasyarakat, berumahtangga dan nikmat daripada halal haram yang telah diamalkan oleh Islam. Oleh sebab itu apabila mereka masih lagi memilih untuk murtad walaupun sudah faham dan beramal dengan Islam, ini menunjukan bahawa kejahatan dan kebuasan nafsu dalam diri mereka sangat kuat. Oleh hal yang demikian golongan seperti ini patut sangat di hukum dengan hukuman yang berat seperti dibunuh.

Para hadirin sekelian,

Dalam kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang, ada orang bimbang bahawa kegawatan ini boleh menyebabkan manusia menjadi miskin. Dengan kemiskinan tersebut boleh menjadikan manusia murtad kerana ada hadis yang bermaksud sedemikian, akan tetapi kita tidak harus lupa bahawa kekayaan juga kadang-kadang boleh menyebabkan kita menjadi taghut. Ini bermakna bahawa murtad ini adalah satu gejala yang boleh berlaku samada dalam keadaan kita senang ataupun kita susah. Apa yang penting kepada kita bukanlah kekayaan dan kemiskinan. Sebaliknya adalah tanggung jawab kita untuk menjaga dan membendung sebarang anasir yang boleh membawa kepada merebaknya gejala tersebut.

Antara tindakan yang patut diambil ialah mempertegakkan hukuman yang telah ditentukan oleh Allah terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala ini. Sementara api murtad itu masih kecil dan masih mudah untuk dipadamkan, maka kita tidak boleh boleh lagi berdolak dalik dan bermain-main dengannya. Jika tidak apabila sudah menjadi besar, sudah tentu kita tidak ada kemampuan lagi untuk mengatasinya.

Kita sepatutnya mengambil pengajaran dari peristiwa-peristiwa dan kesilapan-kesilapan yang lalu. Diwaktu umat Islam masih banyak bilangannya di negara ini, wajarkah kedudukan Islam dan perundangan kita buat sambil lewa sahaja.

Oleh hal yang demikian seluruh umat Islam di negara ini hendaklah mengambil bahagian dan memainkan peranan supaya kita benar-benar mampu menjadi tenaga penggerak agar gejala murtad ini benar-benar diambil perhatian dan tindakan undang-undang yang sewajarnya seperti yang diajar adalah kejayaan Islam dan kegagalannya pula adalah satu bencana kepada umat Islam di negara ini. Sementara masa dan waktu masih ada, dan Allah memberi peluang ini sepenuhnya semuga kita tidak termasuk didalam golongan yang dimurkai olehNya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah setiap daripada kita menjadi muslim yang sentiasa sensitif kepada setiap perkara yang berlaku kepada agama Islam dan umat Islam di mana-mana sahaja ia berlaku samada di luar Negara lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di dalam Negara kita. Marilah kita sentiasa menyiapkan diri, sentiasa siap siaga menjadi tentera-tentera Allah, pembela-pembela agama yang sentiasa bertindak balas terhadap apa juga yang menyentuh soal agama Islam dan Umat Islam.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.





Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun di laman www.4shared.com. Klik di sini.

No comments:

Post a Comment