Friday, December 2, 2011

Khutbah Jumaat - 06 Muharram 1433 / 02 Disember 2011





Cabaran Masakini Dalam Membina
Masyarakat Islam Cemerlang


الْحَمْدُلِلهِ الَّذي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لَا أَنْ هَدَانَا الله ,
أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama memperbaharui serta mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah dari masa ke semasa dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Saudara-saudara kaum Muslimin,

Di dalam menjalani kehidupan di dunia ini kita semua tidak sepi dari menghadapi cabaran dan dugaan. Di antara hikmah dari cabaran dan dugaan yang dihadapi ialah untuk melatih dan mengajak kita supaya berfikir dengan lebih terbuka lagi. Ia juga dapat menambahkan pengalaman serta kemantangan kita dalam menempuhi masa-masa mendatang. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 269 :

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ﴿٢٦٩﴾


“Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”.

Untuk kita mencapai matlamat melahirkan masyarakat Islam cemerlang yang menjadi contoh, kita pasti akan didatangi dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Antara cabarannya ialah menjalani kehidupan dalam arus kemodenan. Persoalannya di sini, adakah Islam menghalang kita dari mencapai kemajuan dan kemodenan? Adakah Islam hanya agama ritual, yang hanya menyuruh kita duduk di tikar sembahyang sahaja?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Agama Islam amat mementingkan kemajuan samada kemajuan dari segi rohani dan jasmani. Atas dasar ini, Islam sekali-kali tidak menghalang umatnya mencapai kemajuan dan kemodenan. Rasulullah s.a.w sendiri sangat mengalakkan umat Islam untuk menuntut ilmu demi kemajuan. Baginda mengingatkan kita agar menjaga masa muda kita untuk mencapai kemajuan.

Maka atas dasar ini, kehidupan di dalam arus kemodenan bukanlah satu perkara yang salah di sisi ajaran Islam. Malahan jika kita memanfaatkannya dengan sebaik mungkin tanpa mengenepikan nilai-nilai serta prinsip-prinsip dasar agama Islam, kita mampu untuk hidup dalam arus kemodenan dan menjadi masyarkat contoh, masyarakat yang mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni.
Akan tetapi apa yang menyedihkan kita sebagai umat Islam sekarang ini, ialah sikap segelintir masyarakat Islam yang mengenepikan ajaran Islam untuk hidup dalam kemodenan berasaskan cara hidup barat . Islam dikatakan kolot dan tidak sesuai untuk diamalkankan di dalam dunia sekarang ini. Sesungguhnya dakwaan sebegini tidak berasas sama sekali. Hakikatnya sebagai Muslim yang sejati, kita mampu untuk menjadi maju serta mampu menyesuaikan diri dalam kehidupan serba moden.

Muslimin yang berbahagia,

Sebagai contoh, dalam keluarga Islam, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak menghayati nilai-nilai Islam, seperti sifat amanah, bertanggungjawab serta nilai-nilai Islam yang lain. Ini amatlah penting bagi mereka agar dapat membezakan antara yang baik dan buruk, serta dapat menyesuaikan diri di dalam kehidupan yang moden. Dan dalam masa yang sama menjadi individu Muslim yang cemerlang. Jika agama Islam tidak diamalkan dan ditanamkan di dalam keluarga tersebut, unsur-unsur kehidupan yang bertentangan dengan Islam akan mudah mempengaruhi keluarga itu.

Islam yang dikatakan kolot itu sebenarnya membawa kemajuan dan kejayaan di dalam dunia kemodenan ini. Ini kerana kadang-kala apa yang kita fikirkan baik untuk kita, sebenarnya adalah sebaliknya. Bersesuaian dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 :

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٢١٦﴾

“Dan berkemungkinan kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan berkemungkinan kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Maka bagaimanakah kita mampu hidup dalam arus kemodenan ini tanpa mengadaikan agama Islam yang murni? Apakah ciri yang perlu ada pada kita untuk mengatasi cabaran kemodenan ini?

Di antara ciri yang perlu ada pada masyarakat Islam adalah berpegang teguh pada prinsip Islam serta menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah. Untuk merealisasikan ciri ini, masyarakat Islam perlu memaparkan keihsanan kepada masyarakat lain. Antara caranya adalah dengan memberikan ucapan hormat kepada mereka apabila kita bertemu mereka yang bukan Islam. Dalam hal ini para ulama’ kontemporari berpendapat di dalam kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti di Malaysia ini, seorang Muslim dibenarkan untuk menjawab ucapan selamat untuk mereka yang bukan Islam, untuk merealisasikan konsep ihsan dan memaparkan kecantikan Islam. Ini tidak bercanggah dengan prinsip Islam dan ia bersesuaian dengan firman Allah :

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍۢ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا ﴿٨٦﴾


“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Muslimin yang berbahagia,

Ciri seterusnya adalah mengamalkan Islam lebih dari sekadar bentuk atau ritual agar dapat menyesuaikan diri dengan arus kemodenan. Sebagai contoh, Seorang Muslim boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat lain dengan menunjukkan akhlak yang baik serta ketekunan di dalam melakukan pekerjaan.

Umat Islam harus menanamkan kepercayaan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan kerana Allah akan mendapat ganjaran. Dengan cara ini, umat Islam akan menjadi lebih berkesan serta mampu bersaing dengan masyarakat lain.

Ini merupakan sebahagian dari ciri yang perlu ada untuk masyarakat Islam mencapai kecemerlangan.

Semoga dengan kita menghayati ciri masyarakat Islam cemerlang, kita mampu menjadi seorang Islam yang baik serta mampu hidup dalam arus kemodenan.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ. 



  





Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman perkongsian 4shared. Klik di sini.

No comments:

Post a Comment