Friday, September 8, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 17 ZULHIJJAH 1438 / 8 SEPTEMBER 2017


KEMERDEKAAN HAKIKI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْأَلُهُ الْعِظَّةَ وَالْإِعْتِبَرَ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ! وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kemerdekaan Hakiki".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Pada minggu yang lalu kita seluruh rakyat Malaysia telah menyambut ulang tahun kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos, kemudian akan disusuli pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Tarikh keramat yang saban tahun diraikan ini merupakan satu nikmat yang amat besar dan wajib disyukuri dan dihayati. Penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan ini perlu ditonjolkan bukan setakat dizahirkan melalui perbuatan malah dijiwai berdasarkan landasan syariat yang telah digariskan oleh Allah s.w.t dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu model yang lengkap dan sempurna.

Tidak dapat dinafikan lagi dari fakta-fakta sejarah, darah orang Islamlah yang paling banyak mengalir dan membasahi bumi ini demi menuntut kemerdekaan negara dari penjajahan Portugis, Belanda, Jepun, Komunis dan sehinggalah British yang bersetuju memberi kemerdekaan kepada negara ini dengan beberapa cagaran yang harus dibayar. Tatkala di dalam perjuangan jihad mereka pun, mereka telah dituduh sebagai penderhaka dan penggugat keamanan. Nama-nama seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut atau lebih awal seperti Dato' Maharaja Lela dan Dol Said yang sangat-sangat digeruni oleh penjajah.

Saudara kaum muslimin,

Sudah tentu dorongan semangat jihad menjadi pemangkin utama kepada penentangan terhadap penjajahan barat ini yang membawa sekali misi keagamaan mereka. Ayat-Ayat jihad menjadi wirid harian mereka. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah Ayat 111:

۞ إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga, mereka berjuang pada jalan Allah; (maka) di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. Sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Maka pejuang-pejuang ini berhak untuk menentukan masa depan negara ini selepas kemerdekaan dicapai demi kelangsungan zuriat mereka menyambung kesinambungan untuk mengimarahkan ibu pertiwi yang mulia ini mengikut kehendak Allah. Secara logik mudahnya, mereka sekali-kali tidak akan redha untuk menerima sistem-sistem yang ditinggalkan oleh penjajah dan dipaksa kepada zuriat keturunan mereka sedangkan mereka sanggup mati demi menghalau penjajah-penjajah ini.

Namun apakan daya, atas kelicikan penjajah barat maka kemerdekaan dianugerahkan dalam keadaan kita dipaksa tolak ansur dari sudut kerakyatan, di samping mengekalkan beberapa keistimewaan yang terhad kepada kuasa raja-raja melayu dan agama Islam, manakala bahasa melayu dan beberapa dasar lagi digubal sebagai wahana perpaduan rakyat dan mewujudkan ekonomi seimbang selepas diajar dengan pengalaman pahit rusuhan antara kaum. Rasulullah s.a.w sering menunjukkan sifat yang cintakan negara sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas r.a:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَّةَ مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Bermaksud: "Dari Ibnu 'Abbas r.a dia berkata Rasulullah bersabda kepada negeri Makkah: Alangkah baiknya engkau dari negeri yang ada dan engkau adalah yang paling aku cintai, kalau bukan lantaran kaumku mengusirku darimu, aku tidak akan tinggal di negeri selainmu". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Saudara kaum muslimin,

Meneliti susur galur perkembangan semasa sebelum sambutan kemerdekaan ke 60, segala yang melibatkan asas kepada perlembagaan negara dan kontrak sosial telah mula dipertikaikan. Ini termasuklah kedudukan orang melayu sebagai peribumi, hak-hak keistimewaan orang melayu, undang-undang syariah, konsep federalisme persekutuan, penjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia dan sebagainya.

Perkembangan ini sepatutnya menuntut kepada generasi muda kembali menekuni sejarah menggali hasrat sebenar pejuang-pejuang terdahulu menagih kemerdekaan dari penjajah sehingga mengorbankan nyawa. Pejuang-pejuang yang tidak didendang dan tidak tertulis nama mereka sudah tentu ramai bilangannya. Hayatilah bahawa perjuangan mereka adalah jihad suci membersihkan bumi ini dari segala bentuk kebejatan apa jua aktiviti yang melawan kehendak Allah dan berusaha mengekalkan tanah air ini sebagai rantau Islam. Belajarlah dari sejarah yang tertulis bukan dari tingkap sejarah yang dikuak jendelanya oleh penjajah.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Umat Islam wajib mempunyai sifat jujur dan amanah demi menggalas tanggungjawab pejuangan bangsa yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Segala dasar masa depan yang dirangka mestilah selaras dengan inspirasi pejuang kemerdekaan iaitu memartabatkan Islam sebagai rujukan utama negara. Model ekonomi baru negara yang telah bermula sejak tahun 2010 hendaklah dipacu dengan penuh telus. Kita seharusnya berfikir bagaimana agenda Islam dalam memperkukuhkan susuk tubuh negara menjadi agenda utama khususnya Transformasi Nasional 2050. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 41:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Semoga kemerdekaan kali ini membuka minda pemuda pemudi untuk mengejar kemerdekaan yang sebenar iaitu bebas dan berdaulat, mengatur urusan negara mengikut kehendak dan citarasa berpandukan Islam, bukan tersekat dan terperangkap dalam acuan, kehendak, sistem dan percaturan orang lain.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment