bersama kepimpinan ulamak




Program Terdekat. Jom Para Naqibat Kita Hadirkan Diri




Friday, September 9, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 7 ZULHIJJAH 1436 / 9 SEPTEMBER 2016


PAGI YANG DIBERKATI SIRI 3

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ وَالْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ حَيْثُ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ الْعَزِيْزِ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sidang jamaah yang berbahagia,

Tidur adalah kenikmatan hidup. Bangun tidur pula memberi kesegaran dan tenaga tambahan hasil rehat yang dinikmati semasa tidur. Namun, ada kalangan kita terhalang mendapat nikmat ini dengan pelbagai sebab. Ada yang terpaksa bekerja, ada pula yang tidak dapat melelapkan mata. Oleh itu mari kita bersyukur dengan nikmat ini tambahan pula syukur adalah kewajipan sebagai insan terhadap Tuhannya. Bangunlah seawal pagi sebelum Subuh untuk sama-sama kita menunaikan solat berjamaah di surau atau di masjid.

Kokokan ayam sebelum Subuh bolehlah kita jadikan sebagai pengajaran bahawa haiwan juga mengikut sunnatullah bangun awal demi menyatakan syukurnya kepada Allah. Syukur kerana kerehatan, syukur kerana dihidupkan kembali selepas mati (ketika tidur). Ramai kalangan manusia yang tidurnya merupakan detik akhir kehidupannya di dunia ini. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-An'aam Ayat 60:

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفَّاكُم بِاللَّيْلِ وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٦٠﴾

Bermaksud: "Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia Mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu di siang hari untuk disempurnakan umurmu yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan".

Sesungguhnya, tidur merupakan saat seolah kita sudah mati. Manusia yang tidur seolah berada di alam lain yang tidak berhubung dengan alam dunia. Kematian sebentar ini telah dinyatakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mengajarkan kita doa saat kita bangun tidur:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Bermaksud: "Segala puji bagi Allah yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya lah kami akan kembali". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Menunaikan solat Subuh berjamaah adalah tanda kesyukuran kita kepada segala nikmat yang telah dinyatakan tadi. Syukur tidak cukup hanya dengan ungkapan Alhamdulillah, bahkan dengan solat Subuh berjamaah, ucapan syukur dibuktikan dengan tindakan yang menunjukkan kepada kesyukuran.

Wahai saudara-saudaraku,

Marilah meneliti perjalanan hidup kita. Apakah kita termasuk golongan yang mensyukuri nikmat Tuhan? Apakah kita mendahulukan perintah Allah dan Rasulullah berbanding keseronokan? Di manakah hendak diletakkan kepentingan solat Subuh berjamaah saban hari? Mampukah kita mengalahkan kelembutan tilam serta selimut yang menyelimuti tubuh? Apatah lagi udara sejuk di musim hujan atau alat penghawa dingin yang menambah kesegaran. Bangunlah! Marilah kita bersegera bangun dan mengerjakan solat Subuh secara berjamaah demi meraih keredhaan Allah سبحانه وتعالى.

Para imam mujtahidin termasuk imam kita Imam As-Syafi'e رضي الله عنه telah membahaskan tentang hukum solat berjamaah. Imam As-Syafi'e berkata; "Sesungguhnya aku tidak pernah memberi rukhsah (keringanan) kepada sesiapa yang mampu melakukan solat berjamaah melainkan ketika uzur," (kitab Al-Umm Jilid 1, halaman 154). Tambah beliau lagi, kanak-kanak melakukan solat fardhu secara berjamaah sebagai satu latihan supaya mereka dapat membiasakan diri dengannya (kitab Al-'Iqnak Jilid 1, halaman 151). Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebut bahawa orang yang meninggalkan solat berjamaah dengan sengaja adalah orang yang buruk akhlaknya (kitab Al-Ausat Fi Sunani wal Ijmak wal Ikhtilaf karangan Ibnu Munzir).

Ringkasan daripada pelbagai pendapat para mujtahidin selepas menilai dalil-dalil, dapat disimpulkan 3 hukum solat berjamaah iaitu:

1. Fardhu 'ain ke atas umat Islam lelaki kecuali yang ada keuzuran. Berdosa ke atas sesiapa yang meninggalkannya secara sengaja. Ini adalah pendapat Abu Bakar Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Munzir.

2. Fardhu kifayah ke atas umat Islam lelaki kecuali yang uzur. Meninggalkannya dengan sengaja adalah tercela dan merendahkan martabat akhlak. Ini adalah pendapat Imam As-Syafi'e dan Imam Nawawi.

3. Sunat muakkad. Makruh meninggalkannya. Namun pendapat ini dinilai lemah oleh para mujtahidin.

Sidang jamaah yang dimuliakan Allah,

Solat berjamaah adalah antara sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم yang terbesar. Sunnah yang semakin ditinggalkan umatnya. Ingatlah! Orang yang menghidupkan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم adalah golongan yang sebenar mencintai Nabi صلى الله عليه وسلم. Adalah terlalu rugi jika kita menumpukan kepada mengambil berkat barang yang ditinggalkan Nabi صلى الله عليه وسلم yang tidak diketahui secara shahih ketulinannya. Dalam masa yang sama kita meninggalkan sunnah yang jelas shahih bahkan dituntut oleh Nabi صلى الله عليه وسلم untuk kita melakukannya. Buktikan cinta kita kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dengan melakukan solat fardhu berjamaah apatah lagi berjamaah solat fardhu Subuh. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: "Barangsiapa yang menghidupkan sunnah dari sunnahku, maka kemudian diamalkan oleh orang lain. dia akan mendapat pahala dari amalan orang lain itu tidak dikurangi walau sedikit". (Riwayat Ibnu Majah).

Sidang jamaah yang dihormati sekalian,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, dapat kita renung bahawa kelemahan umat Islam kini antaranya kerana perpecahan dan pertelingkahan pada perkara yang remeh dan tidak menguntungkan. Di saat kita berkelahi siapa yang paling baik amalannya, siapa yang paling lurus sebagai ahli sunnah waljamaah, tetapi masjid dan surau masih sunyi. Kehadiran jamaah tidak segegak bunyi pertelingkahan itu. Kehadiran jamaah solat Subuh masih pada takuk lama. Sukacita diulangi, kehadiran solat Subuh berjamaah yang ramai seperti solat Jumaat menunjukkan umat Islam yang bersatu padu serta akan mendatangkan kegerunan kepada musuh-musuh Islam. Kita wajib bersama berusaha mengembalikan kegemilangan Islam. Mulakan dengan Subuh berjamaah. Lakukan dengan istiqamah. Mari sama-sama kita renungi firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 43:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ ﴿٤٣﴾

Maksudnya: "Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan ruku'lah kamu semua (berjamaah) sama-sama orang yang ruku'."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ 

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B