bersama kepimpinan ulamak




Sedang Berlangsung Sekarang




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Ucapan Eidul Fitri 1438 Dari Dewan Ulamak PAS Negeri Perak




Saturday, September 10, 2016

KHUTBAH HARI RAYA EIDUL ADHA 1437 HIJRAH - 10 ZULHIJJAH 1437 / 12 SEPTEMBER 2016


PENGORBANAN HAKIKI

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا.
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلَا عُدْوَانَ عَلَى الظَّالِمِيْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.  

Wahai hamba-hamba Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, bertaqwalah kepada kamu Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Sidang hadirin hadirat yang dimuliakan,

Hari ini seluruh umat Islam menyambut 'Eidul Adha atau Hari Raya Korban bersama umat Islam dari seluruh dunia yang berpeluang mengerjakan ibadah haji di Makkah. Pengorbanan adalah fitrah dan keperluan dalam kehidupan orang yang beriman, kerana Allah berjanji bahawa setiap orang yang beriman pasti akan diuji. Apakah kita merasakan cukup dengan menjalani kehidupan sebagai manusia biasa, tanpa ada sebarang tanggungjawab menegakkan agama Allah, layakkah kita megharapkan keredhaan Allah? Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-'Ankabut Ayat 1 hingga 3:

الٓمٓ ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾ 

Bermaksud: "Alif Lam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata; Kami beriman. Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta".

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin muslimat sekalian,

Nabi Ibrahim عليه السلام telah diuji dengan pengorbanan dibakar di dalam api yang membara, terpaksa meninggalkan anak dan isteri tercinta di bumi yang gersang dan tandus dan akhirnya terpaksa berhadapan dengan kemuncak ujian apabila diperintahkan menyembelih anaknya sendiri.

Kisah pengorbanan para nabi dan rasul tidak terhenti sekadar nabi Ibrahim semata-mata, malah turut melibatkan nabi-nabi yang lain. Sejarah mencatatkan pengorbanan nabi Allah Nuh yang terpaksa menerima penghinaan, digelar orang gila kerana membina kapal di tengah padang pasir. Baginda juga berdakwah dalam tempoh yang terlalu lama sehingga menjangkau sembilan ratus lima puluh tahun sedangkan hasilnya hanya berjaya menarik tidak sampai seratus orang beriman kepada Allah.

Nabi Allah Musa bukan sahaja terpaksa berkorban meninggalkan istana mewah bapa angkatnya Fir'aun bahkan menjadi pelarian di tanahair sendiri demi menegakkan agama Allah. Penghulu segala nabi, Muhammad صلى الله عليه وسلم juga terpaksa meninggalkan tanah tumpah darahnya bagi menegakkan syariat Islam secara syumul. Dalam kesedihan, Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

وَاللهِ، أَنَّكِ خَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ الْأَرْضِ إِلَى اللَّهِ وَلَوْلَا أَنَّ أَهْلَكِ أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

Bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah bumi Allah yang terbaik dan bumi yang paling aku cintai dan sekiranya bukan kerana penduduknya mengeluarkan aku daripadamu (Makkah), aku tidak akan keluar darimu". (Hadith riwayat Ad-Darimi)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin muslimat yang berbahagia,

Para sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم juga telah berkorban dalam mempertahankan akidah Islam sehingga disiksa dan dibunuh. Mereka tetap bersabar menanggung segala penderitaan bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam menghadapi berbagai penderitaan kerana mereka yakin terhadap janji Allah. Gambaran pengorbanan umat-umat terdahulu telah dirakamkan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 214:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ ﴿٢١٤﴾

Bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan dugaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya dan musuh) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman (yang ada) bersamanya; Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)".

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Hadirin hadirat yang berbahagia sekalian,

Sebab turunnya ayat di atas adalah sebagaimana Khabab bin Al-Arat berkata; "Kami mengeluh wahai Rasulullah: Kenapa tidak engkau memohon pertolongan atau kemenangan untuk kami? Maka sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهَا فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرُ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Bermaksud: "Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki yang telah digalikan lubang untuknya dan ditanam, kemudian didatangkan dengannya sebilah gergaji sehingga diletakkan di atas kepalanya lalu digergaji sehingga terpotong dua, dia disikat dengan sikat besi sehingga tercerai daging dari tulangnya, yang demikian itu tidak memalingkannya daripada agamanya, demi Allah pasti Allah akan menyempurnakan urusan ini sehingga orang yang berjalan dari Shana'a (di Yaman) menuju Hadramaut, tiada yang ditakutinya kecuali Allah dan terkaman serigala terhadap gembalaannya. Tetapi kamu tidak sabar dan terlalu terburu-buru". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Saudara saudari yang dimuliakan,

Kita hari ini tidak diuji dengan ujian yang berat seperti para Nabi yang terdahulu, ujian kita lebih terarah kepada kesenangan dunia dan harta benda. Akibat terlalu selesa, ramai yang mengabaikan kepentingan menegakkan syariat Islam secara syumul. Maka tidak hairan masih ramai yang teragak-agak untuk menyokong usaha ke arah mempertingkatkan kuasa Mahkamah Syariah dengan meminda Akta 355 bagi memperkasakan perlaksanaan undang-undang syariat. Kita pada hari ini lebih banyak mengorbankan Islam demi kepentingan orang lain walaupun dengan kemurkaan Allah سبحانه وتعالى.

Selain itu, kita pada hari ini juga lebih banyak mengorbankan Islam berbanding berkorban untuk Islam. Hanya semata-mata mempertahankan cinta dunia, ada di antara kita yang sanggup menggadaikan agama. Kerana kesempitan hidup dan mengejar kemewahan. Kerana menjaga pangkat, jawatan dan kedudukan sebahagian kita terpaksa menentang usaha-usaha memperkasakan syariat Allah yang pasti akan membawa keadilan. Kerana menjaga hati orang bukan Islam kita lebih rela membiarkan mereka mengeluarkan ucapan-ucapan biadab dan menghina syariat Islam. Di mana maruah kita apabila ada di kalangan orang bukan Islam yang turut masuk campur dalam urusan umat Islam untuk memperkasakan syariat di negara ini.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Hadirin hadirat sekalian,

Kita mempunyai berbagai tanggungjawab dalam menyambung risalah junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Tidak cukup sekadar meraikan sambutan 'Eidul Adha dan menyembelih binatang korban jika tidak disusuli dengan usaha-usaha memartabatkan syariat Allah mengikut kemampuan masing-masing. Semoga segala usaha yang kita lakukan walaupun hasilnya tidak seberapa, akan dianggap sebagai pengorbanan yang akan melayakkan kita memasuki syurga Allah سبحانه وتعالى yang bukan kecil nilainya walaupun hakikatnya bergantung sepenuhnya kepada rahmat Allah سبحانه وتعالى.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang jamaah yang dihormati sekalian,

Kita tidak akan berada di negara ini dengan aman dan bebas tanpa pengorbanan nenek moyang kita yang bangkit menentang penjajah. Tanpa usaha gigih dan pengorbanan mereka yang membangkitkan kesedaran umat untuk berhimpun dan menzahirkan kebencian terhadap penjajah nescaya hingga ke hari ini kita masih bertuankan penjajah. Seluruh rakyat telah mengorbankan keselesaan mereka, mengorbankan keuntungan perniagaan mereka, bahkan ada yang sampai ke peringkat mengorbankan nyawa mereka bagi menentang penjajah. Maka apakah yang sanggup kita korbankan hari ini untuk mempertahankan kedaulatan negara dan agama kita? Kita semua wajib melakukan pengorbanan sebagaimana umat terdahulu melakukannya. Demi menjunjung agama Allah berkorbanlah harta benda, jiwa dan raga. Walaupun pengorbanan kita pasti tidak setanding dengan pengorbanan mereka yang terdahulu.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Saudara saudari yang berbahagia,

Marilah kita mengorbankan segala kepentingan dunia untuk mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Alangkah baiknya jika kita bekerjasama untuk berjihad dan berkorban bagi melaksanakan syariat Allah berbanding berusaha mencari alasan untuk tidak melaksanakannya. Kita mampu memberikan alasan orang bukan Islam masih belum boleh menerimanya, suasana tidak mengizinkan atau berbagai lagi alasan kepada seluruh manusia, namun mampukah kita memberi alasan yang sama di hadapan Allah nanti? Tidakkah menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong dan menegakkan perlaksanaan sepenuhnya syariat Islam? Sudahkah kita menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam mengenai perlaksanaan syariat Islam? Sudahkah kita menggunakan sepenuhnya kekuatan untuk menggembeling kesatuan umat Islam untuk sama-sama melaksanakan syariat Islam? Sudahkah kita menggunakan sepenuhnya media massa dan media sosial untuk mempengaruhi masyarakat untuk menerima syariat Islam? Tidakkah kita hanya melebihkan rancangan hiburan yang tidak membangunkan minda masyarakat berbanding rancangan yang menguntungkan dan memahamkan masyarakat terhadap Islam yang menjadi agama bagi persekutuan mengikut perlembagaan? Apakah kita memilih untuk mengorbankan kehidupan yang bahagia dan kekal di akhirat nanti semata-mata untuk mengejar kebahagiaan dan kesenangan hidup yang sementara di dunia ini?

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sidang hadirin hadirat yang dikasihi sekalian,

Marilah kita hayati firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Taha Ayat 124 hingga 127:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ ﴿١٢٤﴾ قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا ﴿١٢٥﴾ قَالَ كَذَ‌ٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَ‌ٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ ﴿١٢٦﴾ وَكَذَ‌ٰلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِن بِآيَاتِ رَبِّهِ ۚ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰ ﴿١٢٧﴾

Berkmaksud: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata; Wahai Tuhanku! Mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman; Demikianlah keadaannya telah datang Ayat-Ayat keterangan Kami kepada engkau, lalu engkau melupakan melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada Ayat-Ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dab lebih kekal".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,

Pada hari ini, marilah kita bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالى yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam. Marilah kita mengorbankan masa lapang kita untuk menghisab diri kita, keluarga, masyarakat dan negara samada memenuhi tuntutan Islam atau tidak?

Marilah kita mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang telah menyampaikan Islam kepada kita kerana perintah Allah di dalam Surah Al-Ahzab Ayat 56 yang berbunyi:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad صلى الله عليه وسلم), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

 اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالْظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلٓاءِ الَّذِيْنَ يُقَاتِلُوْنَنَا وَيَصُدُّنَنَـا عَنْ سَبِيْلِ اللهِ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ إِخْوَنَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي الْعِرَاقِ وَفِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ.
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ. اللّهُمَّ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله وَكَذَلِكَ راج فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ. 
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. 
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. 
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.


اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B