Thursday, December 4, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 05 DISEMBER 2014M / 12 SAFAR 1436H



“ MENGHARGAI MASA SEMPENA MUSIM CUTI PERSEKOLAHAN ”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الْقاَئِلِ:
ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الْأَمَلُ ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ ﴿٣﴾ وَمَا أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلَّا وَلَهَا كِتَابٌ مَّعْلُومٌ ﴿٤﴾ سورة الحجر

Maksudnya : “Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka). (Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum.”

أشْهَدُ أَنْ لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ،
اَللَّهم صَلِّ وسَلِّمْ عَلىَ سيِّدناَ مُحَمَّدٍ وَ عَلىَ آلِهِ وأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيآ عِبَادَ اللهِ! إتَّقُواْ اللَّهَ ، أُوْصِيْكُمْ وَإِياَّيَ بِتَقْوَى الله فَقَد فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan hari dan waktu yang penuh dengan keberkatan ini, saya mengajak diri saya dan seluruh hadirin agar dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, serta dapat menunaikan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya dengan penuh keikhlasan dan keredaan. Semoga perlakuan baik kita serta kesungguhan kita melaksanakan Syariat Allah SWT akan menyelamatkan kita di hadapanNya di hari kiamat nanti.

Sidang Jumaat Sekalian,

Musim cuti persekolahan sudah pun bermula bagi kebanyakan para pelajar dan pedidik. Waktu “kerehatan” yang panjang setelah menempuh hari-hari persekolahan yang lama sebelum memasuki tahun baru persekolahan. Ini bermakna sudah sampai masanya untuk melihat kreativiti para ibu bapa, pendidik dan pelajar sendiri untuk memenuhi waktu-waktu tersebut. Apakah akan diisi dan diuruskan dengan aktiviti yang mendatangkan faedah duniawi dan uhkrawi ataupun sekadar pengisian yang kosong dan tidak bermakna.

Sebagai ibu bapa, kita perlulah memainkan peranan yang besar untuk menyusun jadual dan aturcara yang benar-benar mendatangkan faedah kepada anak-anak. Ini kerana kebanyakan dari ibu bapa masih berfikiran bahawa musim cuti persekolah sebegini adalah waktu kerehatan dan “cuti” untuk anak-anak. Justeru, adalah wajar anak-anak itu dibiarkan menentukan aktiviti mereka sendiri agar matlamat “cuti” itu tercapai. Cuti dari aktiviti pembelajaran, cuti dari aktiviti pendidikan, cuti dari segala yang berkaitan dengan persekolahan dan lebih menyedihkan lagi apabila ada diantara ibubapa membiarkan anak-anak “ cuti” dari peribadatan kepada Allah SWT.

Tuan-tuan yang dihormati,

Oleh itu, mimbar kali ini mengambil kesempatan mengingatkan para ibu bapa tentang peranan besar yang perlu dilaksanakan bersempena waktu cuti persekolah ini, agar ia benar-benar menepati kehendak cuti yang berkualiti terhadap anak-anak. Antaranya :

1. Berusaha menerapkan nilai dan syaksiah Islamiah kepada anak-anak. Ini boleh dilaksanakan dengan menghantar anak-anak ke pusat pendidikan tahfiz Al-Quran, Kem-kem Ibadat, Kem-Kem Motivasi dan seumpamanya. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti akhlak dan kesedaran beragama mereka disamping untuk mengelak anak-anak dari berkunjung ke tempat-tempat maksiat, tempat-tempat yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Mari kita menekuni firman Allah SWT dalam Surah Al Furqan ayat 72 :

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴿٧٢﴾

Maksudnya : “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah MEREKA) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.

2. Membawa anak-anak mengunjungi sanak saudara terhampir bertujuan mempertautkan hubungan silaturrahim antara mereka. Dikesempatan cuti yang panjang ini, adalah wajar ibu bapa mengaturkan masa yang bersesuaian agar anak-anak dapat mengenali dengan lebih rapat mereka-mereka yang mempunyai tautan kekeluargaan dengan anak-anak. Disamping itu, ibubapa perlu menekankan bahawa memelihara dan menghubungkan silaturrahim merupakan anjuran Islam yang perlu dipelihara dan dipupuk.

3. Merapatkan anak-anak dengan masjid, surau, pengajian ilmu dan solat berjamaah. Inilah kesempatan berharga untuk ibubapa membina kembali jurang yang memisahkan anak-anak dengan rumah Allah SWT dan solat berjamaah. Barangkali di waktu persekolahan, alasan tergesa-gesa ke sekolah dan letih kerana pulang dari sekolah menyebabkan anak-anak tidak diajak ke masjid dan bersolat jamaah. Justeru, di waktu terluang ini adalah munasabah para bapa memimpin tangan anak-anak untuk hadir ke masjid terutamanya di waktu subuh agar jiwa anak-anak menjadi kuat dan kental.

4. Membawa anak-anak menziarahi tempat-tempat yang mendatangkan nilai dan kesedaran yang baik kepada mereka. Hindarkan anak-anak dibawa ke tempat hiburan dan maksiat yang boleh membuahkan hasil yang negatif kepada mereka. Ziarah dan rehlah rohniah ini secara tidak lansung dapat memupuk semangat kasih sayang sesama keluarga. Waktu berkualiti bersama keluarga sebegini sewajarnya dapat dimanfaatkan semaksima mungkin dengan pengisian yang berharga dari ibu bapa.

5. Mengajak anak-anak untuk merai, menziarahi dan menghadiri walimatulurus, kenduri kendara, kematian, orang sakit atau keraian yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu sempena cuti persekolahan ini. Anak-anak perlu disedarkan akan kepentingan dan hak-hak yang wajib dilakukan oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain. Ini kerana anak-anak sekarang amat berkecenderungan untuk bersendirian di rumah melayani televisyen, komputer, internet, telefon bimbit dan seumpamanya dari menyantuni tetangga dan masyarakat. Ingatlah sidang hadirin sekelian akan sabdaan Nabi SAW :

حقُّ المسلِمِ على المسلِمِ سِتٌّ إذا لقيتَه فسلِّمْ عليهِ ، و إذا دَعاك فأَجِبْهُ ، و إذا استنصحَكَ فانصَح لهُ و إذا عطَس فحمِدَ اللهَ فشمِّتْه ، و إذا مَرِضَ فعُدْهُ ، و إذا ماتَ فاصحَبْهُ

“Hak seorang muslim atas muslim yang lain ada enam: Jika engkau bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya, apabila ia mengundangmu penuhilah undangan itu, apabila ia minta nasihat kepadamu maka nasihatilah dia, dan apabila di bersin dan mengucapkan "Al Hamdu lillah", maka ucapkanlah "Yarhamukallah", apabila ia sakit maka jenguklah dan apabila ia mati maka ikutilah (hantarkanlah jenazahnya sampai ke kuburnya". (HR. Muslim).

6. Mengawal dan mengawasi anak-anak dari bergaul dengan rakan yang tidak baik ketika di luar rumah dan memantau aktiviti anak-anak ketika berada di dalam rumah. Adakalanya anak-anak ini melayari bahan-bahan terlarang menerusi internet yang jika tidak dipantau akan merosakkan akhlak dan moral mereka.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Islam memandang bahawa waktu mempunyai nilai yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ramai di kalangan manusia akan menempuh sesalan di hadapan Allah SWT akibat dari kegagalan mengatur waktu yang berkualiti untuk diisi dengan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Asr :

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kita juga selalu diperingatkan dengan pesanan dari Nabi SAW yang menjadi sebagai azimat yang sentiasa disemat di sanubari kita bahawa kelalaian terhadap dua aset ini bakal membawa kita kelembah kehancuran dan sesalan di hadapan Allah SWT sepertimana sabdanya :

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya : “Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan daripada manusia; kesihatan dan kelapangan.” (Riwayat al-Bukhari)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآياتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِ  هذَََا وَاسْتغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَِ لي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحمد للهِ اْلَقآئل فِي كِتَابِهِ اْلعَزِيْزِ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٤﴾ سورة التغابن

أشْهَدُ أَنْ لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ اَلْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالمَِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هَذَا النَّبِيِّ الْكَرِيْمِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإحْسَانٍ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْن . أَمَّا بَعْدُ . فَيآ عِبَادَ اللهِ! إتَّقُواْ اللَّهَ ، أُوْصِيْكُمْ وَإِياَّيَ بِتَقْوَى الله فَقَد فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

إخْوَانِي الْمُسْلِمِيْنَ رَحِمَكُمُ الله ، 

Dalam menempuh hari-hari yang bernilai anugerah Allah SWT yang Maha Agung ini kepada kita para hambanya, sewajarnya kita menghargai dengan menzahirkan kesyukuran dan mempertingkatkan amalan yang boleh mendatangkan rasa takut kepada Allah SWT. Kita mempunyai anak-anak dan saudara mara yang menjadi aset bernilai kepada kita. Apakah mungkin barangan berharga ini kita biarkan tanpa dimanfaatkan semaksima mungkin? Apakah anak-anak yang bakal memohon keampunan dari Allah SWT untuk kita di suatu hari nanti, kita lekakan mereka dengan keseronokan dunia di saat mereka berada di bawah tanggungan kita di dunia ini. Ingatlah amaran Allah SWT sepertimana firmanNya dalam surah Al-Kahfi :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ﴿٤٦﴾

Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Oleh kerana cuti persekolah ini masih berbaki lagi, ayuhlah kita semua yang mempunyai anak-anak yang masih tidak mengisi masanya dengan aktiviti berfaedah, carilah dan dekatilah saranan-saranan sepertimana yang dinyatakan dalam khutbah pertama tadi agar kehidupan anak-anak lebih berkualiti dan bermanfaat terutamanya di waktu-waktu keemasan sebegini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان  نزرين مُعِزُّ الدِّيْنِ شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن اَلْمَغْفُوْرُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment