Thursday, November 20, 2014

Khutbah Jumaat - 21 November 2014M / 28 Muharram 1436H



“KEDAULATAN ISLAM TANGGUNGJAWAB SEMUA”

Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ للهِ الْقاَئِلِ:
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ (آل عمران:٨٣)

Apakah mereka mencari selain dari agama Allah sedangkan telah tunduk berserah diri segala yang ada di langit dan di bumi samada secara rela dan secara paksa. Dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam menghadapi berbagai-bagai cabaran samaada daripada musuh-musuh Islam mahupun umat Islam sendiri yang Islamnya hanya atas nama semata-mata. Walaupun negara kita pernah diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam, agama negara adalah Agama Islam namun sikap umat Islam sendiri yang tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan Islam menjadikan Islam sebagai agama yang semakin terancam. Ini ditambah lagi dengan serangan berterusan daripada musuh-musuh Islam yang kini lebih banyak didokongi oleh golongan yang hanya mengaku Islam tetapi iktikad, pendirian dan hala tuju perjuangan mereka semata-mata untuk menghalang Islam daripada terus menyekat mereka dari memperhambakan diri kepada hawa nafsu mereka. Mereka hanya menggunakan Islam untuk mendapatkan layanan baik terhadap mereka dan menggunakan Islam bahkan agar orang lain beradab dengan mereka tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pernah beradab dengan Allah SWT dan RasulNya, apatahlagi berakhlak dengan akhlak Islam jauh sekali mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Mereka mentafsirkan Islam sesuka hati mereka dan menyalah tafsirkan Islam bagi melunakkan pandangan masyarakat terhadap mereka. Dalam masa yang sama, mereka menolak segala ajaran Islam yang menyekat nafsu syahwat mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara ancaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini ialah usaha menghalang Islam dikuatkuasakan walaupun ke atas Umat Islam sendiri. Mereka memperkudakan sistem kehakiman negara untuk tunduk kepada kehendak nafsu mereka. Ini dilaksanakan dengan menyeret urusan agama dan ketetapan tuhan untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil yang tidak berasaskan agama. Bermula dengan usaha mencabar Institusi Fatwa yang telah mengeluarkan fatwa sehinggalah kepada tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai bercanggah dengan perlembagaan. Kedua-dua tindakan ini walaupun kelihatannya seperti mempertahankan hak asasi manusia tetapi hakikatnya adalah pencabulan kepada hak Allah SWT sebagai kuasa tertinggi dalam menetapkan hukum terhadap hamba-hambaNya. Undang-undang dunia disalahgunakan semata-mata untuk mencabar kuasa Allah ke atas umat Islam sendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di samping kita berusaha memartabatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang menjamin hak asasi setiap warganegara, kita juga wajib melihat Perlembagaan Persekutuan dari sudut roh keagamaan dan semangatnya dalam menjamin kedaulatan Islam di negara ini. Hak asasi hanya satu sudut kecil daripada perkara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi tidaklah sampai menafikan kedaulatan Islam dan hak umat Islam untuk mengamalkan Islam. Perlembagaan telah menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan urusan keagamaan diletakkan di bawah bidangkuasa negeri yang dinaungi oleh Raja-Raja Melayu. Sebarang bentuk pencabulan terhadap urusan pentadbiran Hal Ehwal Agama adalah merupakan satu penderhakaan terhadap raja dan sultan yang memerintah negeri-negeri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa pada hal-hal yang dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa tertinggi dalam menetapkan sesuatu kes berkenaan Hal Ehwal Islam sebagaimana yang telah diputuskan dalam dua penghakiman Mahkamah Persekutuan yang terdahulu iaitu kes Sulaiman Takrib dan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur. Keputusan tersebut juga adalah tidak sejajar dengan beberapa peruntukkan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan. Mahkamah Rayuan sepatutnya perlu mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan. Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan struktur asas ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah. Namun malangnya peruntukan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan ini sentiasa dicabar oleh musuh-musuh Islam dari semasa ke semasa. Maka kedaulatan Islam hanya dapat dipertahankan jika semua yang terlibat mempunyai jati diri Islam yang kuat dan sentiasa berusaha untuk menghayati Islam sepenuhnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (التوبة:١١١) 

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

اَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dihormati

Islam memerlukan dan menuntut semua penganutnya berjuang dan berjihad demi memastikan kedaulatannya di muka bumi. Umat-umat terdahulu telah mengorbankan segala yang mereka miliki demi memartabatkan Islam sehingga kita semua mendapat rahmat dan hidayah dari tuhan. Amat jauh bezanya Umat Islam yang ada hari ini yang bukan sahaja tidak pernah bersungguh-sungguh menyumbang untuk memartabatkan Islam malah memandang ringan segala ancaman terhadap kedaulatan Islam. Dengan corak kehidupan kita yang sambil lewa dalam melaksanakan ajaran Islam, kita tanpa segan silu mendakwa bahawa Islam kita begitu sempurna dan mengharapkan syurga.

Hamba-Hamba Allah sekelian,

Walau setinggi mana kelulusan kita, walau sehebat mana jawatan kita, walau siapapun kita, tidak ada nilainya di sisi Allah SWT jika kita gagal menjalankan peranan kita sebagai Hamba Allah. Setiap hukum yang kita putuskan bercanggah dengan keputusan Allah, setiap tafsiran mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menafikan Hak Allah, setiap sokongan dan bantuan kita kepada golongan yang memusuhi agama Allah, setiap apa sahaja yang kita usahakan yang membawa masalah kepada agama Allah, akan dinilai dan menjadi tiket untuk kita ke neraka Allah SWT. Di Akhirat kelak kita akan menyesal dan mengharapkan agar kita dilahirkan semula sebagai tanah kerana sebagai tanah tidak memungkinkan kita memegang jawatan dan peranan yang membawa kita ke neraka.

Bagi mengakhiri khutbah pada minggu ini mimbar ingin memaklumkan kepada sidang jemaah sekelian bahawa Kerajaan Negeri Perak menjemput kepada semua muslimin dan muslimat untuk menghadiri majlis tersebut pada 27 November 2014M (hari khamis) untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dengan diadakan bacaan yasin dan doa selamat di Masjid Ridwaniah (Masjid Daerah Kuala Kangsar) selepas Maghrib. Selepas solat isya’ pula akan diadakan forum perdana hal ehwal Islam bersempena dengan hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang akan disiarkan secara langsung di tv1 . Forum tersebut akan diadakan di dewan Jubli Perak Bersebelahan Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar yang bertajuk : “ISLAM, MELAYU DAN RAJA”. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat mencemar duli ke kedua-dua majlis tersebut. Oleh itu, mimbar sekali lagi mengalu-alukan kedatangan muslimin-muslimat ke majlis tersebut.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان  نزرين مُعِزُّ الدِّيْنِ شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن اَلْمَغْفُوْرُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment