Friday, December 19, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 19 DISEMBER 2014M/26 SAFAR 1436H



JAUHI AJARAN LIBERAL

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 

أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jamaah Sekelian,

Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dewasa ini, umat Islam menghadapi tribulasi yang semakin genting. Tidak cukup dengan serangan kebudayaan, umat Islam berterusan diserang. Terbaru, aliran liberal semakin aktif menunjukkan kesungguhan mereka menyebarkan fahaman songsang. Aliran ini bergerak atas nama-nama yang mengelirukan dengan memasukkan Islam sebagai sebahagian nama kumpulan mereka. Ramai kalangan umat Islam tidak menyedari pergerakan kumpulan ini sekaligus mengambil ringan aktiviti yang mereka jalankan.

Umat Islam di Malaysia khususnya di Negeri ini amat perlu mengambil berat dan berhati-hati dengan gerakan kumpulan ini. Allah swt memberi peringatan kepada kita tentang sifat-sifat orang munafik yang cuba merosakkan Islam dari dalam melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 8 dan 9:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ ﴿٨﴾ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ﴿٩﴾

“Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian", pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.”

Sidang Jumaat Yang dihormati,

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

1. Aspek Akidah

i). Berpegang kepada Konsep Pluralisme
Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

ii). Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan ia yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

iii). Meragui Ketulinan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah mesej budaya Arab.

2. Aspek Syariah

i). Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith
Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

ii). Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

iii). Mempertikaikan Kriteria dan Akhlak KeNabian
Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

iv). Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

v). Sikap Terhadap Hukum
Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

Pilihlah jalan yang lurus, yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 153:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ ﴿١٥٣﴾

"Dan bahawasanya (Yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain). Kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".

Demi menjaga keharmonian dan keutuhan pegangan Islam di Malaysia, berpeganglah kepada Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang terbukti lurus dan sederhana. Tinggalkan perkara-perkara yang mengelirukan walaupun ia nampak seperti lojik menurut akal. Islam tertegak dan terpelihara dengan keyakinan kita terhadap sumber utama pegangan kita iaitu al Quran dan as Sunnah. Sabda Nabi SAW:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ  اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ

“Yang bermaksud "Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya". (H/R Muslim (2137) dan Abu Daud (1628).”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لله حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا اَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لا اِلَهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ اِرْغَامًا لِمَنْ جَحَدَ وَ كَفَرَ.
اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ حَبِيْبُهُ وَ خَلِيْلُهُ سَيِّدُ الإِنْسِ وَ الْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى اَلِهِ وَ اَصْحَابِهِ وَ سَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang hadirin sekalian,

Sekali lagi saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, bertaqwalah kepada Allah swt dengan sebenar benar taqwa. Semoga Allah memasukkan kita di dalam golongan ini. Mimbar ingin sekali lagi membuat pesanan kepada sidang jemaah sekelian, jauhilah faham Liberal. Kerana Liberal bertujuan menyesatkan manusia. Islam adalah agama yang mencakupi persoalan yang mudah maupun yang susah, sesuai dipelajari apatah lagi diambil iktibar oleh kanak-kanak maupun orang tua.

اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ. اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَاتِ. اَللّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِينَةَ وَالسَّلاَمَةَ وَالْعَافِيَةَ وأَنْ تَشْمَلَ بِعِنَايَتِكَ وَتَوْفِيقِكَ سلطان  نزرين مُعِزُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شَاه اَلْمَغْفُوْرُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
 اَللهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ عَلَى السَّلاَطِيْنِ الْكِرَامِ وَجَمِيْعِ وُلاَةِ الْمُسْلِمِيْنَ الْعِظَامِ الَّذِيْنَ قَضَوْا بِالْحَقِّ وَبِهِ كَانُوْا يَعْدِلُوْنَ. اللهُمَّ يَا دَافِعَ الْبَلاءِ وَيَا كَاشِفَ الوَبَاءِ ، إِصْرِفْ عَنَّا البَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالأَمْرَاضَ وَالأَسْقَامَ وَالفِتَنَ وَالِمحَنَ ، وَأَزِلَّ عَنَّا وَعَنْهُمُ الشُّكُوْكَ وَالأَوْهَامَ بِمَنِّكَ وَكَرَمِكَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وصلَّى الله على سيدنا محمَّدٍ وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ . وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .



Tekas asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment