Thursday, December 11, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 12 DISEMBER 2014M/19 SAFAR 1436H



JANGAN BIARKAN LIDAH 'MEMANDU' KITA KE NERAKA

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ﴿١٨﴾ سورة ق

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).


أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia dari dahulu, kini dan selamanya sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Berbagai kaedah komunikasi digunakan oleh manusia termasuk menggunakan alat komunikasi yang semakin canggih dari semasa ke semasa. Segala alat komunikasi yang digunakan, jika digunakan dengan cara dan matlamat yang baik akan dapat mengeratkan hubungan antara sesama manusia dan boleh juga merosakkan hubungan antara sesama manusia jika digunakan bagi tujuan keburukan.

Asalnya hubungan komunikasi ini dilakukan secara bersemuka, akhirnya berbagai alat dicipta bagi membolehkan manusia berkomunikasi tanpa bersemuka dan tanpa bersuara. Daripada hubungan bersemuka yang berasaskan riak muka dan budi bahasa, kini melalui internet dan alam maya, manusia hanya berhubung melalui tulisan tanpa suara dan paras rupa. Daripada hubungan yang saling mengenali hati budi kepada hubungan yang hanya mengetahui nama dan gelaran semata-mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Walau apapun cara dan kaedah hubungan sesama manusia, ianya tetap diikat dengan Sistem Muamalah yang telah digariskan oleh Allah SWT. Malah Syariat Allah bukan sahaja menjaga hubungan sesama manusia, malah turut memastikan manusia berbuat baik terhadap makhluk-makhluk lain. Oleh kerana manusia dikurniakan akal dan fikiran maka segala makhluk diciptakan untuk berbakti dan digunakan oleh manusia. Namun demikian manusia tidak boleh menggunakan segala nikmat Allah sesuka hati mereka, malah tertakluk kepada ketentuan Allah SWT.

Muslimin yang berbahagia,

Manusia hari ini lebih banyak berbicara menggunakan tangan dan pena berbanding lidah dan lisan mereka. Allahlah sebenarnya yang mengajar manusia untuk mempelbagaikan kaedah berbicara. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4:

الرَّحْمَـٰنُ ﴿١﴾ عَلَّمَ الْقُرْآنَ ﴿٢﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ ﴿٣﴾
عَلَّمَهُ الْبَيَانَ ﴿٤﴾

Maksudnya “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang telah mengajarkan al-Quran, Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru itu, nikmat berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut kehendak Allah SWT. Islam sentiasa mengingatkan manusia agar menjaga lidah atau apa sahaja alat atau kaedah yang menggantikannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian,

Saat dunia sedang mengalami ledakan teknologi maklumat yang suatu ketika dahulu sukar dicari, sekarang boleh diperolehi dimana-mana. Semua pihak mula berbicara dan memberi pandangan walaupun di luar bidang ilmu dan kepakaran masing-masing. Sehingga mereka yang bijak memanipulasikan maklumat di alam siber digelar “Silent Warrior”. Namun ingat semua yang ditulis diperkatakan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di Akhirat nanti.

Jika sekiranya tulisan dan bicara bercanggah dengan kehendak Allah atau menyakitkan hati pihak lain tanpa keperluan, maka kita tidak akan terlepas daripada ancaman Allah SWT. Semakin jauhlah kita daripada ciri-ciri bagi orang yang sempurna iman terhadap Allah. Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1-3 Allah SWT mengingatkan kepada hambanya:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ 

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَكُونُ اللَّعَّانُونَ شُفَعَاءَ وَلاَشُهَدَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Sesungguhnya orang yang suka melaknat tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan.

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Kalau diperhatikan, perbualan hari ini banyak yang menyentuh perihal orang lain. Banyak kali ia mengakibatkan perasaan yang terluka jika diketahui si empunya diri mengenai tohmahan yang dilemparkan, sering kali pula mangsa tohmahan memutuskan silaturahim kerana tidak ingin memaafkan orang yang mengata. Hal ini amatlah memalukan umat Islam yang utuh dengan sikap saling menghormati sesama saudara seagama dan takutkan kekufuran, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَعَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ : أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : لاَ يَرْمِى رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفِسْقِ أَوِ الْكُفْرِ إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ.

Dari Abu Zar r.a. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Riwayat al-Bukhari).

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai-sungai yang luhur dan tanah-tanah yang subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana dunia semata-mata.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :

لَّا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا ﴿١٤٨﴾ سورة النساء

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat beberapa fakta penting yang boleh sama-sama kita hayati pada khutbah yang pertama iaitu:

1- KEMAJUAN teknologi dan kecanggihan medium komunikasi hari ini adalah baik sekiranya ia digunakan dengan baik dan begitulah sebaliknya.

2- Nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak.

3- Kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan atau keterlanjuran berkata-kata mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sia-sia

4- Bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ. 

Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com



No comments:

Post a Comment