Friday, January 13, 2023

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 20 JAMADIL AKHIR 1444 / 13 JANUARI 2023

ISLAM DIHALANG BERDAULAT

ٱلْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan dan amaran daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berfirman:

... وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ٢١٧ ]سورة البقرة : ٢١٧[


(Maksudnya): Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka saggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni meraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini merupakan satu peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya kita menjaga agama Islam dalam diri masing-masing sehingga kita meninggal dunia, kerana Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita dalam kehidupan dunia sehingga hari akhirat. Islam adalah paling berharga dalam kehidupan kita dan nikmat paling besar kurnia Allah Subhanahu wa Ta'ala, lebih mahal daripada harta benda segala yang ada di dalam dunia ini.

Apabila seorang sahabat, Sufian bin 'Abdullah radiAllahu 'anhu bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:

يَا رَسُولَ اللَّه قُلْ لِى فِي الْإِسْلَامِ لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ، قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ. ]رواه مسلم[


(Maksudnya): Wahai Rasulullah, nasihatilah saya dengan suatu nasihat yang cukup lengkap yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain. Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah.

Beristiqamah iaitu berada di jalan Islam dan berpegang teguh dengan ajaran Islam mengikut ajaran Islam sampai bila-bila masa.

Oleh sebab Islam adalah berharga di dalam kehidupan kita, maka menjadi kerja musuh-musuh yang ramai seperti Iblis dan bala tenteranya yang menentang Islam sejak kejadian Nabi Adam 'alaihis salam akan berterus menerus menentang Islam, mengheret orang-orang Islam sampai menjadi sesat, keluar daripada Islam. Mereka menggunakan bala tentera daripada kalangan makhluk yang ghaib, mewas-waskan hati kita dan makhluk yang nyata daripada kalangan manusia untuk mengheret kita supaya keluar daripada Islam. Mereka menggunakan segala cara, sama ada cara hujjah, cara memujuk sehinggalah menggunakan bala tentera dan senjata untuk menyerang umat Islam.

Sejak zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam semua kumpulan bukan Islam itu bersatu menentang Islam, walaupun mereka berbagai-bagai agama, berbagai-bagai fahaman dan akidah; ada Ahli Kitab yang sudah ada kitab tetapi tidak mahu ikut Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dan menentang Islam. Ada yang bukan Ahli Kitab, penyembah berhala, syaitan dan sebagainya, menentang Islam sejak zaman Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Ada yang tidak beragama, menentang Islam sejak zaman Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Semua kumpulan ini bersatu sama-sama mereka walaupun mereka berkelahi sesama mereka, tetapi bersatu untuk menentang Islam.

Namun Allah Subhanahu wa Ta'ala tetap memelihara agamaNya, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sekali-kali. Cahaya Islam adalah kepunyaan Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana mereka tidak boleh menghapuskan kejadian Allah Subhanahu wa Ta'ala yang ada di langit dan di bumi. Mereka tidak ada kuasa untuk menghapuskan cahaya agama Islam ini sampai bila-bila.

Walaupun orang Islam dihentam habis-habisan di zaman mutaakhir, bila orang Islam sudah lemah sehingga meninggalkan ajaran Islam, mereka telah berjaya menjajah tanahair umat Islam, menjajah bangsa-bangsa yang menganut Islam. Mereka berpakat sesama mereka melalui berbagai-bagai perjanjian, seperti Perjanjian Sykes-Picot, Perjanjian Bangkok, Perjanjian London dan perjanjian-perjanjian yang lain. Sekiranya mereka dapat menjatuhkan kuasa besar Islam, mereka akan membahagi-bahagikan negara-negara Islam dan bangsa-bangsa umat Islam sesama mereka.

Sekarang ini sudah genap seratus tahun jatuhnya Khilafah 'Uthmaniah pada tahun 1924, hilangnya kuasa besar Islam yang menyedihkan. Tanahair umat Islam tidak ada pelindung dengan kejatuhan Kerajaan 'Uthmaniah. Malangnya negara-negara Arab menjadikan kejatuhan 'Uthmaniah sebagai hari-hari kebangsaan mereka. Lain daripada negara Arab, hari kemerdekaannya berjaya menghalau British, Belanda, Perancis dan lain-lain kuasa asing, tetapi negara Arab menyambut kemerdekaan dengan kejatuhan Khilafah 'Uthmaniah. Ia sangat mendukacitakan kita. Orang Arab lebih teruk daripada bangsa-bangsa yang lain. Benarlah firman Allah Ta'ala:

الْأَعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًا وَنِفَاقًا وَأَجْدَرُ أَلَّا يَعْلَمُوا حُدُودَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ  ٩٧ ]سورة التوبة : ٩٧ [


(Maksudnya): Orang-orang A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Sampai hari ini negara Arab menyambut hari kebangsaan pada tarikh kejatuhan Kerajaan 'Uthmaniah tahun 1924.

Seratus tahun adalah umur Allah Subhanahu wa Ta'ala akan melakukan perubahan. Kita percaya akan berlaku semula kebangkitan umat Islam, tetapi kebangkitan umat Islam itu tidak akan berlaku secara percuma. Ia akan terus menerus ditentang oleh musuh Islam. Mereka tidak akan mengizinkan sekali-kali orang Islam berkuasa dan memerintah semula di mana-mana muka bumi ini, mereka akan hentam habis-habisan.

Kita melihat semangat kebangkitan Islam di seluruh dunia di mana sahaja akan dipadamkan oleh mereka. Mereka akan jatuhkan dan mereka halang Islam itu berdaulat. Mereka merancang dengan cara yang halus setelah mereka gagal memurtadkan orang Islam. Hanya segelintir dengan jumlah yang sedikit orang Islam meninggalkan agama Islam. Banyak orang Islam tetap sayang akan agama mereka. Mereka masih ada kemanisan iman. Mereka gagal memurtadkan orang Islam untuk meninggalkan agama kerana amaran Allah Subhanahu wa Ta'ala:

...وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ٢١٧ ]سورة البقرة : ٢١٧[


(Maksudnya): ...Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni meraka, mereka kekal di dalamnya.

Dengan orang Islam terus memelihara agama mereka, tetapi dalam keadaan yang lemah apabila Islam dikurung di masjid-masjid dan di surau-surau sahaja, dalam urusan ibadat sahaja. Islam yang diperintah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah semua urusan dunia tidak diizin sekali-kali di mana-mana. Ini zaman yang kita hadapi sekarang. Berbagai-bagai perancangan dilakukan, mereka menyekat sebarang kemenangan Islam supaya syariat Allah Subhanahu wa Ta'ala dilaksanakan dengan sempurna. Mereka halang wujudnya Kerajaan Islam dengan apa cara sekalipun.

Pada tahun 1950 disaksikan kemenangan parti Islam Masyumi di Indonesia selepas kemerdekaannya yang telah berjaya menubuhkan kerajaan. Tetapi selepas itu Masyumi diharamkan, pemimpin-pemimpinnya ditahan, dan tidak dibenarkan bergerak. Kita juga menyaksikan kemenangan Islam di beberapa negara Arab, dan di Afghanistan, dihalang dengan berbagai-bagai cara, dengan fitnah, menggunakan media untuk menakutkan orang kepada ajaran Islam. Di mana tentangan mereka terhadap Islam ini bukan kerana benar, tetapi kerana salah dan jahat serta kerana hasad dengki terhadap Islam. Mereka tahu kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam disebut di dalam kitab-kitab suci semua agama, sama ada agama Samawi (Yahudi dan Kristian) atau agama yang tidak Samawi (Hindu, Buddha dan Majusi) menyebut berita zahirnya Nabi di akhir zaman. Tetapi apabila datangnya Nabi akhir zaman, mereka tidak beriman bahkan menentang dengan sekeras-kerasnya, bukan kerana Islam ini zalim, jahat, atau salah. Islam adalah benar, betul dan adil, tetapi kerana jahat dan zalim mereka terhadap kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana hawa nafsu syaitan yang ada di dalam diri mereka.

Allah Subhanahu wa Ta'ala menguji umat Islam dengan ujian-ujian yang seperti ini untuk memberi pahala kepada sesiapa yang bersabar dan bertahan dengan ajaran Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan agamanya tidak boleh dihapuskan dan semua perancangan musuh itu akan digagalkan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ ٤٦ ]سورة إبراهيم : ٤٦[


(Maksudnya): Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment