Thursday, September 22, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 25 SAFAR 1444 / 23 SEPTEMBER 2022

 RUNTUHKAN JAHILIYYAH TEGAKKAN ISLAM

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan mendapat kemenangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada firman Allah Ta'ala:

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ٨٩ ] سورة يونس : ٨٨-٨٩  [


(Maksudnya): Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".

Ayat ini menyatakan kisah yang memberi pengajaran kepada umat Islam yang disebut di dalam Al-Quranul Karim yang merupakan Hudan Linnas (petunjuk kepada manusia) sehingga hari kiamat. Ia mengisahkan suatu perjuangan yang hebat oleh Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimas salam yang dilantik oleh Allah bersama menjadi rasul menghadapi kerajaan yang paling zalim dalam sejarah manusia. Juga paling sombong dan paling angkuh dengan kekayaannya yang melimpah ruah dan perhiasan dunia yang banyak, serta mengaku menjadi tuhan yang tinggi, dengan megah berkata:

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ ٢٤ ] سورة النازعات : ٢٤  [


(Maksudnya): (Seraya) berkata: "Akulah tuhanmu, yang paling tinggi".

Dalam masa yang sama dia menindas dan menekan rakyat serta menggunakan kekayaan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mengupah petugas-petugas dan menggaji kakitangan untuk menzalimi rakyat. Kezalimannya yang sangat dahsyat itu bagi mempertahankan kerajaannya sehingga mengadakan undang-undang membunuh anak-anak lelaki yang dilahirkan dan membenarkan anak-anak perempuan sahaja, kerana anak-anak lelaki adalah kekuatan, sementara perempuan adalah lemah. Dalam masa yang sama dia memperhambakan rakyat khususnya Bani Israil.

Nabi Musa diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mukjizat yang hebat menentang sihir-sihir dan kehebatan kerajaan Fir'aun. Walaupun mukjizat itu menjadi tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala, Fir'aun dan pengikutnya yang keras hati tidak beriman dan tidak menerima dakwah Nabi Musa 'alaihis salam. Setelah memakan masa yang panjang, Nabi Musa berdoa kepada Allah dengan diaminkan oleh Nabi Harun 'alaihis salam supaya dibinasakan harta benda Fir'aun, kerana dengan harta benda itu mereka menyesatkan orang ramai.

Allah menjanjikan kemenangan, tetapi kemenangan itu mestilah dengan ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana kehidupan dunia adalah sementara waktu sahaja. Masa yang ada di atas dunia adalah pendek. Mereka yang beriman yang benar-benar tegak di atas Islam akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda di hari akhirat yang lebih mahal daripada kehidupan dunia. Kemenangan dunia tetap dijanji oleh Allah, musuh-musuh Islam tetap dibinasakan oleh Allah, tetapi mestilah menyempurnakan dua syarat.

Yang pertama : Fastaqimaa . Kamu berdua (Musa dan Harun) hendaklah beristiqamah, berada di atas Assiratal mustaqim (jalan yang betul dan lurus), iaitu jalan Islam yang tidak terpesong ke kiri dan ke kanan dan tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang lain. Tetap bersama dengan Islam, niatnya, amalannya mengikut Islam, matlamatnya tetap mengikut Islam, tidak berganjak menggunakan kekuatan akal yang diberi oleh Allah. Percaya kepada janji Allah, janji dunia dan janji akhirat. Tidak terpengaruh dengan sogokan, tidak terpengaruh dengan penipuan, tidak terpengaruh dengan harta benda dunia dan habuannya, tidak terpengaruh dengan godaan. Dengan beristiqamah, Allah menjanjikan kemenangan.

Yang kedua : Wa tattabi'anni sabilal lazina la ya'lamun (jangan mengikut jalan orang yang tidak mengerti). Yang tidak mengerti itu ialah mereka yang tidak percaya kepada janji Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang merasakan Islam tidak boleh menang sampai bila-bila, Islam tidak berjaya sampai bila-bila, janji Allah janji yang tidak boleh dipercayai. Mereka tidak membaca dan tidak percaya kepada kenyataan Allah bagaimana Nabi Nuh 'alaihis salam yang dianggap perjuangannya adalah mustahil, tetapi Allah memberi kemenangan setelah berlalu masa 950 tahun. Mengapa begitu lama dan panjang masa itu? Masa dunia adalah pendek, ganjaran akhirat sangat besar, Islam adalah mahal dan mulia. Perkara yang mahal dan mulia mesti dibayar dengan harga yang mahal juga. Ini membuktikan keimanan yang sungguh-sungguh kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Hanya mereka yang tahu akan kebenaran Islam dan janji Allah percaya ia akan berlaku. Mereka yang tidak mengerti menganggap janji Allah adalah mustahil.

Mereka yang terlalu gopoh untuk menang dengan cepat dan mudah, menang yang mentah, menang yang tidak matang, menang yang tidak sejahtera. Allah mahu kemenangan Islam itu meruntuhkan jahiliyyah dan menegakkan Islam menggantikannya, bukan meruntuhkan jahiliyyah dan menggantikan dengan jahiliyyah juga. Runtuhkan jahiliyyah, tegakkan Islam. Runtuhkan kezaliman tegakkan yang adil, runtuhkan yang salah, tegakkan yang benar. Bukan runtuhkan jahiliyyah, tegak jahiliyyah. Runtuh yang zalim, tegak yang zalim juga, runtuh yang salah, tegak yang salah juga. Islam menggantikannya dengan kebenaran.

Dengan sebab itu mestilah Allah Ta'ala mendidik mereka yang mendukung bersama dengan Islam supaya mereka itu benar-benar beriman dan ikhlas dan beristiqamah melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Firman Allah Ta'ala:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ] سورة الحج : ٤٠  [


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment