Thursday, September 29, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 3 RABIUL AWAL 1444 / 30 SEPTEMBER 2022

 ISLAM JALAN SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدِ، الْفَرْدِ الصَّمَدِ، الَّذِى لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ. 

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ،  نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan mendapat kemenangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami firman Allah Ta'ala:

وَقَالَ مُوسَىٰ إِن تَكْفُرُوا أَنتُمْ وَمَن فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ ٨ أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ ۛ وَالَّذِينَ مِن بَعْدِهِمْ ۛ لَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا اللَّهُ ۚ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَرَدُّوا أَيْدِيَهُمْ فِي أَفْوَاهِهِمْ وَقَالُوا إِنَّا كَفَرْنَا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ وَإِنَّا لَفِي شَكٍّ مِّمَّا تَدْعُونَنَا إِلَيْهِ مُرِيبٍ ٩ ] سورة إبراهيم : ٨-٩  [


(Maksudnya): Dan Nabi Musa berkata: "Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji". Adakah belum sampai kepadamu berita orang-orang sebelum kamu (iaitu) kaum Nuh, 'Ad, Tsamud dan orang-orang selepas mereka. Tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. Telah datang rasul-rasul kepada mereka (membawa) keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka menutup tangan-tangan mereka ke mulut (kerana mempersenda), dan berkata: "Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diperintah menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keraguan terhadap apa yang kamu ajak kepadanya".

Ini adalah satu amaran yang keras daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang diucapkan oleh RasulNya, Nabi Musa 'alaihis salam kepada kaum Bani Israil, sekiranya mereka tidak beriman dan Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan keimanan itu membawa kebaikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. Petunjuk Islam daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jalan selamat di dunia dan di akhirat. Sekiranya mereka degil, tidak mahu menerima Islam, mereka akan celaka di dunia dan di akhirat. Tidak mengurangkan ketuhanan dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Disebut di dalam Hadits Qudsi:

يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ، فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي! إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ، ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا، فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ. رواه مسلم ]


(Maksudnya): Wahai hambaKu! Seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berada dalam keadaan paling bertaqwa dalam kalangan kamu, nescaya hal tersebut tidak menambah pada kerajaanKu sedikitpun. Wahai hambaKu! Seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berada dalam keadaan paling jahat dalam kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurangi daripada kerajaanKu sedikitpun. Wahai hambaKu! Seandainya seluruh manusia meliputi orang yang pertama hingga orang yang terakhir daripada kalangan manusia dan jin berdiri di sebuah bukit lalu kamu meminta kepadaKu, lalu setiap orang yang meminta Aku penuhi, nescaya hal itu tidak mengurangi apa yang ada padaKu kecuali bagaikan sebilah jarum yang dicelup di dalam laut. Wahai hambaKu! Sesungguhnya semua perbuatan kamu akan diperhitungkan untuk kamu kemudian diberi balasannya. Setiap yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah Subhanahu wa Ta'ala dan setiap yang mendapat selain daripada itu janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri.

Itulah kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jangan melawan atau menentang atau kufur terhadap nikmat Allah setelah Allah menjadikan manusia di atas muka bumi. Allah sayang dan rahmat tidak terhingga kepada manusia, menunjukkan jalan yang benar, selamatkan mereka dunia dan akhirat, tetapi kebanyakan manusia degil dan melawan Allah serta tidak bersyukur atau berterima kasih kepada Allah yang menjadikan mereka. Allah yang memberikan kurnia yang tidak terhingga kepada mereka. Semua mereka melawan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah telah menunjukkan betapa sesiapa yang melawan Allah seperti kaum Nuh, kaum 'Ad, kaum Tsamud, kaum yang dianggap hebat, mendirikan bangunan-bangunan pencakar langit, mempunyai tamadun dan kemajuan yang hebat, mereka melawan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semua bangunan yang teguh tidak boleh menahan diri mereka daripada dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ketika Allah menurunkan bala bencana.

Begitulah kita menyaksikan pada hari ini kejatuhan kuasa besar dunia. Di abad yang lalu kita menyaksikan kehancuran blok komunis Soviet Union yang menguasai wilayah yang paling luas dalam dunia, menganut ajaran tidak percaya kepada Tuhan, kononnya membela masyarakat yang adil, mereka menolak adanya Tuhan, menolak akhlak dan menolak semua agama. Dalam masa yang sama mereka berbangga dengan kebendaannya. Dunia menyaksikan kehancuran komunisme negara besar Soviet Union itu.

Hari ini pula kita menyaksikan blok Barat memulakan kemusnahan dan kehancurannya, yang kaya dengan harta yang banyak berdasarkan kepada ekonomi bebas, menghalalkan riba yang diharamkan oleh Allah dengan alasan untuk memajukan ekonomi dunia. Kita menyaksikan negara bebas Barat juga sedang merudum pada hari ini, sehingga hilangnya sifat-sifat kemanusiaan dan hilangnya sifat-sifat kekeluargaan yang memusnahkan diri mereka sendiri.

Maka umat Islam hendaklah melakukan muhasabah diri mereka, jangan terpengaruh lagi dengan fahaman-fahaman yang bukan Islam, kembali kepada Islam. Hanya Islam sahaja yang menyelamatkan diri mereka daripada dunia sehingga akhirat, kerana Islam adalah petunjuk Allah. Meninggalkan petunjuk Allah bermakna berjalan dalam keadaan gelap gelita, terjun ke dalam lubang kebinasaan dan kemusnahan, menyebabkan celaka di dunia dan celaka di Hari Akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ٢٥ ] سورة الأنفال : ٢٥  [


(Maksudnya):  Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment