Friday, June 26, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 4 ZULKAEDAH 1441 / 26 JUN 2020


KITA JAGA KITA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَىٰوَاتِ وَرَافِعِهَا، وَبَسِطِ الْأَرْضِ وَوَاضِعِهَا، وَعَالِمِ الْلأَسْرَارِ وَسَامِعِهَا.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan jamaah sekalian, marilah sama-sama  kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan hidup kita di dunia diberkati Allah, dan di akhirat kelak kita mendapat syurga. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk; "Kita Jaga Kita".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Beberapa minggu yang lalu, kes wabak Covid-19 di negara kita mula menunjukkan penurunan. Setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kini pejabat-pejabat mula beroperasi sepenuhnya, masjid dan surau juga telah dibuka. Ada yang mengambil peluang ini pergi bercuti, atau pulang ke kampung halaman. Setelah hampir 3 bulan tempoh PKP, hari ini kita kembali menjalani kehidupan dengan norma baharu.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kesibukan kita menjalani norma baharu, kita harus sedar bahawa kita masih dalam tempoh PKP, walaupun kerajaan telah melonggarkan beberapa sekatan pergerakan, kita tetap mempunyai tanggungjawab untuk mencegah wabak ini daripada terus menular.

Ambillah iktibar daripada apa yang telah di Singapura dan Perancis. Sebaik sahaja perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, jumlah kes positif kembali meningkat. Di sinilah perlunya tanggungjawab menjaga agama (hifzuddin), dan menjaga nyawa (hifzunnafs), bagi memastikan kesejahteraan awam kekal terpelihara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

... وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ... ﴿١٩٥﴾

Maksudnya: "... Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan...".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pihak polis, angkatan tentera, RELA, petugas kesihatan, penguatkuasa agama dan lain-lain sudah melakukan tugas mereka dengan sebaiknya. Kita tidak boleh selamanya mengharapkan mereka untuk mengawal penularan wabak ini. Kita jaga kita. Kita bertanggungjawab menjaga diri kita sendiri, sekaligus menjaga orang lain.

Sebelum ini, kita terhutang budi di atas pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan. Sekarang tiba masanya, untuk kita pula menggalas tugas tersebut. Kitalah barisan hadapan yang baharu. Jika kita berdisiplin dan bersatu hati, dengan izin Allah s.w.t, kita akan berjaya membendung wabak Covid-19 daripada terus mengancam negara.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah minggu ini, mimbar ingiin berpesan beberapa perkara penting berkenaan pembukaan semula masjid dan surau dalam tempoh PKPP. Para jamaah hendaklah hadir ke masjid dalam keadaan sudah berwuduk, bawa sejadah sendiri dan memakai penutup muka. Setelah selesai solat, beredar dalam keadaan teratur, dan jangan berhimpit-himpit.

Buat akhirnya, marilah kita sama-sama menjaga keselamatan diri, ahli keluarga, dan sesama kita. Biasakan hidup dengan norma baharu, amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, dan sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan. Tidak ada gunanya PKP dilonggarkan, jika kita kembali bersikap sambil lewa dan tidak berhati-hati . Hayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ ﴿١١﴾

Maksudnya: "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya". (Surah Ar-Ra'd ayat 11)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau setinggi mana kedudukan kita, walaupun kita susah tanpa limpahan harta, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat kasih sayang dan naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.



اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, Engkau peliharalah negara Malaysia daripada wabak Covid-19, Engkau jauhilah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment