Friday, August 17, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 5 ZULHIJJAH 1439 / 17 OGOS 2018


PENGORBANAN DAN KEMERDEKAAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَهْدِيهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Pengorbanan dan Kemerdekaan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bulan Ogos pada tahun ini merupakan bulan yang yang dapat dijadikan sumber inspirasi buat seluruh umat Islam di negara ini khususnya. Hal ini kerana bulan Ogos 2018 pada tahun ini, merangkumi dua peristiwa cukup penting untuk kita hayati dan menelusuri bersama, iaitu Hari Raya 'Eidil Adha dan juga Hari Kemerdekaan negara kita yang ke 61. Peristiwa yang pertama iaitu Hari Raya 'Eidil Adha atau hari raya korban, yang merupakan hari perayaan buat umat Islam keseluruhannya dan juga merupakan hari yang dinanti-nantikan umat Islam setiap tahun.

Hari Raya 'Eidil Adha mengajar kepada kita peristiwa pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s, demi menjunjung perintah Allah s.w.t, sehingga terpaksa menyembelih anakandanya sendiri iaitu Ismail a.s, meskipun hatinya berat untuk melaksanakan penyembelihan terhadap anakandanya yang terasing, setelah sekian lama ditinggalkan anakandanya Ismail a.s dan Siti Hajar di tanah yang tandus dan kering kontang demi menyahut perintah Allah s.w.t yang Maha Kuasa. Hal ini dijelaskan di dalam Al-Quran, menerusi firman Allah s.w.t di dalam Surah As-Shaffat ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿١٠٢﴾

Maksudnya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya), Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar".

Peristiwa tersebut perlu kita jadikan panduan dan muhasabah buat diri kita sendiri dalam mengorbankan segala yang kita miliki, baik sama ada harta benda, tenaga, mahupun intelek dalam meraih keredhaan Allah semata-mata dan demi menundukkan kepentingan hawa nafsu yang sering mengajak ke arah kebinasaan dan kehancuran. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, perlu kita renungi dan fahami bersama dengan sebaik mungkin, agar peristiwa tersebut tidak hanya menjadi sejarah yang hanya ditulis di dalam buku semata-mata.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anakandanya Ismail a.s kadang kala sukar diterima oleh akal fikiran yang waras, namun di sebalik apa yang berlaku, di situlah letaknya tanda aras Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pengorbanan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas hanya semata-mata kerana Allah, agar diketahui siapa di kalangan hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya demi meraih kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hari ini kita melihat betapa ramai di kalangan umat Islam masih lagi tenggelam dan leka dengan penjajahan hawa nafsu yang menyelubungi diri mereka dengan gejala yang tidak bermoral berlaku saban hari. Hal ini berlaku kerana terdapat segelinitir umat Islam yang masih kurang penghayatan terhadap ibadah korban yang dilakukan saban tahun, yang bukan hanya sekadar ibadah yang melibatkan ritual keagamaan semata-mata, namun perlu kita melihat dari sudut falsafah korban yang tersirat itu sendiri yang mendidik agar kita dapat menundukkan hawa nafsu yang bermaharaja lela dalam diri seseorang demi menjunjung perintah Allah s.w.t seperti yang dibuktikan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anakandanya Nabi Ismail a.s.

Falsafah pengorbanan ini dapat difahami oleh ulamak-ulamak silam seperti Mat Hassan Panglima Munas (Tok Janggut), Haji Awang Muhammad Yusuf Kenali (Tok Kenali), Syeikh Abdullah Fahim Syeikh Ibrahim (Tok Fahim), Abdul Rahman Abdul Hamid (Haji Abdul Rahman Limbong) dan lain-lain lagi, yang merupakan ulamak yang berjuang demi kemerdekaan tanahair tercinta sehingga sanggup mengorbankan jiwa dan raga mereka sendiri. Pengorbanan mereka hanyalah semata-mata menyahut seruan dan berjuang menegakkan agama Allah s.w.t dengan jiwa raga mereka sendiri. Hal ini kerana, mereka memahami erti pengorbanan yang sebenar dalam kehidupan yang mereka lalui, namun pengorbanan mereka sangat kurang kita teladani dan hargai pada hari ini. Sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah At-Taubah ayat 41:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Akidah Islam merupakan benteng yang secara jelas menolak penguasaan atau penjajahan hawa nafsu ke atas diri seseorang. Begitu juga akidah Islam menolak penjajahan yang dirangka untuk memuaskan nafsu serakah pemerintah dari kalangan penjajah-penjajah dengan mengenakan berbagai-bagai cukai dan merebut kuasa sedia ada dari orang Islam yang sedang memerintah ketika itu demi kepentingan diri sendiri. Walaupun setelah pasca kemerdekaan kita sudah dikecapi dengan menyingkir penjajah dari tanahair ini. Namun usaha memastikan peraturan yang memberi ruang penguasaan hawa nafsu kepada seseorang perlu dikekang. Contohnya seperti keghairahan golongan LGBT untuk mempertahankan hak kesamaan taraf iaitu supaya perkara itu dan perlakuan mereka dianggap sesuatu yang alamiyah atau normal dalam kalangan ahli masyarakat perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Selain itu, usaha dalam menundukkan semua peraturan kepada kehendak Allah adalah terjemahan kepada falsafah ibadah korban yang sebenar yang wajib difahami oleh kita semua dengan 'menyembelih' penguasaan hawa nafsu yang jahat di dalam diri kita yang mana falsafah ini telah difahami lebih awal oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di kalangan ulamak dalam memperjuangkan kemerdekaan yang sebenar.

Kebangkitan ulamak di tanahair juga dilakar dari semangat kebangkitan ulamak Islam yang berlaku di seluruh wilayah dunia Islam, yang telah menjadi pencetus dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar dan hawa nafsu yang membelenggu. Begitu juga di luar tanah melayu seperti Indonesia, Mesir, Libya, Al-Jazair, Iraq, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam jihad menentang penjajah barat dan menyuntik semangat perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment