Friday, August 24, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 12 ZULHIJJAH 1439 / 24 OGOS 2018


PENGAJARAN DARI IBADAH HAJI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَرَضَ الْحَجَّ عَلَى الْقَادِرِ الْمُسْتَطِيْعِ. اللهم اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَلِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْر.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Pengajaran Dari Ibadah Haji".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Matlamat dan tujuan hidup kita adalah jelas iaitu untuk beribadah mengabdikan diri kita hanya kepada Allah semata-mata, Tuhan yang telah menciptakan kita dengan sempurna, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".

Hasil taat dari mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah s.w.t, hati nurani seseorang akan menjadi bersih dan bertambah baik. Hal ini kerana, dari hati yang bersih akan menyebabkan seseorang itu sentiasa mengerjakan kebaikan dan amal-amal soleh, di dalam kehidupan seharian mereka. Sebaliknya sesiapa yang tidak taat, dan tidak mengerjakan suruhan Allah, serta tidak meninggalkan segala larangan Allah s.w.t, hatinya akan menjadi kotor dan gelap-gelita, dengan diseliputi titik-titik hitam noda yang akan menyebabkan sesiapa yang berhati kotor itu akan melakukan perbuatan-perbuatan jahat yang boleh merosak dan menyusahkan orang lain. Hasil dari perkara tersebut, akan menyebabkan turunnya murka Allah s.w.t dan kehinaan azab di neraka-Nya yang amat dahsyat. Wal'iyazubillah (semoga kita dilindungi oleh Allah dari azab-Nya).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar ingin menarik perhatian sidang Jumaat yang dirahmati Allah, bahawa sesungguhnya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani telah memerintahkan dan mewajibkan kepada kita agar mengerjakan amalan-amalan yang boleh membersihkan hati kita dan melarang kita dari melakukan kerja-kerja maksiat yang boleh merosak dan mengotorkan hati kita sendiri, serta boleh mendatangkan azab Allah kepada kita. Setiap amal ibadah yang Allah s.w.t perintahkan kepada hamba-Nya, sama ada ibadah solat, puasa, zakat serta lain-lain amalan, adalah disebabkan ianya mempunyai kebaikan dan hukumnya yang tersendiri. Antara hikmah yang terbesar adalah apabila kita melaksanakan segala perintah Allah s.w.t, Allah akan mengurniakan kepada kita nikmat rezeki yang tidak pernah putus-putus sepanjang hidup kita. Melihat kepada nikmat yang kita perolehi setiap hari dalam kehidupan kita, maka sewajarnya kita perlu melaksanakan segala titah perintah-Nya dan melakukan seberapa banyak amalan kebaikan, sebagai tanda kita mensyukuri segala pemberian Allah ini, serta menghindari segala larangan Allah s.w.t dengan melaksanakan amar ma'aruf dan nahi mungkar di dalam kehidupan kita. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali-'Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang yang berjaya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Selain daripada kewajipan tersebut, Allah s.w.t memfardukan kepada kita satu lagi amalan yang lebih hebat, yang mana seseorang itu memerlukan kewangan yang cukup, masa yang lama, tenaga yang kuat, demi untuk melaksanakan amalan yang difardukan itu dengan faedah serta hukumnya yang lebih besar, lebih banyak dan lebih hebat yang dikurniakan oleh Allah bagi sesiapa yang melakukannya. Ibadah tersebut tidak lain tidak bukan ialah mengerjakan haji ke Baitullah yang diwajibkan sekali seumur hidup, bagi yang mampu. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ali-'Imran ayat 97:

... وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ ... ﴿٩٧﴾

Maksudnya: "Bagi Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi orang yang mampu".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk menunaikan ibadat haji, ia memerlukan niat dan keazaman yang bersungguh-sungguh, serta melakukan persiapan yang rapi dari segi kewangan, fizikal dan mental. Pengorbanan yang besar haruslah ditanam dan dipupuk di dalam hati seseorang, agar dapat mencapai matlamat untuk menunaikan ibadat haji di Makkatul Mukarramah. Apabila telah lengkap segala persiapan, maka bermulalah perjalanan jamaah haji ke Baitullah yang penuh mencabar. Perjalanan bermula dengan sama ada melalui daratan, lautan ataupun di udara, dan seterusnya berkampung di kota Makkatul Mukarramah selama beberapa minggu dan di Madinatul Munawwarah kira-kira seminggu, serta melakukan amalan bertawaf di Ka'abah, bersa'ei antara Shafa dan Marwah, berwukuf di 'Arafah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar batu di Jamrah. Kesemuanya amalan tersebut adalah kerja-kerja yang besar dan hebat.

Tiap-tiap amalan tersebut mempunyai rahsia dan hikmahnya yang begitu banyak dan tinggi. Pengalaman yang dilalui oleh setiap jamaah haji adalah tidak ternilai harganya. Allah menjelaskan antara hikmahnya supaya mereka menyaksikan sendiri pelbagai manfaat yang mereka akan perolehi sepanjang musim haji di Makkah. Pengelaman mereka dalam perjalanan, melihat kebesaran Allah yang begitu luas iaitu keadaan awan di langit yang tinggi, keadaan padang pasir dan bukit bukau serta batu-batuan yang dapat disaksikan secara jelas. Perihal manusia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan warna kulitnya, dapat berada di samping Ka'abah yang tersergam indah. Selain daripada itu, pengalaman semasa di 'Arafah, di Muzdalifah, di Mina dan di tempat-tempat bersejarah yang lain, kesemuanya itu akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan, keinsafan, kesedaran dan keyakinan serta keimanan kepada kebenaran Islam dan juga kebesaran Allah s.w.t. Selain itu, ianya juga boleh menyucikan jiwa dari kesan-kesan dosa, dan yang boleh melayakkan seseorang jamaah haji mendapat haji yang mabrur, serta mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kefasiqan, keluarlah ia (daripada dosa-dosanya) menjadi bersih seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Ibadat haji mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan sejarah Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail a. s. Mereka berdualah yang telah membina Ka'abah atas perintah Allah s.w.t. Selain terdapat di tepinya hijir Ismailda maqam Nabi Ibrahim, iaitu kesan tapak kakinya semasa membina Ka'abah. Manakala telaga zam-zam yang juga anugerah Allah kepada Nabi Ismail a.s semasa masih bayi hasil usaha ibunya berlari-lari mencari air di antara bukit Shafa dan Marwah..

Bila disebut tentang Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail a.s mengingatkan kita kepada tiga sebab utama menyebabkan Nabi Ibrahim a.s mampu dan sanggup melakukan kerja-kerja besar dan berat yang diarahkan oleh Allah s.w.t adalah disebabkan:

1. Keimanan Nabi Ibrahim terhadap Allah Ta'ala cukup kuat, sehingga sanggup meninggalkan anaknya yang masih bayi bersama isterinya Hajar di tempat yang kering kontang pada masa itu, yang mana pada hari ini menjadi bandar besar dan tempat tumpuan umat Islam seluruh dunia, iaitu kota Makkatul Mukarramah.

2. Ikhlasnya Nabi Ibrahim dalam menunaikan segala perintah hanya kerana Allah semata-mata tanpa mengharapkan sebarang habuan atau balasan atas amalan yang dikerjakannya. Baginda sanggup melakukan apa sahaja demi keredhaan Allah, sehingga sanggup mengorbankan anak kesayangannya sendiri apabila diperintah oleh Allah pada masa itu, amalan berkorban menjadi sunnah yang dituntut dan ikutan umat Islam sepanjang zaman.

3. Kesabaran Nabi Ibrahim a.s dalam melaksanakan segala perintah Allah, serta meninggalkan segala larangan-Nya dan kesabarannya menghadapi sebarang gangguan menyebabkan ia berjaya dalam ujian Allah ke atasnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kesimpulan dari apa yang telah dihuraikan ini adalah seperti berikut:

1. Tujuan dan matlamat hidup kita sebagai manusia adalah jelas iaitu mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Hati kita menjadi bersih dengan melakukan ketaatan dan akan menjadi kotor apabila kita melakukan kemaksiatan kepada Allah s.w.t.

3. Mereka yang berhati bersih akan dikasihi oleh Allah dan layak untuknya memasuki syurga-Nya yang kekal abadi, manakala mereka yang berhati kotor akan dibenci oleh Allah dan tempat untuknya ialah neraka yang penuh dengan kesengsaraan.

4. Ajaran Islam adalah nikmat dan rahmat dari Allah serta jaminan kebaikan hidup di dunia dan akhirat yang perlu dihargai, disyukuri dan diamalkan bersungguh-sungguh.

5. Ibadat haji sangat hebat kesannya kepada rohani dan juga kepada jasmani untuk kebaikan di dunia dan juga akhirat.

6. Agama Islam adalah agama sejagat, untuk seluruh umat manusia, tanpa mengenal batasan bangsa dan negara, realitinya dapat dilihat di musim haji, kelihatan mereka dari seluruh pelusuk dunia datang berkumpul di sana di dalam suasana persaudaraan, bersatu hati dan bersatu matlamat iaitu ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment