Friday, April 13, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 26 REJAB 1439 / 13 APRIL 2018


GANGGUAN PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ لِيَكُونَ لِلْعَٰلَمِينَ نَذِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyaksikan benarnya firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quranul Karim dan benarnya apa yang diceritakan oleh nabi kesayangan kita Muhammad s.a.w berkaitan dengan peristiwa Israk dan Mikraj.

... وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ ... ﴿٦٠﴾ [سورة الإسراء : ٦٠]

(Maksudnya): Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.

Apabila nabi kita Muhammad s.a.w dibawa menjadi tetamu Allah s.w.t menyaksikan alam dunia dan alam akhirat, menyaksikan alam nyata dan alam ghaib, menyaksikan manusia, jin, para malaikat, dan menyaksikan segala perkara yang berlaku di seluruh alam ini yang ditunjuk oleh Allah s.w.t, sebahagian daripadanya dinyatakan bagaimana perjalanan Rasulullah s.a.w pada malam itu dengan segala cabarannya adalah cabaran dan ujian kepada perjalanan umatnya sehingga hari kiamat, apabila dalam perjalanan itu diganggu oleh yahudi dan kristian, diganggu oleh syaitan dan iblis, diganggu oleh hawa nafsu dunia. Diganggu dalam perjalanan itu, ditunjukkan di alam ghaib, kita menyaksikan di alam nyata pada hari ini bagaimana semuanya mengganggu perjalanan hidup umat Islam pada hari ini.

Nabi kita s.a.w telah memberi amaran:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ. قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): Kamu akan terikut-ikut mereka yang sebelum kamu itu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta (sedikit demi sedikit) sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu ikut sama. Lalu para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, adakah yahudi dan nasrani? Jawab Rasulullah s.a.w, maka siapakah lagi?

Kita menyaksikan bagaimana umat Islam yang telah ditunjukkan oleh Allah s.w.t petunjuk yang benar bersama dengan Al-Quranul Karim sehingga bangsa yang lemah, mundur dan hina dengan petunjuk Allah s.w.t daripada Al-Quran dan nabi itu menjadi bangsa yang mulia dan kuat, serta bangsa yang memimpin dunia memerintah dunia lebih 1400 tahun.

Kita menyaksikan apabila umat Islam meninggalkan ajaran Islam dan meninggalkan cara hidup mereka bermula daripada meninggalkan hukum syariat sehinggalah meninggalkan pakaian mendedahkan aurat, bergaul bebas dengan cara yang ditunjukkan oleh orang-orang yahudi dan kristian itu menjadi punca kelemahan yang dialami oleh umat Islam pada hari ini.

Maka tidak ada jalan bagi mengembalikan semula kemuliaan umat melainkan kembali semula kepada Islam, Al-Quran dan ajaran Nabi s.a.w.

Kita menyaksikan bagaimana umat Islam dipengaruhi oleh syaitan manusia dan jin yang mengheret mereka meninggalkan ajaran agama dan meninggalkan hukum Allah s.w.t. Kita menyaksikan mereka terpengaruh dengan dunia.

Pernah Nabi Muhammad s.a.w menyatakan:

فَوَاللَّهِ لَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخَشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Demi Allah, aku tidak bimbang sekiranya kamu berhadapan dengan kefakiran, tetapi yang sangat aku bimbang sekiranya kamu berhadapan dengan kekayaan, apabila dunia telah diluaskan bagi kamu sekalian sepertimana pernah diluaskan kepada umat-umat sebelum kamu. Kemudian kamu akan berebut-rebut seperti mereka dahulu berebut-rebutan, maka akibatnya dunia itu akan membinasakan kamu seperti ia telah membinasakan mereka dahulu.

Kita menyaksikan apa yang dialami oleh umat Islam pada hari ini bukan sahaja satu bangsa bahkan sehingga sekecil satu keluarga terpengaruh dengan kehidupan dunia yang merenggangkan hubungan mereka dengan agama dan saudara mara semata-mata kerana mengejar kemewahan dunia dan dirasuk oleh syaitan.

Apa yang berlaku terbukti benarnya Israk dan Mikraj yang ditunjukkan kepada nabi kita Muhammad s.a.w.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ١ - ٣]

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun daripada pautan ini.

No comments:

Post a Comment