Friday, April 27, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 11 SYAABAN 1439 / 27 APRIL 2018


PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Perpaduan Dalam Kepelbagaian".

Ianya merupakan tajuk yang wajar difahami oleh semua umat Islam pada ketika ini, khususnya dalam situasi negara kita yang sedang melalui suatu proses penting dalam pemilihan pemimpin.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Hakikatnya manusia itu adalah berbeza. Sememangnya kita diciptakan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai perbezaan. Kita berbeza dari sudut susuk badan dan raut muka. Kita berbeza dari sudut sifat dan sikap. Kita berbeza dari sudut minat dan keinginan. Kita berbeza dari sudut pemikiran dan kecenderungan. Begitulah penciptaan manusia oleh Allah s.w.t sepertimana firman-Nya dalam Surah Hud ayat 118:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ﴿١١٨﴾

Maksudnya: "Kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menjadi umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan".

Walaupun begitu, kita diperintahkan oleh Allah Ta'ala untuk mengekalkan perpaduan, sekalipun terdapat perbezaan. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika mana baginda memerintah Madinah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya. Ia bertepatan dengan sabda junjungan besar kita daripada Abu Musa Al-Asy'ari:

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: "Orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Mewujudkan perpaduan dalam kepelbagaian perbezaan yang sememangnya adalah fitrah manusia. Beberapa saranan dan petunjuk daripada Allah dan Rasul-Nya wajib dijadikan panduan kepada kita. Mudah-mudahan dengan menghayati anjuran wahyu ini kita akan dapat mengekalkan perpaduan sesama kita walaupun kita berada dalam perbezaan yang pelbagai. Hayatilah petunjuk Ilahi ini:

Pertama: Memperteguhkan konsep ukhuwwah yakni persaudaraan Islam. Allah Ta'ala memperteguhkan konsep ukhuwwah sesama Islam bagi mewujudkan perpaduan antara kita sekalipun kita berbeza. Firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Sidang Jumaat sekalian,

Kedua: Mengutamakan persamaan lebih daripada perbezaan. Umat Islam perlu mencari titik pertemuan temu yang dapat dijadikan asas kepada perpaduan. Manakala perbezaan yang ada dalam kalangan kita, wajar untuk kita berlapang dada. Sehubungan itu, para ulamak menyenaraikan kepada kita kaedah yang cukup baik. Ia bersesuaian anjuran Allah Ta'ala dalam firman-Nya dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ ... ﴿٢﴾

Maksudnya: "Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan".

Bagi menjaga keutuhan ukhuwwah ini, Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kepada kita beberapa amalan yang boleh diamalkan bersama:

Pertama: Memberi salam. Rasul menjanjikan bahawa dengan mengucap dan berbalas salam sesama kita, ia akan menguatkan hubungan sesama kita. Hadits daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَفَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى أَمْرٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya: "Demi yang nyawaku pada tangan-Nya, tiada kamu akan memasuki syurga sehingga kamu beriman. Tiada kamu beriman sehingga kamu berkasih sayang. Hendakkah kamu semua, aku tunjukkan kepada suatu perkara yang apabila kamu laksanakan nescaya kamu semua berkasih sayang. Sebarkanlah salam di antara kamu". (Hadits riwayat Imam Abu Dawud)

Untuk itu, dalam suasana sekarang yang menyaksikan perhimpunan yang dilakukan secara kerap dan pertemuan-pertemuan yang diadakan oleh pelbagai kumpulan, maka kita perlu mengambil peluang ini agar ucapan salam disebarkan. Ingatlah! Memberi ucapan salam itu adalah sunat sedangkan menjawab salam itu adalah wajib. Jadilah kita orang yang memulakan salam daripada menjadi orang yang menunggu salam.

Mulakan senyuman kepada saudara kita sama ada yang sealiran dengan kita ataupun sebaliknya. Mudah-mudahan kita dapat menyemai ikatan ukhuwwah yang erat.

Kedua: Janganlah melakukan kezaliman. Al-Quran mengingatkan kita tentang bahaya kezaliman kerana ia pasti akan membawa keburukan kepada manusia yang melakukannya. Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Qasas ayat 37:

... إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٣٧﴾

Maksunya: "Sesungguhnya tidak berjaya orang yang zalim".

Ketiga: Memaafkan. Nabi s.a.w mengingatkan bahawa manusia sentiasa melakukan kesilapan. Sehubungan dengan itu Al-Quran menggesa umat manusia agar memaafkan manusia yang lain. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A'araf ayat 199:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ ﴿١٩٩﴾

Maksudnya: "Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)".

Bila mana turunnya ayat ini, Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril a.s akan pengertiannya. Maka dijawab Jibril: "Allah mengarahkan kamu agar memaafkan orang yang menzalimi kamu, memberi kepada orang yang menghalang kamu dan menyambung (hubungan) dengan orang yang memutuskannya". Marilah kita menjadi orang yang pemaaf. Bukankah kita juga ingin diberikan kemaafan apabila kita melakukan kesalahan. Bukankah Tuhan kita itu, nama-Nya; Al-'Afwu dan Al-Ghaffar. Untuk itu, jadikan kebiasaan dalam diri kita untuk memaafkan kesalahan orang kepada kita.

Keempat: Menjaga lidah dan percakapan. Kata pepatah, "Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya". Pepatah ini mengingatkan kita tentang bahaya lisan dan perkataan yang keluar dari mulut seseorang. Ia boleh memutuskan ukhuwwah yang terikat kemas. Ia boleh menghancurkan persahabatan yang sekian lama terjalin. Ia boleh menyebabkan kaum keluarga berpecah belah. Ia menyebabkan manusia terjerumus ke dalam neraka. Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang perkara ini dalam hadits daripada Mu'az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

يَا مُعَاذُ وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ

Maksudnya: "Wahai Mu'az, tidaklah manusia itu diheret di atas mukanya ke dalam neraka melainkan kerana hasil luahan lidah mereka". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Jika tiada apa yang ingin kita katakan maka Rasulullah s.a.w menyarankan agar kita diam. Pastikan kata-kata kita tidak menyinggung perasaan orang lain. Dalam kita mengajak orang kepada kita, maka nyatakan hujjah kita tanpa perlu celaan yang tidak sepatutnya. Kalimah-kalimah yang kita keluarkan adalah kalimah yang baik yang membawa kebaikan. Itu akan menjadi asas pembinaan ukhuwwah kita. Sabda Nabi s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata dengan perkara kebaikan atau hendaklah ia diam". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Secara asasnya kita boleh menentukan isu-isu atau tindakan-tindakan yang mempunyai kepentingan bersama. Dalam isu ekonomi, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera boleh diketengahkan. Dalam isu politik, pengukuhan kuasa politik melayu dan Islam boleh dijadikan agenda bersama. Begitu juga pemerkasaan institusi raja-raja. Dalam bidang sosial, pemartabatan bahasa melayu boleh diangkat secara bersama, di samping isu penguasaan tanah orang Islam. Begitu juga isu keruntuhan akhlak dalam kalangan muda mudi Islam yang terlibat dengan pelacuran, dadah dan gejala negatif yang lain. Dalam bidang pendidikan, isu pemerkasaan pendidikan dengan pemberian biasiswa kepada setiap anak bumiputera perlu dibahaskan dengan penuh rasa perpaduan dan kesatuan hati.

Semua isu yang dinyatakan ini adalah merupakan perkara yang selaras dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang. Ia tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak. Lantaran itu, mengapa tidak umat Islam di Malaysia bersatu hati, berpadu teguh mengangkat isu-isu tersebut walaupun dalam suasana perbezaan yang sedang kita lalui sekarang.

Ambillah iktibar daripada orang bukan Islam yang sungguh pun mereka itu dilihat berbeza dalam banyak perkara tetapi ada isu-isu yang disepakati dan diperjuangkan secara bersama. Mereka rata-ratanya sepakat untuk memartabatkan bahasa ibunda masing-masing. Mereka boleh sepakat dalam pelbagai perkara. Mereka boleh bersatu hati dalam isu yang mempunyai kepentingan mereka bersama. Mengapa tidak kita?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment