Friday, November 3, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 14 SAFAR 1439 / 3 NOVEMBER 2017


MUHASABAH TENTANG AMANAH


ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ نَحۡمَدُهُ وَنَسۡتَعِينُهُ وَنَسۡتَهۡدِيهِ وَنَسۡتَغۡفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنۡ شُرُورِ أَنۡفُسِنَا وِمِنۡ سَيِّئَاتِ أَعۡمَالِنَا. مَنۡ يَهۡدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنۡ يُضۡلِلۡ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡمُلۡكُ وَلَهُ الۡحَمۡدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيۡءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهُ وَرَسُولُهُۥ. أَرۡسَلَهُ ٱللَّهُ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيۡنَ يَدَيِ ٱلسَّاعَةِ، فَأَدَّى ٱلۡأَمَانَةَ، وَبَلَّغَ ٱلرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ ٱلۡأُمَّةَ، وَجَاهَدَ فِى ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦ حَتَّى أَتَاهُ الۡيَقِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدۡوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنۡ سَارَ عَلَى نَهۡجِهِ إِلَى يَوۡمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، أُوصِيكُمۡ وَاِيَّايَ بِتَقۡوَى اللَّهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢ [سورة آل عمران : ١٠٢]
Wahai hamba-hamba Allah,

Saya berpesan kepada diri kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertaqwa kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang bertaqwa. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah.

Wahai orang-orang yang beriman,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwanya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah bersama-sama kita memuhasabah diri kita dengan merenung tujuan kita diciptakan oleh Allah s.w.t di atas dunia ini. Ia tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk melaksanakan amanah Allah s.w.t, mengabdikan diri hanya kepada-Nya dan menjadi khalifah Allah s.w.t di atas muka bumi ini iaitu mendirikan agama dan memakmurkan dunia ini dengan agama. Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quranul Karim:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾ [سورة الأحزاب : ٧٢]
(Maksudnya): Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Di dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut bagaimana Allah s.w.t membentangkan amanah, satu kalimah yang sangat mudah untuk disebut dengan lidah, tetapi sangat payah untuk melaksanakannya dan sangat berat untuk memikulnya. Dibentangkan amanah dan tanggungjawab kepada langit-langit, gunung ganang dan bukit bukau yang begitu besar dan hebat. Mereka semua tidak mahu dan tidak mampu untuk memikulnya. Lalu ianya sanggup dipikul oleh manusia, makhluk yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan amanah yang sangat besar ini.

Amanah yang dimaksudkan di sini adalah:

Yang pertama: Melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh-Nya. Semua makhluk-makhluk Allah, sama ada yang ada di bumi atau yang ada di alam semesta ini, mereka taat dan patuh akan perintah Allah s.w.t dengan terpaksa dan kerelaan. Tetapi manusia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan amanah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, menunaikan segala apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh-Nya. Dengan ciri-ciri yang ada pada diri manusia yang mempunyai akal, jasmani dan rohani melaksanakan perintah Allah s.w.t dengan kerelaan melalui ajaran yang diturunkan oleh Allah ke atas nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam yang berakhir dengan Nabi Muhammad s.a.w, iaitu syariat Islam secara keseluruhannya.

Yang kedua: Yang dimaksudkan dengan amanah itu adalah seluruh anggota tubuh badan manusia daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki, semuanya merupakan yang mesti dilaksanakan oleh manusia untuk melakukan perkara-perkara yang diperintah oleh Allah s.w.t dan meninggalkan segala apa yang dilarang-Nya. Allah s.w.t tidak mengurniakan kepada manusia telinga, mata, tangan, kaki, lidah, mulut, hidung dan semua yang ada pada diri manusia tanpa ianya tidak akan dihitung oleh Allah s.w.t pada hari akhirat kelak. Semuanya adalah amanah daripada Allah s.w.t. Umpama amanah barang berharga yang ditinggalkan kepada kita untuk menjaganya mestilah dijaga dengan penuh tanggungjawab kerana takut dan bimbang ianya akan dihisab dan dihitung dengan dosa oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk menjaga dan memeliharanya supaya manusia melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh-Nya.

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٦٥﴾ [سورة يس : ٦٥]
(Maksudnya): Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

Semua ini adalah amanah daripada Allah s.w.t yang perlu kita memuhasabah dan menilai diri kita umat Islam supaya menjadi hamba-hamba Allah s.w.t yang menunaikan amanah Allah s.w.t dengan segala nikmat dan kurniaan yang Allah s.w.t berikan kepada kita.

Yang ketiga: tanggungjawab dan kewajipan yang diberikan kepada kita untuk melaksanakannya, sama ada yang melibatkan diri kita, keluarga, masyarakat dan pemerintahan negara. Semuanya ini adalah amanah yang sangat besar yang berkait dengan hak-hak Allah s.w.t dan hak-hak sesama manusia yang akan dihitung dan dihisab di hadapan Allah s.w.t.

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا﴿٥٨﴾ [سورة النساء : ٥٨]
(Maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Seorang ayah dan ibu mempunyai amanah ke atas anak-anaknya. Anak-anak mempunyai amanah ke atas ayah dan ibunya. Suami mempunyai amanah ke atas isterinya dan orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Isteri juga mempunyai amanah ke atas suami dan anak-anaknya. Seorang majikan mempunyai amanah ke atas pekerja-pekerja yang berada di bawahnya. Guru-guru mempunyai amanah ke atas murid-muridnya. Maka begitulah juga mereka yang diberikan amanah untuk memimpin dan memerintah negara yang mempunyai amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan di atas bahunya.

Inilah amanah yang sangat besar. Amanah yang hilang daripada umat Islam pada hari ini apabila diperintah, ditadbir dan diurus oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara agama Allah, nyawa-nyawa umat Islam, maruah umat Islam, akal fikiran umat Islam dan harta benda umat Islam. Sehingga kita menyaksikan pada hari ini umat Islam yang mempunyai jumlah yang begitu ramai lebih daripada 1.5 billion, tetapi tidak mempunyai 'izzah dan kemuliaan kerana kebanyakan mereka yang memerintah dan mentadbir negara-negara umat Islam tidak melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini.

Maka berlakulah kerosakan yang telah diberikan amaran oleh Nabi s.a.w semasa menjawab soalan; Bilakah berlakunya kiamat? Nabi s.a.w bersabda dengan menyebut:

إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. [رواه البخاري]
(Maksudnya): Apabila disia-siakan (diabaikan) amanah, maka tunggulah berlakunya kiamat. Tanya sabahat: Bagaimana amanah itu disia-siakan, wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila urusan diberikan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah berlakunya kiamat.

Kiamat apabila berlaku dunia dan alam semesta ini hancur lebur. Gunung ganang, bukit bukau yang begitu besar dan hebat serta kukuh dan kuat akan menjadi debu-debu halus yang berterbangan. Tetapi sebelum berlakunya kiamat yang besar itu yang merosakkan dunia dan alam semesta ini serta menghancur leburkannya, manusia terlebih dahulu akan melihat kehancuran di hadapan mata kepala mereka apabila satu-satu urusan diberikan kepada orang-orang yang tidak layak untuk memikulnya.

Hari ini urusan agama diabaikan kerana mereka yang sepatutnya menjaga agama tidak menjaga agama, hukum hakam Allah s.w.t tidak ditegakkan, peraturan-peraturan Allah s.w.t diabaikan, kesucian-kesucian agama Allah s.w.t ditentang dan diperlakukan dengan begitu mudah, undang-undang Allah s.w.t dihina, begitulah juga nyawa-nyawa umat Islam tidak mempunyai nilai dan harga.

Pembunuhan yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh pelusuk dunia saban hari kita mendengar dan melihatnya di dalam media massa. Lihatlah apa yang berlaku di Syria, di Yaman, di Arakan, umat Islam Rohingya yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup. Maruah umat Islam tidak dijaga dan dipelihara.

Akal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t tidak dipelihara dan dijaga. Pemerintah yang bertanggungjawab untuk menjaganya dengan melaksanakan hukum hakam Allah s.w.t bagi memastikan perkara-perkara yang memabukkan seperti arak, dadah dan lain-lain lagi bertebaran dalam kalangan umat Islam. Lalu setelah mereka mengambilnya menyebabkan hilang akal, lebih hina daripada binatang yang tidak mempunyai akal. Berlakunya maksiat dan kemungkaran, berlakunya kerosakan harta benda, bahkan sanggup mencedera dan membunuh orang-orang di keliling mereka.

Harta benda umat Islam tidak dijaga dan dipelihara. Allah s.w.t mengurniakan keberkatan kepada dunia Islam yang wujud pada hari ini menjadi tempat yang paling banyak sumber-sumber dan hasil mahsul yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti minyak, galian-galian, emas, perak, timah, air, hutan belantara dan lain-lain lagi dikurniakan oleh Allah s.w.t begitu banyak kepada umat Islam. Tetapi apabila ditadbir dan diurus oleh mereka yang tidak menunaikan amanah, maka berlakulah kerosakan. Kekayaan yang begitu banyak melimpah ruah dibelanjakan dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah. Inilah kerosakan-kerosakan yang kita lihat pada hari ini yang telah diberikan amaran oleh Nabi s.a.w di dalam hadits yang dibacakan tadi.

Mereka berlumba-lumba membina bangunan-bangunan yang tinggi. Duit yang begitu banyak tidak tahu di mana hendak dibelanjakan. Lalu berlegar dalam kalangan orang-orang yang tertentu. Umat Islam yang tergolong dalam kalangan dhu'afak (orang-orang yang lemah) dan fakir msikin bukan makin hari makin berkurangan tetapi semakin bertambah. Sedangkan hasil mahsul dan sumber-sumber yang begitu banyak itu dikurniakan oleh Allah s.w.t, tetapi ditadbir dan diurus oleh orang-orang yang tidak amanah dan bertanggungjawab.

Justeru menjadi kewajipan kepada umat Islam keseluruhannya, pemerintah dan rakyat biasa, lelaki dan perempuan, semua umat mestilah memuhasabah diri masing-masing untuk kita melaksanakan amanah Allah s.w.t yang sangat besar ini ke atas diri kita, masyarakat kita dan negara kita. Begitu juga amanah kita dengan Allah s.w.t menunaikan segala perinta dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah s.w.t serta amanah kita sesama manusia untuk menjaga memelihara hak-hak mereka mengikut landasan agama yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah s.w.t.

        أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ.
وَٱلۡعَصۡرِ ﴿١﴾ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ﴿٢﴾  إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ﴿٣﴾ [سورة الـعصر : ١-٣]
(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ  بِٱلۡقُرۡءَانِ الۡعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِمَا فِيهِ مِنَ ٱلۡآيَاتِ وَٱلذِّكرِ الۡحَكِيمِ. وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنۡكُمۡ تِلَاوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الۡعَلِيمِ.
أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ وَالۡمُؤۡمِنِينَ وَالۡمُؤۡمِنَاتِ فَاسۡتَغۡفِرُوهُ، إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.

No comments:

Post a Comment