Friday, July 21, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 27 SYAWAL 1438 / 21 JULAI 2017


MASJIDIL AQSA TERANCAM LAGI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Masjidil Aqsa Terancam Lagi".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Masjidil Aqsa adalah kota suci umat Islam ketiga selepas Makkah dan Madinah. Masjidil Aqsa menyaksikan peristiwa israk Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin. Peristiwa penting ini menunjukkan Al-Aqsa mempunyai kaitan yang sangat rapat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Namun, sejak Palestin ditawan yahudi zionis yang merancang penempatan semula mereka di seluruh dunia, Al-Aqsa dan penduduknya tidak pernah aman. Penindasan demi penindasan dilakukan mereka terhadap umat Islam yang telah mendiami sekian lama. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾

Bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1947 telah membuat resolusi membahagi Palestin menjadi dua, separuh wilayah Palestin menjadi milik yahudi dan selebihnya milik umat Islam. Setahun kemudian pada 1948 lahirnya negara Israel dan Tel-Aviv menjadi ibu kotanya. Namun tahun demi tahun, khususnya selepas perang Arab-Israel 1967, Israel semakin rakus menduduki wilayah arab Palestin termasuk menguasai Baitul Muqaddis yang terletaknya Masjidil Aqsa di situ. Kejahatan yahudi mula terserlah dan tidak dapat dibendung lagi apabila mereka membakar Al-Aqsa meliputi kawasan puncak Bukit Zaitun yang terdapat kubah besar dikenali sebagai Dome of The Rock yang dibina oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Rejim zionis sekali lagi melancarkan provokasi apabila buat pertama kali selepas perang Arab-Israel 1967, kerajaan Israel telah mengarahkan supaya Masjidil Aqsa ditutup daripada mendirikan solat Jumaat pada 14 Julai yang lalu. Alasannya, kerana berlaku serangan terhadap anggota polis Israel di dalam kawasan masjid berkenaan. Seperti biasa, penduduk Palestin terus akan dituduh sebagai dalang keganasan tersebut.

Kini keadaan di sana kian buruk apabila laungan azan dilarang menggunakan pembesar suara dan setiap warga Palestin perlu melalui kawalan ketat tentera zionis untuk masuk ke Masjidil Aqsa bagi menunaikan solat. Menurut penyelaras media Aman Palestin di Ghaza, setiap hari ada sahaja warga Palestin mati ditembak. Mereka mula menuding jari kepada warga Palestin sebagai punca serangan. Hakikatnya inilah rutin kekejaman mereka bagi menekan rakyat di sana.

Provokasi terbaru ini kembali meningkatkan ketegangan antara Israel dan Palestin. Kejadian ini dilihat sebagai salah satu strategi mereka untuk mengubah status quo tempat suci umat Islam yang dikuasai oleh penduduk Islam kepada yahudi. Walaupun kini urus tadbir masjid dilakukan oleh sebuah badan Islam tetapi kawasan di sekitarnya dikuasai secara mutlak oleh Israel. Peristiwa ini berlaku sejurus selepas lawatan presiden Amerika, Syarikat Donald Trump ke Israel. Apakah ini kebetulan? Berdasarkan pengalaman sejak hampir 100 tahun yang lalu, perancangan jahat musuh Islam terhadap Palestin bukanlah kebetulan.

Saudara kaum muslimin,

Sekalipun mungkin sebahagian orang berkata, isunya hanya penutupan Masjidil Aqsa daripada mendirikan sembahyang Jumaat. Tetapi agenda tersiratnya memberi kesan yang amat besar kepada dunia Islam. Hal ini membayangkan satu demi satu tempat keagungan umat Islam dinafikan kepada kita khususnya penduduk asal Palestin. Selangkah demi selangkah hak Palestin terundur, selangkah demi selangkah Israel maju ke depan.

Al-Aqsa juga menyimpan beribu-ribu manuskrip dan artifak yang ternilai dari segi ketamadunan Islam. Tindakan rejim zionis mahu menguasai Al-Aqsa menggambarkan keselamatan barang-barang sejarah tersebut juga berada dalam keadaan sangat terancam. Percubaan pihak zionis menjadikan Al-Aqsa sebagai tempat suci yahudi telah dimulakan sejak sekian lama apabila mereka menggali kawasan bawah masjid itu serta memindahkan tulang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang disemadikan di situ. Ini suatu penghinaan kepada tempat suci Islam yang dilakukan secara konsisten oleh yahudi. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah Ayat 82:

۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ﴿٨٢﴾

Bermaksud: "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang sangat keras permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yahdi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang sangat dekat kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini orang nasrani yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadah dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita tertanya-tanya. di mana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Di mana Liga Arab? Di mana pakatan ketenteraan negara Islam? Di mana suara pemimpin-pemimpin negara Islam yang seringkali nampak megah apabila bertindak terhadap sesama negara Islam? Di mana mereka semua tatkala zionis semakin menekan bumi Palestin? Berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Tsauban r.a sabda Nabi Muhammad s.a.w:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Bermaksud: "Akan hampir seluruh umat manusia menyeru kamu sebagaimana diseru makan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit? Jawab baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai tetapi kamu seperti buih seumpama buih air banjir. Dan akan dicabutkan dari sanubari musuh kamu perasaan kagum terhadap kehebatanmu di samping Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata: Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda baginda: Cinta Dunia dan Benci Mati". (Hadits riwayat Imam Abu Daud)

Kita melihat seringkali OIC mengambil pendekatan retorik, bersuara ala kadar dan sangat tidak bermaya. Malah sudah beberpa kali apabila berlaku sesuatu terhadap dunia Islam seperti di Rohingya, Syria mahupun Palestin, badan tersebut dilihat sangat tidak proaktif, tidak setaraf dengan kedudukannya sebagai badan dunia kedua selepas PBB.

Sebenarnya sejarah awal penubuhan OIC adalah untuk menyelamatkan Al-Aqsa yang dibakar yahudi pada 21 Ogos 1969. Penubuhan OIC adalah bukti tindakan proaktif pemimpin-pemimpin negara Islam ketika itu untuk menyelamatkan Al-Aqsa. Hasilnya pada 25 September 1969, 57 ketua negara Islam berpakat menubuhkan OIC iaitu persidangan negara-negara Islam yang sekarang dikenali Pertubuhan Kerjasama Islam. Ini bermakna agenda melindungi Al-Aqsa daripada dicemari oleh rejim zionis mesti menjadi keutamaan OIC. Lebih malang lagi, pihak yang dipertanggung jawabkan untuk memelihara kepentingan umat Islam sejagat termasuk Palestin seringkali hanya menanda tangani perjanjian demi perjanjian dengan yahudi yang kemudiannya berterusan dicabuli. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal Ayat 56:

الَّذِينَ عَاهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِي كُلِّ مَرَّةٍ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli penjanjian itu)".

Kaum muslimin yang dimuliakan,

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj Ayat 40:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾

Bermaksud: "Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang pencerobohan sebahagian yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa".

Usaha menyelamatkan Al-Aqsa daripada jatuh ke tangan yahudi bukan sahaja tanggung jawab rakyat Palestin tetapi seluruh pemimpin-pemimpin negara Islam terutamanya negara arab dan OIC. Tidak cukup hanya dengan membuat sidang akhbar mengecam kekejaman zionis terhadap Palestin. Tidak cukup jika mereka hanya menulis dua tiga baris kutukan di Facebook mahupun Twitter. Mereka perlu bertanggung jawab di hadapan Allah, Tuhan penguasa hari akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,

Sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin negara Islam adalah sesuatu yang amat dikesali. Sekiranya mereka berterusan dalam bertoleransi dengan provokasi ini, agenda yahudi untuk menawan sepenuhnya tempat suci ketiga umat Islam itu akan menjadi kenyataan. Di suatu sudut yang lain I.S yang selama ini memayungi Israel untuk mengekalkan kuasa di Asia Barat berjaya mengalih perhatian dunia dengan propaganda kewujudan negara Islam (I.S) disempadan Syria dan Iraq. Kekejaman rejim zionis menyerang orang awam di Ghaza tenggelam dengan limpahan berita oleh agensi berita barat tentang kekejaman I.S. Ini muslihat untuk mengalih perhatian dunia.

Di pihak yahudi pula, sama ada Netanyahu atau rejim zionis setakat ini masing-masing berdolak dalik dan menafikan percubaan untuk menukar status quo Masjidil Aqsa menjadi tempat suci yahudi. Penutupan itu tidak mempunyai alasan yang munasabah kecuali membiarkan isyarat bahawa kedudukan Al-Aqsa kini dalam penguasaan Israel.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya negara Palestin adalah kepunyaan umat Islam. Jatuh bangunnya negara ini sewajarnya menjadi persoalan utama setiap umat Islam. Firman Allah s.w.t dalam Muhammad Ayat 7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ ﴿٧﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu".

Bantulah agama Allah dengan mengambil peranan masing-masing. Kepada yang berkuasa, gunakanlah kesempatan anugerah kekuasaan sebagai usaha menyelamatkan nasib umat Islam yang tertindas. Kepada yang berkemampuan, teruskanlah menghulurkan bantuan. Kepada yang lain, teruskan berdoa agar Allah segera memberi bantuan-Nya dan mengembalikan hak umat Islam di bumi Palestin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وفِي سُوْرِيَا وَخُصُوْصًا فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، اللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُوْرِأَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ، يا اللهُ، يَا اللهُ، يَا اللهُ، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment