Thursday, July 13, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 20 SYAWAL 1438 / 14 JULAI 2017


ISLAM DISERANG, DI MANAKAH KITA?

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِلْإِسْلَامِ، عَلَيْنَا الشُّكْرُ بِبَعْثَةِ خَيْرِ الْأَنَامِ، نَبِيِّنَا وَحَبِيْبِنَا مُحَمَّدٍ صّلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، نَحْمَدُهُ تَعَالَى وَنَشْكُرُهُ حَيْثُ أَكْمَلَ لَنَا الدِّيْنِ، وَأَتَمَّ عَلَيْنَا النِّعَمَ، وَرَضِيَ لَنَا دِيْنًا.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، أَمَرَنَا بِاتِّبَاعِ صِرَاطِهِ الْمُسْتَقِيْمِ، وَحَذَّرَنَا مِنْ طُرُقِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ، وَالضَّالِّيْنَ وَغَيْرِهِمْ مِنَ الْمُنْحَرِفِيْنَ عَنِ الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ، وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، وَتَرَكَ النَّاسَ عَلَى الْمَنْهَجِ الْقَوِيْمِ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ عَلَى نَهْجِهِمْ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan tentang; "Islam Diserang, Di Manakah Kita?"

قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٦٧﴾

Bermaksud: "Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain. Mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang daripada perbuatan yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil dan kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah Allah) dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Islam adalah agama kebenaran. Islam menyeru menyembah Tuhan yang Satu dan melarang keras menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Islam menetapkan kebenaran menerusi syariat yang di bawa oleh para nabi. Syariat umat akhir zaman adalah syariat Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan peninggalan baginda iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Atas kebenaran ini, maka tidak hairan Islam dimusuhi sejak zaman berzaman. Permusuhan ini semakin ketara apabila diutuskan rasul terakhir kepada umat daripada kalangan bangsa arab. Apatah lagi, dengan membawa ajaran yang menyalahi kehendak nafsu dan syaitan. Antara golongan yang kuat menentang baginda adalah kafir yang terdiri daripada yahudi dan nasrani serta musyrikin. Tidak kurang juga golongan yang memusuhi Islam ibarat api dalam sekam iaitu golongan munafik yang menzahirkan keimanan dengan menyembunyikan kesyirikan.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 8:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ﴿٨﴾

Bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman".

Saudara kaum muslimin,

Kedua-dua golongan ini berterusan memusuhi Islam dengan menjalankan tipu daya untuk memadamkan syiar Islam. Pelbagai rancangan dijalankan seperti menimbulkan fitnah dan meniupkan api perbalahan sesama muslim. Mereka juga mengangkat senjata, berperang untuk menghancurkan Islam dengan kekerasan. Tidak kurang yang menjajah dan merampas negara Islam demi menyebarkan dakyah agama mereka.

Kini mereka menggunakan rancangan baru yang lebih licik iaitu serangan pemikiran. Melalui strategi ini, mereka menimbulkan kesangsian terhadap para ulamak terdahulu. Mereka mengaburi masyarakat muslim dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan syariat Islam namun diputar belit oleh tafsiran Al-Quran dan Hadist yang salah. Pendapat-pendapat ulamak yang lebih berkeahlian ditolak, dianggap jumud dan tidak sesuai dengan arus perdana. Malah mereka tanpa segan silu menyalahgunakan tafsiran ayat suci Al-Quran Surah Al-Baqarah Ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ ... ﴿٢٥٦﴾

Bermaksud: "Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Mereka menggunakan ayat tersebut sebagai modal taruhan bagi mengelirukan umat Islam bahawa tiada paksaan kepada muslim untuk menentukan agamanya mahupun beramal atau tidak dengan ajaran Islam. Seolah-olah Allah memberi kebebasan mutlak kepada manusia untuk membuat keputusan.

Sedangkan maksud ayat tiada paksaan di dalam agama adalah umat Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Tidak sama sekali bermaksud memberi kebebasan kepada orang Islam dibiarkan hidup bebas tanpa dibatasi hukum syarak! Dan tidak sama sekali bermaksud membiarkan umat Islam melakukan jenayah riddah dan menjadi murtad serta membuang agama daripada kehidupan. Persepsi tiada paksaan dalam agama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan aktiviti-aktiviti jahat memurtadkan umat Islam.

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' Ayat 138-139:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا ﴿١٣٨﴾ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ﴿١٣٩﴾

Bermaksud: "Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik; bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab siksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kemuliaan itu semuanya adalah milik Allah".

Kaum muslimin yang dimuliakan,

Sangat malang ketika umat Islam diserang dari segenap sudut kehidupan, terutama serangan pemikiran. Ada di antara umat Islam sendiri yang kehilangan jalan ke arah taqwa demi mendapat sokongan golongan kafir dan munafik. Mereka sanggup membuat pendirian yang keliru lagi mengelirukan.

Akhir-akhir ini kita dihangatkan dengan isu memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan dalam kalangan umat Islam. Mereka mengelirukan umat Islam dengan isu menyentuh anjing yang menjadi khilaf dalam kalangan ulamak mazhab sedangkan isu sebenar yang mereka zahirkan adalah galakan memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan dalam rumah. Ulamak bersepakat hukum memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan adalam haram dan tiada khilaf.

Hanya dibenarkan bagi tujuan pemburuan, keselamatan dan seumpamanya. Perbuatan golongan ini dengan sengaja ingin mengelirukan umat Islam dengan meninggalkan pendapat ulamak yang berautoriti bahkan mempopularkan kebebasan memberi pendapat.

Daripada Abu Sa'id r.a bahawa baginda s.a.w bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Bermaksud: "Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak, kalian pasti akan mengikutinya. Kami bertanya; Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan (ialah) yahudi dan nasrani? Baginda menjawab; Siapa lagi (kalau bukan) mereka." (Hadist riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Apabila ada usaha-usaha untuk menyedarkan umat Islam tentang bahaya yang sedang mengancam aqidah dan syariat mereka daripada golongan ini, maka muncul sebahagian umat Islam yang mempertahankan mereka. Misalnya golongan evangelis yang ingin mendakyah berita gembira kelahiran kerajaan tuhan versi kristian pelampau mereka kepada masyarakat Islam. Padahal sedemikian jelas bertentangan dengan sistem kenegaraan dan undang-undang negara kita yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan.

Sekali lagi sebilangan umat Islam sendiri terhegeh-hegeh tanpa segan dan silu mempertahankan dakyah mereka atas nama kebebasan beragama. Hakikatnya, ianya merupakan propaganda meraih sokongan bukan Islam demi kepentingan mereka sendiri walaupun dengan menggadai prinsip agama dan negara.

Jangan kita yang masih mengaku umat Nabi Muhammad s.a.w sampai menjadi boneka menghancurkan agama dan umat akibat nafsu yang mengatasi akal dan emosi yang melanggar hukum agama dan undang-undang negara. Dan janganlah biarkan emosi dan fantasi mengatasi akal dan hukum sehingga agama dan umat menjadi habuan mudah dan murah kepada golongan yang pandai berpura-pura dan bermain kata-kata demi mencapai agenda jahat mereka walaupun terpaksa memanipulasikan persepsi dan menjaja hipokrasi.

Ingatlah pesan Allah s.w.t di dalam Surah As-Syura Ayat 13:

۞ شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ ﴿١٣﴾

Bermaksud: "Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukum-Nya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat)".

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Inilah perintah Allah supaya kita mendaulatkan dan menegakkan agama dengan menjaga tauhid dan aqidah, mengangkat dan melaksanakan hukum hakam syarak dan janganlah kita berpecah belah di dalam menegakkan agama ini sehingga sanggup berpaling tadah dan khianat kepada agama dan umat semata-mata kerana kemenangan palsu dan kesenangan menipu yang sementara yang tidak mampu di bawa ke akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Saudara kaum muslimin,

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita:

Pertama: Umat Islam wajib bangkit daripada kelalaian dan keluar daripada kejahilan.

Kedua: Tinggalkanlah sikap mementingkan diri dan kelompok (firqah) sendiri sehingga sanggup meruntuhkan asas ketaqwaan iaitu aqidah yang benar dan membenihkan rasa takut kepada Allah.

Ketiga: Berpegang teguhlah dengan Al-Quran dan Hadits berpandukan para alim ulamak yang lebih layak menunjukkan ke jalan kebenaran. Tinggalkanlah pendapat-pendapat songsang daripada golongan yang berpandukan hawa nafsu.

Keempat: Pertahankan institusi agama yang sering ditohmah demi kelangsungan memelihara kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan.

Kelima: Berhati-hati dengan dakyah dan ideologi-ideologi agama lain yang berusaha memurtadkan umat Islam serta melenyapkan Islam sebagai agama negara.

Keenam: Peliharalah kedaulatan negara daripada ancaman musuh-musuh dari dalam mahupun luar dengan memperkasakan undang-undang mengikut tafsiran syarak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment