Thursday, June 9, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 5 RAMADHAN 1437 / 10 JUN 2016


RAMADHAN BULAN TARBIYAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى: 
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ﴿١٨٦﴾ 

Bermaksud: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Aku sampai mereka menjadi baik serta betul". (Surah Al-Baqarah Ayat 186)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa. Pada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita mengambil peluang keemasan untuk memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri, agar dapat melaksanakan segala perintah Allah سبحانه وتعالى dengan sebaik-baiknya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayatilah isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan Ramadhan kita kali ini, menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan usia untuk menjalankan ibadah di bulan Ramadhan ini. Bulan yang penuh kerahsiaan dan keberkatan. Inilah masa yang sangat dinantikan oleh orang yang beriman kerana setiap saat ada ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah سبحانه وتعالى. Setiap hari dalam bulan Ramadhan adalah hari penuh berkat dan peluang untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah سبحانه وتعالى. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri merasa gembira setiap kali kedatangan bulan ini dan kegembiraannya disampaikan pula kepada para sahabat baginda. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

Bermaksud: "Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan seruan (dari langit) menyeru; Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan, teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang yang ingin berbuat kejahatan hentikanlah, bagi Allah melepaskan ramai orang dari neraka. Seruan itu berlangsung pada setiap malam". (Riwayat At-Tirmidzi)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan ialah proses dan peluang terbaik bagi membina perubahan diri sepanjang tahun. Ramadhan yang bermatlamatkan taqwa, asasnya iman dan pendekatannya ialah dua perkara yang berjalan seiring iaitu Shiyam (mencegah dan menahan) dan Qiyam (membina). Manakala pendorongnya ialah janji Allah سبحانه وتعالى untuk melipat gandakan setiap pahala yang dilakukan dan kemuncak sasarannya ialah pembersihan hati bagi menjelmakan fitrah manusia.

Ingatlah, segala ibadah di bulan Ramadhan yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى. Oleh itu mimbar yang mulia ini menyeru para jamaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengimarahkan dan menggunakan peluang pada bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Penuhilah masjid-masjid dan surau-surau dengan semangat dan mujahadah yang tinggi untuk melaksanakan amal ibadat di sepanjang bulan Ramadhan ini. Di samping itu, berazam untuk membaca Al-Quran hingga khatam dan melaksanakan solat sunat tarawih berjamaah sehingga selesai bersama imam. Mudah-mudahan ia menjadi titik tolak kepada peningkatan amalan kita selepas ini.

Bagi mengimarahkan bulan Ramadhan, adalah dengan bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan Ramadhan, tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan Allah سبحانه وتعالى melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang tersedia khusus pada bulan Ramadhan dengan melakukan amal ibadah.

Sidang hadirin sekalian,

Pelbagai amalan yang dapat kita lakukan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dalam bulan Ramadhan ini. Antaranya:

1. Menunaikan solat sunat tarawih 20 rakaat secara berjamaah. Hadith daripada Abdul Rahman bin Abdul Qari katanya:

خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ

Maksudnya; "Pada malam bulan Ramadhan, aku pergi ke masjid bersama-sama Umar Al-Khattab. Terdapat orang ramai berkelompok-kelompok ada yang solat bersendirian dan ada pula yang bersolat secara berjamaah dengan kumpulan-kumpulan yang kecil. Umar berkata; Aku berfikir alangkah baiknya jika aku pun berusaha mengumpulkan mereka supaya berimamkan Ubai bin Ka'ab. Pada suatu malam yang lain aku keluar lagi bersama-samanya sedangkan kesemua orang ramai mengerjakan solat berjamaah dengan seorang imam sahaja. Umar berkata; Alangkah baiknya perbuatan bid'ah ini, namun orang yang tidur untuk bangun bersolat pada akhir malam adalah lebih baik daripada mereka yang mengerjakan sekarang. Orang ramai ketika itu memang mengerjakan solat tersebut pada awal malam". (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain mengatakan:

إِنَّهُمْ كَانُواْ يَقُوْمُوْنَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِيْنَ رَكْعَةَ

Bermaksud: "Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab رضي الله عنه orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat". (Riwayat Al-Baihaqi)

Justeru, adalah wajar bagi umat Islam untuk menghidupkan semula sunnah dan inspirasi pengimarahan ini iaitu mendirikan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat di seluruh masjid dan surau di negeri Perak.

2. Memperbanyakkan membaca dan bertadabbur Al-Quran

3. Menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya: "Manusia akan tetap dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم dari Anas, beliau meriwayatkan dari Zaid bin Thabit telah berkata:

أَنَّهُمْ تَسَحَّرُوا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ يَعْنِي آيَةً

Bermaksud: "Kami telah bersahur bersama dengan Nabi, kemudian bangun untuk bersolat. Anas bertanya; Berapa lama tempoh antara azan dan bersahur? Zaid menjawab; Dengan kadar 50 Ayat (bacaan Al-Quran)". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

4. Beriktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir.

5. Memperbanyakkan sedekah.

Sidang Jumaat yang berbahagia sekalian,

Mimbar ingin menyeru sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dan peluang sepanjang bulan Ramadhan ini dengan menjana ketaqwaan jati diri kita untuk beribadah kepada-Nya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nahl Ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾

Bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka akan pahala dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، سَيِّدُنَا الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment