Thursday, December 3, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 22 SAFAR 1437 / 4 DISEMBER 2015


ISTIQAMAH KUNCI KEJAYAAN HIDUP

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي عَلَّمَ وَأَنْعَمَ، وَهَدَنَا بِالْقُرْآنِ لِلَّتِي هِيَ أَقْوَامُ، قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ الْأَطْهَارِ وَأَصْحَابِهِ الْأَخْيَارِ، وَسَلِّمْ تَسْلِمًا كَثِيْرًا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada hadirin dan diri saya sendiri, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kepada-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan itu, kita akan dipayungi rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari yang mulia ini mengajak sidang jumaat sekalian untuk menghayati khutbah tang bertajuk: "Istiqamah Kunci Kejayaan Hidup".

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Nikmat Iman dan Islam yang merupakan sebesar-besar nikmat dalam hidup ini. Bahkan denyutan jantung dan hembusan nafas yang tidak terkira banyaknya sepanjang keberadaan kita di dunia ini, juga merupakan nikmat yang sangat bernilai. Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim Ayat 34:

... وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ...﴿٣٤﴾

Bermaksud: "Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak mampu menghitungnya." 

Persoalan yang timbul, adakah kita beristiqamah melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat sebagaimana konsistennya Allah SWT mengurniakan nikmat kepada kita?

Islam amat menitik beratkan umatnya supaya dalam setiap apa yang dilakukan supaya dapat mengawal pembinaan akhlak mulia yang menghiasi diri mukmin. Kalimah istiqamah membawa pengertian melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan bukan terhenti pada musim-musim tertentu sahaja. Ini kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT. Bahkan dapat dikatakan bahawa individu yang beristiqamah mempunyai pegangan akidah Islam yang sebenar dan mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Hud Ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿١١٢﴾

Bermaksud: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah, sesungguhnya Allah maha melihat apa yang kamu kerjakan."

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Beristiqamah dalam sesuatu amalan kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya termasuk meningkatkan potensi dirinya dalam sesuatu perkara. Misalnya, seorang pekerja yang beristiqamah dan tekun dalam tugasnya akan menjadikannya seorang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dapat mengawal gangguan emosi dan perasaan seperti kecewa ataupun putus asa serta menzahirkan tingkah laku yang positif.

Selain itu, terdapat beberapa lagi tanda-tanda orang yang beristiqamah sebagaimana disebutkan oleh As-Syeikh Usman bin Hassan As-Syakir Al-Khaubawi di dalam kitabnya Durratun Nashihin iaitu seperti sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari pra-sangka buruk, tidak menghina sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa berinfaq di jalan Allah SWT, sentiasa memelihara pandangan dari maksiat, tidak membanggakan diri dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang betul.

Bagi memastikan istiqamah terhasil, maka kita perlu melalui tiga tahap. Pertama, tahap istiqamah hati iaitu keadaan kita sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak dan seumpamanya. Lalu menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas dan tawadhuk. Dalam keadaan ini, istiqamah hati mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang membawa kepada kebenaran.

Kedua, tahap istiqamah lisan iaitu meemlihara lisan dan tutur kata kita dari ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan. Tahap kedua ini ada pada orang beriman yang berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allaj SWT semata-mata. 

Ketiga, tahap istiqamah perbuatan iaitu yang merungkai ketekunan kita dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat ataupun berputus asa.

Yakinlah, dengan beristiqamah dan berpegang teguh pada jalan Allah SWT nescaya kita akan mendapat rahmat daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Fusshilat Ayat 30:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud; "Sesungguhnya orang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Jangahlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi orang-orang yang tidak istiqamah pula, mereka mudah diserang rasa kecewa dan putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Menurut pemerhatian imbar, antara faktor yang menggagalkan usaha istiqamah ini adalh kelemahan benteng diri muslim dalam mepertahankan kesucian dan ketakwaan di dalam jiwa mereka. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, mimbar memberikan beberapa langkah seperti berikut.

Langkah pertama, Muraqabah iaitu mengingati Allah SWT dengan cara memikir, merenung dan meneliti kebesaraan ciptaan-Nya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan mata hati (basiroh) yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah SWT. Langkah kedua, Mu'a'adah iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai kebenaran Islam kerana dirinya telah beriktikad dan berikrar di hadapan Allah SWT. Langkah ketiga, Muhasabah iaitu usaha seseorang hamba untuk melakukan perhitungan atas perbuatannya sama ada sebelum, semasa dan sesudah melakukannya. Langkah keempat, Mu'aqabah iaitu seseorang menghukum terhadap dirinya sendiri di atas kesilapan yang telah dilakukan dan langkah kelima, Mujahadah iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Imam Al-Bukhari merekodkan bahawa Saiyidatina 'Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ

Bermaksud; "Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah SWT sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ،  
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita amati inti khutbah yang telah disampaikan tadi untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah:

Pertama: Sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.

Kedua: Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.

Ketiga: Menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah SWT di samping melatih diri selalu mengingati kebesaran-Nya dan meninggalkan sifat mazmumah.

Keempat: Melazimi pakaian takwa dan patuh syariat.

Kelima: Sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat menongkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٣﴾ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٤﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." (Surah Al-Ahqaf: Ayat 13 dan 14)

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment