Thursday, November 26, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 15 SAFAR 1437 / 27 NOVEMBER 2015



MEMANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah At-Tahrim Ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Memanfaatkan Cuti Persekolahan".

Cuti akhir tahun persekolahan telahpun bermula seminggu yang lalu. Antara tujuan cuti persekolahan adalah untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah yang sudah sekian lama pelajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran pada tahun akan datang. Cuti akhir tahun adalah satu cuti panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika tidak diurus dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ia dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap ibu bapa hendaklah bijak mengurus cuti persekolahan anak-anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho ataupun sia-sia. Mereka akan meninggalkan perbuatan tersebut seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Furqan Ayat 72:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan  yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya."

Sekiranya anak-anak kita tidak dididik untuk bijak mengurus masa dengan betul, dikhuatiri suatu hari nanti bila mereka dewasa mereka tidak tahu mengurus masa dengan baik. Maka akhirnya mereka akan terjebak dengan budaya negatif dan berani melakukan perkara-perkara yang menyimpang daripada agama dan budaya, lantas lahirlah penyakit gejala sosial yang merebak dam menular dalam kalangan remaja dan masyarakat.

Fenomena hari ini kian meruncing, justeru kita perlu sama-sama bangun untuk menyeru umat Islam seluruhnya supaya tidak menjadi umat yang lalai. Di satu pihak, ibu bapa yang peka dan perihatin hendaklah sentiasa memastikan anak-anak mereka terdidik dan memenuhi musim cuti mereka dengan aktiviti yang membina jati diri. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sering berdoa supaya terhindar daripada kelalaian dengan doanya yang bermaksud: "Ya Allah, janganlah Engkau membiarkan kami dalam sengsara, janganlah Engkau menyiksa kami secara mengejut, janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang lalai."

Sebagai mensyukuri nikmat masa yang dikurniakan, khatib menyarankan beberapa perkara untuk dilaksanakan pada musim cuti ini:

Pertama: Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan untuk dihabiskan berehat semata-mata, bermain, tidur, leka dan lalai dengan alat komunikasi dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
  • Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi persekolahan yang berikutnya.
  • Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi.
  • Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, fardhu 'ain, tahsin qiraat, smart solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
Kedua: Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspedisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, gotong royong, berkebun dan lain-lain.

Ketiga: Pastikan kita melazimi solat berjamaah di masjid dan surau. Dalam masa yang sama, bawa anak-anak bersama agar dapat membiasakan mereka hadir ke masjid, menghadiri majlis ilmu dan bergaul dengan para solehin. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Keempat: Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti kem motivasi, nadwah Islam, rehlah, kem insan cemerlang dan lain-lain.

Kelima: Memberi pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, aqidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama ataupun ilmu fardhu ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia masa kini. Ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu fardhu ain sebelum anak tersebut mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberi ilmu fardhu ain kepada anak-anak, bahkan membimbing serta penguatkuasaan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat. Rasulullah SAW berpesan kepada setiap ibu bapa yang berbunyi:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Bermaksud: "Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, pukullah mereka (jika enggan mengerjakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka." (HR Abu Dawud)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama. Pastikan kita sebagai ibu bapa merancang masa mereka dengan perkara-perkara berfaedah yang mampu membentuk syakhsiyah dan akhlak mulia pada diri mereka. Sesungguhnya kegagalan kita merancang masa cuti mereka bermakna seolah-olah kita merancang masa depan mereka untuk gagal. Buat akhirnya,marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab Ayat 72:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-gamang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، وَرَزَقَنَا مِنَ الطَّيِّبَاتِ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
 أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai ibu bapa atau penjaga mestilah menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada anak-anak dengan sebaik-baiknya. Memenuhi keperluan fizikal dan pendidikan anak-anak juga penting tetapi yang lebih besar dan utama ialah menanamkan benih-benih keimanan kepada mereka selain menjaga dan mengawal mereka dengan baik. Tanpa kawalan, anak-anak mudah terjebak dengan aktiviti sosial yang merosakkan. Marilah sama-sama kita mengambil contoh dan pengajaran yang diceritakan Allah SWT bagaimana Luqmanul Hakim mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman Ayat 17 dan 18:

يَابُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ  ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾

Bermaksud: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri."

Bersempena cuti sekolah yang sedang berlangsung hingga akhir tahun ini, khatib ingin mengingatkan kepada semua ibu bapa agar memantau segala aktiviti anak-anak kita berikutan banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini. Pastikan mereka tidak ke tempat-tempat banjir yang berisiko tinggi, hadkan aktiviti-aktiviti yang tidak perlu, moga-moga cuti ini penuh keceriaan dan keberkatan.

Kita juga memohon kepada Allah SWT agar anak-anak kita dan remaja-remaja di masjid kita ini tidak terjebak dengan anasir-anasir kejahatan dan maksiat moden yang semakin berleluasa dewasa ini. Semoga cuti persekolahan ini lebih memberi manfaat berbanding mudharat terhadap anak-anak kita.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ، يا الله، يَا الله، يَا الله، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment