Thursday, January 16, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 17 JANUARI 2014 / 15 RABIULAWWAL 1435H



DOA RASULULLAH SAW

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ .
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Tajuk khutbah jumaat pada hari ini ialah “DOA RASULULLAH SAW”.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Terdapat di dalam hadis sohih:

الدُّعَا ءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Maksudnya : “Doa itu merupakan otak ibadah”.

Demikian kerana pendoa yang sedar ialah apabila mereka menghayati makna-makna kalimahnya, mengulang-ulang dengan lidahnya, berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya maka berbekaslah makna itu di dalam jiwa lantas mengingatkan dia tentang kewajipan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, bersungguh-sungguh dan beramal, begitu juga untuk menjauhi perkara-perkara buruk dan dosa, sifat jumud dan malas. Maka segala pancaindera dan jiwa mengharap sungguh-sungguh perkenan dan bantuan Allah SWT sebagaimana yang dipohon di dalam doanya yang tulus. Maka doa pada ketika itu mempunyai roh yang menarik manusia tersebut untuk mentadabbur secara mendalam terhadap kalimah-kalimah doa, menjadikannya mengambil sebab-sebab yang dapat merealisasikan makna-makna doa yang dipohon. Maka jadilah dia orang yang dimustajabkan doanya seperti firman Allah SWT dalam surah ghafir ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya : Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-baqarah ayat 186:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ﴿١٨٦﴾
Maksudnya : Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Seolah-olah Allah SWT berfirman kepada para hambanya sedangkan Dia Maha Mengetahui maksudnya: Berdoalah kepadaku, mintalah perkenan dariku, beriman denganku dan tempuh jalan hak kepadaku.

Hayati pula firman Allah SWT dalam surah al-anfal ayat 24:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلِه وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Rasulullah SAW mempunyai doa-doa yang banyak lagi mendalam maksudnya. Alangkah indahnya orang Islam sekiranya beramal dengan doa-doa tersebut, menghayati kehebatannya supaya mereka termasuk di dalam golongan yang mendapat hidayah berpandukan petunjuk penghulu, ketua, imam, pemimpin kita iaitu Rasulullah SAW. Di antara contoh doa baginda SAW yang menyeluruh maknanya ialah:

اَللَّهُمَّ اِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَع وَعَمَلٍ لَا يُرْفَع وَدُعَاءٍ لَا يُسْمَع

Maksudnya : “Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada ilmu yang tidak memberi manfaat, amalan yang tidak diangkat dan doa yang tidak didengar” (hadis sahih riwayat Ahmad, Hakim dan Ibnu Hibban).

Inilah doa yang pendek tetapi menyeluruh maknanya. Padanya terdapat banyak hikmah dan peringatan. Ia dimulai dengan: “Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadamu”.

Istia’zah ialah berlindung dan minta tolong. Tidak boleh bagi orang Islam minta perlindungan dan keamanan melainkan dari Allah SWT yang bersifat Pengurnia. Oleh yang demikian Allah azza wa jalla mengajarkan kepada nabinya SAW untuk meminta perlindungan hanya semata-mata kepadanya. Firmannya dalam surah al-a’raf ayat 200:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللِه ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٠٠﴾

Maksudnya : Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Firmannya lagi dalam surah an-nahl ayat 98:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللِه مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ﴿٩٨﴾

Maksudnya : Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Awal doa Rasulullah SAW di sini ialah: “Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada ilmu yang tidak memberi manfaat”. Demikianlah baginda SAW mengajar kita supaya memilih yang terbaik. Maka manusia perlu belajar ilmu yang memberi faedah dan manfaat kepadanya untuk agama dan dunia. Awasilah dari ilmu-ilmu yang buruk dan memberi mudarat seumpama sihir, bomoh, ilmu-ilmu sesat lagi menyesatkan serta membawa kepada kejahatan dan kebinasaan. Sekiranya muslim itu berlindung kepada Allah SWT daripada ilmu-ilmu tersebut juga ilmu-ilmu yang tidak memberi maslahat kepada individu dan masyarakat, maka wajiblah ke atasnya mempelajari ilmu yang baik lagi bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat. Sehinggakan Islam sendiri menjadikan menuntut ilmu itu merupakan satu kewajipan ke atas setiap muslim.

Rasulullah saw berdoa:

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maksudnya : Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.

Seolah-olah doa ini juga memberi panduan kenabian kepada para pemimpin Islam supaya mengadun dan menyusun sungguh-sungguh manhaj pengajaran dan pengetahuan agar suci dari elemen-elemen yang merosakkan akal dan jiwa lantas memasukkan unsur-unsur kebaikan, keagamaan dan akhlak mulia yang mampu menyucikan jiwa dan hati nurani manusia untuk berdamping dengan Sang Penciptanya. Inilah jalan kebaikan di dunia dan akhirat selaras dengan Firman Allah didalam surah Asy Syu’ara’ ayat 88-89:

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾

Maksudnya: Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatau apapun, kecuali (harta benda dan anak pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلِه الْقَائِلِ،
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang jumaat sekelian,

Doa yang kedua: “Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada amalan yang tidak diangkat”. Iaitu tidak diterima di sisi Allah bahkan dicampak semula kepada tuannya sepertimana dicampak baju kotor. Oleh kerana ilmu yang sohih lagi bermanfaat itu merupakan asas kepada iman maka mesti ada selepas daripada ilmu tersebut pelaksanaan dalam bentuk amalan soleh supaya diiktiraf ilmu tersebut sebagai ilmu yang bermanfaat kepada pemiliknya. Hinggakan orang yang sedemikian ilmu dan amalnya akan diangkat kepada makam al-qabul war ridha (kedudukan penerimaan dan redho dari Allah SWT). Al-quran telah menerangkan kepada kita bahawa amalan yang terangkat itu hanyalah amalan-amalan yang soleh.

Firman Allah swt dalam surah fathir ayat 10:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ ۚ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَمَكْرُ أُولَـٰئِكَ هُوَ يَبُورُ ﴿١٠﴾
Maksudnya : Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: Orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.

Sebagaimana Al-Quran juga menegaskan bahawa barangsiapa yang ingin bertemu Allah SWT dengan pertemuan yang mulia, membawa pahala yang melimpah ruah dan mengecapi nikmat yang tidak terhitung maka hendaklah dia melakukan amalan-amalan soleh.

Firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 110:

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا ﴿١١٠﴾
Maksudnya : Oleh itu, sesiapa yang berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.

Perlu difahami bahawa amal soleh bukan hanya terbatas kepada ibadah agama yang difardukan sahaja seperti solat, puasa, zakat dan haji walaupun ia merupakan intipati amal soleh, bahkan amal soleh itu sebenarnya meliputi setiap usaha yang bermanfaat untuk mendapatkan kebaikan terhadap diri, keluarga, negara dan manusia sejagat. Alangkah banyak dan luasnya pengertian amal soleh!

Doa yang ketiga: “Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada doa yang tidak didengar”. Iaitu: tidak diterima dan tidak diperkenankan di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Dan ketahuilah bahawa Allah tidak memustajabkan doa dari hati orang yang lalai lagi leka” iaitu sekiranya manusia itu berdoa sedangkan dia lalai dari melaksanakan kewajipannya, leka dari mentaatinya nescaya doanya tidak akan diterima.

Al-quran al-karim menegaskan dalam surah al-maidah ayat 27:

قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ ﴿٢٧﴾

Maksudnya : (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Wahai Pengikut Nabi Muhammad saw,

Ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh, doa yang ikhlas…..sesungguhnya itulah tiga tunjang yang membangunkan kehidupan muslim. Maka belajarlah, beramallah dan berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan meyakini akan diperkenankan.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ . اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ .
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ . رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلِه رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com









No comments:

Post a Comment