Friday, August 9, 2013

Khutbah Jumaat - 2 Syawal 1434H / 9 Ogos 2013M



MUHASABAH SELEPAS RAMADHAN AL-MUBARAK


Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِى قَسَّمَ بَيْنَ الْخَلاَئِقِ أَسْبَابَ العُسْرِ وَالْيُسْرِ، وَخَصَّناَ مِنْ سَائِرِ اْلأُمَمِ بِشَهْرِ الصِّيَامِ وَالصَّبْرِ،
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ،
وَأَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ .     
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.   

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru tuan-tuan dan diri saya sendiri, agar kita mempertingkatkan lagi rasa ketaqwaan kita kepada Allah dengan menghayati akan maksud taqwa tersebut, melaksanakan sebaik mungkin apa yang dituntut oleh Allah kepada kita, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dikasihi dan dirahmati oleh Allah, sekaligus mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kini Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Pemandangan yang menyejukkan mata dan menggembirakan jiwa dengan iringan manusia tidak mengira tua dan muda berjalan seiringan melangkah kaki menuju ke masjid untuk melaksanakan solat terawih kini tiada lagi kelihatan. Yang menyedihkan apabila berlalunya Ramadhan maka berlalunya segala amal ibadah yang baik yang kita lakukan di bulan yang mulia itu, kini timbul pula kembali aktiviti atau amalan yang lagho (sia-sia) seiringan dengan berlalunya Ramadhan.

Ini disebabkan ada di antara sebahagian masyarakat Islam yang beramal kepada Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Sehingga bila sahaja bulan Ramadhan berakhir, maka berakhirlah pula hubungan dengan Allah. Ada kalangan kita memutuskan tali yang menghubungkan diri kita dengan Allah di luar Ramadhan. Kebanyakkan kita merasa berat untuk melangkahkan kaki ke masjid, tidak mahu membuka dan membaca lembaran-lembaran Kitab Suci Al-Quran, tidak membasahi lidah mereka dengan zikir dan tasbih. Seolah-olah Allah hanya disembah pada bulan Ramadhan, sementara pada bulan-bulan yang lain Dia tidak perlu disembah dan diberi perhatian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari semalam secara simboliknya, semua ummat Islam menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan mereka berjihad melawan hawa nafsu. Dalam perkara ini Allah S.W.T mengingatkan kita dengan firman-Nya di dalam Surah Yusuf Ayat 53:

وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِى إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوْءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّى إِنَّ رَبِّى غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ 

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan-ku, (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhan-ku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Maka marilah kita muhasabah tentang amalan di sepanjang Ramadhan yang lalu, apakah ianya benar-benar berjaya melahirkan ketaqwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri kita bahkan berjaya diperingkat dan semakin menebal. Maka ia menjadi petanda bahawa amalan kita diterima oleh Allah. Ini jelas dalam setiap ibadat yang dilakukan. Misalnya dalam ibadah haji, jika amalan seseorang selepas mengerjakan haji di katakan bertambah baik daripada amalan sebelumnya, maka itu menjadi tanda penerimaan Allah terhadap hajinya atau memperolehi haji yang mabrur.

Demikianlah juga dalam ibadah puasa. Jika tiada peningkatan antara amalan sebelum dan selepasnya atau malahan bertambah teruk, fahamlah kita bahawa amalan puasa kita belum mencapai tahap yang dikehendaki sebagaimana sabda Nabi S.A.W:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ  قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوْعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهْرُ  

"Dari Abu Hurairah r.a. berkata telah bersabda Rasulullah S.A.W: "Ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat kebaikan dari puasanya melainkan lapar semata-mata dan ramai yang berdiri malam (dengan bersolat) namun tidak mendapat apa-apa melainkan letih berjaga malam." - Hadis riwayat Ibnu Majah, Imam Nasa'ie dan Ibnu Khuzaimah di dalam kitab shahih mereka.

Marilah kita menjadikan hari ini sebagai titik tolak baru agar kita menjalankan muhasabah untuk memperbaiki diri sendiri.Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah cara yang dapat kita lakukan untuk dapat membudayakan ibadah Ramadhan dalam bulan yang lain bagi kita mempertahankan semangat ibadah agar tetap semarak seperti di bulan Ramadhan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ada beberapa langkah yang dapat kita lakukan untuk kita terus memelihara hasil pentarbiyyahan Ramadhan, dan insha Allah meletakkan diri kita sebagai lulusan tarbiyyah Ramadhan yang berprestasi tinggi:

Pertama: Melaksanakan Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal.
Melaksanakan puasa sunat setelah menyempurnakan puasa di bulan Ramadhan, memiliki nilai pendidikan yang cukup tinggi kerana ianya bermatlamat untuk menambah ketaqwaan diri, mendekatkan diri kepada Allah, mengharap redha dan kebaikan dari-Nya walaupun tidak berdosa jika ditinggalkan. Sesiapa yang melaksanakannya dengan ikhlas menunjukkan menjadi bukti kedudukannya yang dekat dengan Allah. Ia merupakan mujahadah seorang hamba untuk tetap menjaga keharmonian hubungan dengan Allah. Inilah kekuatan yang akan menjadi bekal bagi kehidupan akhirat kelak.

Kedua: Peliharalah Kesinambungan Solat Malam.
Solat malam yang biasanya terasa cukup berat, ternyata dapat dilakukan setiap malam di bulan Ramadhan dengan keadaan tubuh manusia itu anjal. Ertinya, amal yang pada awalnya terasa berat, namun jika dibiasakan dan dilakukan secara terus menerus, ia akan menjadi ringan. Jadi, kebiasaan solat malam di bulan Ramadhan yang sudah terasa begitu ringan, tidak sepatutnya demikian, sementara tubuh kita sudah terbiasa melakukannya. Bila amalan solat malam itu terhenti mengiringi pemergian Ramadhan, maka nantinya keadaan tubuh akan kembali merasakan berat untuk berdiri melakukan solat malam. Ia bererti kerugian bagi kita.

Ketiga: Menjaga Serta Memelihara Aktiviti Puasa Mingguan (Isnin dan Khamis) Atau Sekurang-kurangnya Tiga Hari Sebulan.
Kepentingan nilai tarbiyyah dalam ibadah puasa tidak perlulah dihuraikan panjang lebar di sini. Yang pasti, puasa mingguan atau bulanan itu mampu membersihkan keturunan dan menyembuhkan penyakit hati yang mulai mengotori kesuciannya. Ini adalah bentuk ibadah yang cukup berkesan, di saat kita sangat susah menghindari debu kejahilan yang menyebar hampir di merata tempat.

Keempat: Selanjutnya, Tilawatul Quran Dengan Pengaturan Jadual dan Sasaran Khatam Yang Teratur Seperti Yang Dilakukan Pada Bulan Ramadhan.
Kita semua tentu mengerti bahawa Allah S.W.T tidak menganjurkan kita tilawah Al-Quran pada waktu-waktu tertentu. Sebab itulah amalan tilawah Al-Quran tidak boleh ditinggalkan atau diremehkan.

Kelima: Biasakanlah Menyediakan Waktu Muhasabah Setiap Hari.
Muhasabah akan menjadikan penahan kesalahan yang dilakukan berlarutan. Saidina Umar Al-Khattab r.a. telah berkata:

حَاسِبُوْا أنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوْا وَزِنُوْهَا قَبْلَ أَنْ تُوْزَنُوْا

"Hisablah diri kamu sebelum kamu semua dihisabkan oleh Allah segala amalanmu dan timbanglah segala perbuatan baik dan burukmu sebelum kamu semua ditimbang oleh Allah."

Muhasabah juga menjadikan hati selalu peka akan setiap keinginan dan lintasan-lintasan hati yang tidak baik. Muhasabah juga menjadikan diri kita selalu merasakan tidak mencapai tahap yang sepatutnya, sehingga mendorong diri untuk selalu menambah lagi amal ibadah kepada Allah.

Sidang Jumaat sekalian,

Hati merupakan faktor yang penting dalam menentukan tindak tanduk lahiriyyah seseorang. Kerana itu ia mesti terus menerus dipelihara dan disuburkan dengan amalan-amalan fardhu dan sunat-sunat yang diajarkan oleh Nabi kita termasuklah fardhu kifayah.

Akhirnya marilah sama-sama kita berharap dan berazam dengan bersungguh-sungguh semoga kemenangan di bulan Ramadhan yang lepas akan kita jadikan asas untuk kita melangkah lebih jauh menuju keredhaan dan kerahmatan Allah sehinggalah kita meninggalkan alam yang fana' ini suatu masa nanti.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِىْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ‘ الرَّحِيْمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُون

"(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang yang mengerjakan haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang yang berjaya." - Surah At-Taubah: Ayat 20

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ،

فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama melakukan sebanyak mungkin amal kebajikan dan membuat perubahan yang baik demi memantapkan iman dan taqwa kita kepada Allah S.W.T. Antara intipati khutbah pada hari ini yang boleh disimpulkan ialah:

Pertama: Hijrah yang memberi maksud berpindah ke suatu keadaan yang lebih baik sewajarnya menjadi suatu iktibar agung yang perlu dihayati oleh seluruh ummat Islam.

Kedua: Muhasabah selepas Ramadhan Al-Mubarak akan menjadikan kita insan yang sedar dan peka kepada tuntutan supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran dan kemurkaan Allah S.W.T kepada berubah menjadi insan yang taat dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.

Ketiga: Kita perlu yakin bahawa kita pasti akan dibantu dan dipandu dalam melakukan usaha-usaha untuk mendekat diri kepada Allah S.W.T.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga boleh dimuat turun dari www.4shared.com

No comments:

Post a Comment